SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai lambakan rumah tertinggi manakala Perlis mempunyai lambakan rumah terendah di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, statistik itu dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) berdasarkan data awalan suku keempat 2021.
"Negeri Selangor mempunyai lambakan rumah sebanyak 6,095 unit dengan nilai RM5.2 bilion sekali gus merekodkan ia sebagai negeri yang mempunyai lambakan rumah tertinggi.
"Dalam pada itu, Perlis mempunyai lambakan rumah terendah iaitu 67 unit dengan nilai RM13.30 juta,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, antara faktor utama berlakunya lambakan rumah tidak terjual di Malaysia adalah ketidaksepadanan penawaran dan permintaan dalam pasaran serta gaya hidup golongan muda masa kini.
"Ketidaksepadanan permintaan dan penawaran rumah adalah disebabkan harga rumah yang dibekalkan melebihi kadar pendapatan atau kemampuan penduduk di sesuatu kawasan tersebut. Jenis rumah yang dibina oleh pemaju di kawasan yang kurang strategik, jauh dari kawasan tumpuan ekonomi atau kawasan yang tidak mempunyai prasarana kemudahan yang lengkap juga menjadi penyumbang faktor.
"Selain itu, gaya hidup golongan muda masa kini yang lebih cenderung menyewa daripada membeli rumah memandangkan masih belum mempunyai pekerjaan tetap atau belum bersedia untuk menetap di sesuatu kawasan juga antara faktor berlakunya lambakan rumah,” katanya.
Berdasarkan data awalan NAPIC sebelum ini, terdapat 36,863 unit lambakan rumah tidak terjual dengan nilai RM22.79 bilion pada suku keempat tahun 2021.
Rumah tidak terjual meningkat
Ini menunjukkan trend lambakan rumah tidak terjual telah meningkat sebanyak 21.4 peratus dalam bilangan 30,358 unit dan 15.2 peratus dalam nilai RM19.79 bilion berbanding dengan suku ketiga tahun 2021
Mengikut harga pada suku keempat tahun 2021, lambakan rumah dibina tidak terjual bernilai di bawah RM300,000 adalah sebanyak 11,610 unit, rumah dalam lingkungan harga RM300,001 hingga RM1 juta adalah sebanyak 20,600 unit dan rumah bernilai melebihi RM1 juta adalah sebanyak 4,653 unit daripada jumlah lambakan rumah tidak terjual.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkongsi, dari tahun 2012 hingga 2014, harga rumah median meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 23 peratus daripada RM170,000 kepada RM270,000.
"Pada masa yang sama, pendapatan isi rumah median meningkat dengan lebih perlahan pada CAGR sebanyak 11.7 peratus iaitu kurang daripada separuh kadar kenaikan harga rumah.
"Tahap peningkatan harga rumah turut bergantung kepada faktor seperti kenaikan harga bahan binaan, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan harga tanah yang melambung tinggi serta situasi pandemik Covid-19,” katanya.
Oleh itu, bagi menggalakkan dan memudahkan orang muda memiliki rumah, KPKT menggerakkan kempen Own at Young atau Miliki Pada Usia Muda.
Beli rumah 'perlu ukur baju di badan sendiri'
Sementara itu, pakar ekonomi berpendapat pemilikan rumah pada usia muda adalah perkara bagus kerana tempoh pembiayaan yang agak panjang.
Selain itu, golongan muda akhirnya mempunyai rumah sendiri berbanding menyewa sepanjang hayat mereka.
Bagaimanapun Penganalisis Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, walaupun ramai yang mencanangkan hartanah adalah satu pelaburan yang menguntungkan tetapi anak muda perlu mengukur baju di badan sendiri.
"Pertama adalah pendapatan Debt-Service Coverage Ratio (DSCR). Bank akan memberi pinjaman yang tinggi iaitu dua pertiga daripada gaji, jadi keupayaan mereka untuk membuat pinjaman sesebuah rumah agak tinggi.
"Sekiranya gaji kita RM2,000, maka seelok-eloknya kita menggunakan gaji tersebut untuk menyewa bilik RM200 sekiranya mereka mempunyai banyak komitmen lain seperti kereta dan perbelanjaan harian.
"Memang ramai yang layak beli rumah sekarang ini, namun golongan muda harus mengikut kemampuan diri dan ukur baju di badan sendiri,” katanya.
Tambahnya, rumah agak sukar dijual balik pada masa yang singkat terutamanya jika lokasi kurang memberangsangkan dan kerana itu golongan muda perlu membeli rumah mengikut kemampuan mereka.
"Kita beli rumah ikut kemampuan dan jangan ikut kawan. Ada yang ingin membeli rumah mewah sebagai rumah pertama kerana pengaruh rakan sebaya tetapi mempunyai gaji yang kecil yang akhirnya tidak mampu menanggung beban. Bagi saya, tidak salah membeli rumah kos rendah asalkan mengikut kesesuaian gaji kita.
"Membeli rumah memang memerlukan perancangan yang teliti. Azam anak muda untuk membeli rumah itu bagus cuma boleh mula dengan membeli rumah yang kecil dahulu dan membeli rumah impian selepas stabil. Mereka juga boleh menyewakan rumah yang dibeli sebelum itu,” katanya.
Nuradli berpandangan, syarat pertama membeli rumah wajib mempunyai tabungan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada deposit rumah yang ingin dibeli dan 10 peratus lagi untuk guaman dan kos rumah.
"Walaupun agak sukar untuk golongan muda membeli rumah di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur, mereka sebenarnya masih layak membeli rumah sekiranya gaji mereka bersesuaian dengan harga rumah yang hendak dibeli. Kalau tidak mampu, simpan dahulu.
"Memang ramai yang layak membeli rumah sekarang ini namun mereka juga harus ada kemampuan untuk merancang. Kalau benar-benar ingin membeli rumah, mereka harus mengambil faktor seperti lokasi yang sesuai, berkahwin dan sama ada mampu atau tidak membayar rumah,” katanya.
Selain itu, pakar kewangan juga mencadangkan hanya 10 hingga 30 peratus sahaja daripada pendapatan boleh guna (disposable income) patut diberikan oleh pihak bank bagi ansuran rumah.
"Bank akan beri 70 peratus atau dua pertiga daripada gaji untuk pembiayaan. Contohnya, sekiranya gaji kita RM2,500, dua pertiga daripada gaji itu adalah jumlah ansuran yang mereka boleh bayar dan bagi. Justeru itu, jumlah rumah yang mereka beli itu agak besar.
"Pakar kewangan mencadangkan yang terbaik adalah dalam 10 hingga 30 peratus sahaja kerana akan ada banyak komitmen lain yang perlu ditanggung,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca