SHAH ALAM - Sebanyak 44 peratus pemilikan rumah di Malaysia adalah dalam kalangan belia atau golongan muda berumur 40 tahun ke bawah berdasarkan Laporan Penemuan Utama Banci 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, 44 peratus pemilikan rumah dalam kalangan belia itu merupakan satu jumlah angka yang secara relatifnya memuaskan.
"Penemuan Banci 2020 menunjukkan jumlah pemilikan persendirian tempat kediaman di Malaysia adalah sebanyak 70.8 peratus manakala 29.2 peratus adalah bagi lain-lain kategori di antaranya pemilikan kerajaan atau swasta.
"Pemilikan bagi golongan muda iaitu merujuk kepada belia berumur 15 hingga 40 tahun adalah sebanyak 44 peratus.
Pada kebiasaannya, pembelian rumah oleh belia bermula apabila mereka telah mempunyai kerjaya dan keupayaan kewangan yang stabil dalam lingkungan 25 tahun ke atas,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, golongan lelaki lebih mendominasi pembelian rumah persendirian berbanding golongan wanita.
"Lelaki mencatatkan pemilikan persendirian sebanyak 56.4 peratus berbanding wanita dengan 43.6 peratus.
"Pemilikan golongan lelaki untuk belia berumur 15 hingga 40 tahun adalah 56.5 peratus manakala wanita adalah 44.5 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, trend pemilikan hartanah dalam kalangan belia sekarang ini semakin meningkat berbanding 10 tahun lepas.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mendedahkan, sebanyak 50 peratus atau 17,543 pembeli rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara terdiri daripada golongan muda yang berusia 25 hingga 35 tahun setakat Disember 2021.
Rumah kos rendah sesuai jadi aset golongan muda
Sementara itu, ramai anak muda yang bercita-cita untuk membeli rumah impian dengan strategi membeli rumah kos rendah dahulu sebagai aset atau pelaburan hartanah untuk masa hadapan.
Tidak terkecuali, ejen pelancongan, Muhammad Syahmi Yahya yang baru berusia 26 tahun sudah membeli sebuah rumah mampu milik di Meru, Klang dengan nilai RM160,000 bagi dijadikan pelaburan untuk membeli rumah impian pada masa hadapan.
"Saya mempunyai rumah impian, tetapi sekarang ini saya hanya mampu beli rumah kos rendah dan dijadikan sebagai aset untuk disewa dan dijual semula dengan nilai tinggi.
"Rumah boleh dijadikan aset dan pendapatan semula kerana ia akan mengikut nilai semasa. Oleh itu, faktor utama saya membeli rumah adalah untuk pelaburan kerana ia berbaloi,” katanya kepada Sinar
Premium. Tambahnya, proses membeli rumah akan lebih memudahkan golongan muda sekiranya mereka meletakkan target untuk setahun, membuat penyelidikan secara mendalam dan tidak terburu-buru.
"Ramai yang menyangka kita harus mempunyai duit untuk membeli rumah. Contohnya kalau harga rumah RM150,000 kita mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 atau 10 peratus.
Namun, sekiranya mereka membeli rumah sub sale, mereka tidak perlu membayar secara lumpsum tetapi tiga ke empat peratus dahulu.
"Ini akan meningkatkan peluang golongan muda untuk membeli rumah. Bagi saya, proses untuk membeli rumah tidak sukar sekiranya kita sudah ada sasaran setahun awal dan mengumpul duit.
Proses ini akan lebih memudahkan pembeli dan penjual sekali gus bank akan luluskan pinjaman dengan cepat dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca