FILEM Mat Kilau kini mencetus fenomena dari pelbagai sudut. Dari sudut bisnes, ia telah mengaut lebih RM71 juta setelah 20 hari tayangan. Dengan kos pembikinan RM8 juta, ia telah mencatat keuntungan.
Dari sudut pemasaran, usaha pihak penerbit yang menggunakan media sosial, kerjasama daripada pelbagai blogger video, media sosial, media akhbar cetak dan elektronik telah meningkatkan market awareness.
Sayang, kerana tuan punya pawagam-pawagam utama seperti GSC dan juga TGV tidak fikir filem ini akan meletup, lalu mengukir kutipan box-office.
Kerana tidak yakin itulah pihak pawagam juga tiada kelihatan menyediakan movie standee cardboard display yang gah di kawasan foyer pawagam untuk para penonton bergaya sebagai satu bentuk promosi yang baik.
Kasihan, bila ramai penonton yang sekadar bergambar di sebelah poster bercermin untuk berkongsi kegembiraan dengan kawan-kawan yang belum masuk panggung.
Mat Kilau menjuarai carta 10 filem terlaris pawagam mereka memukul habis filem terbitan Hollywood, Tamil, Hong Kong, Singapura, Indonesia dan Korea sejak hari pertama ditayangkan.
Walau apa pun, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) boleh membuat kajian, apakah filem Mat Kilau telah membuka fenomena kembalinya selera khalayak untuk kembali ke pawagam?
Dikatakan Mat Kilau mampu menggamit sejumlah besar para penonton kembali masuk panggung.
Filem Mat Kilau ini adalah fiksyen, menurut para pengkaryanya. Mereka hanya menyandarkan latar ceritanya berdasarkan kisah benar pahlawan Mat Kilau. Bagaimanapun, filem ini telah merangsang imaginasi khalayak penonton Melayu. Mereka keluar panggung dengan semangat.
Mereka terkesima melihat kezaliman British. Meskipun pada fikiran ramai, British itu lebih baik daripada Jepun dan Komunis, saya cenderung untuk memperkatakan bahawa secara sedar sutradaranya, Syamsul Yusof mahu menyingkap topeng sebenar kemunafikan penjajah British.
Ramai yang sudah lupa, pihak British, atas nama penasihat telah mempengaruhi Raja-Raja Melayu untuk menerima kehadiran mereka, membuat perjanjian berat sebelah dan akhirnya mahu terus menguasai kita melalui pelan Malayan Union yang akan menghapus kuasa kesultanan Melayu. Sesungguhnya mereka baik di luar, jahat di dalam.
Lakonan Adi Putra sebagai Mat Kilau amat berkesan. Namun yang sentiasa meniti di bibir mereka yang menonton ialah nama Mat Kilau, bukannya Adi Putra. Ertinya, semangat juang Mat Kilau telah meresap ke jiwa penonton yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.
Secara di bawah sedar mereka inginkan semangat Mat Kilau hidup dalam diri mereka kerana mereka sudah tiada pembela dan pelindung yang boleh disandarkan harapan. Mana hero-hero pembela orang Melayu di sekeliling mereka? Mereka sudah tiada orang politik yang diyakini untuk membela nasib mereka.
Para ustaz? Oh, mereka hanya bercakap tentang dosa dan pahala tetapi sesama mereka makin tidak sebulu kerana berbeza manhaj. Sasterawan sebagai pembela? Bagus, tetapi di mana mereka? Para jutawan pula menghilang di kayangan mereka.
Mana pula perginya sekelompok motivator yang boleh memberi mereka semangat ketika ini? Para influencer yang sering muncul pula hanya sebagai penglipur lara. Mereka semua sudah tiada lagi.
Jadi, mahu tidak mahu, penggiat industri perfileman sahaja yang boleh diharapkan. Mereka perlu galas tanggungjawab sebagai pembakar semangat anak bangsa. Orang kata, tiada rotan, akar pun berguna.
Mereka perlu hasilkan lebih banyak kisah kepahlawanan untuk membara semangat dan jati diri orang Melayu.
Sekali pandang ia seperti pelik. Tetapi bukankah medium perfileman adalah pendekatan make-believe yang amat berkesan? Orang filem tentu tahu bahawa dunia melihat kononnya Amerika hebat, kesan propaganda Hollywood yang tanpa henti.
Justeru, orang filem di Malaysia bukan sahaja harus memikirkan bagaimana untuk mengisi panggung wayang, malah bagaimana hendak bantu mengisi jati diri bangsa yang sudah hilang.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar harian.
Klik di sini untuk terus membaca