PADA Sabtu lalu, puluhan ribu penunjuk perasaan memecah masuk ke Istana Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa setelah beliau gagal untuk menyelesaikan krisis ekonomi dan sosial yang melanda negara tersebut selama lebih setengah tahun.
Selepas melakukan serbuan itu, para penunjuk perasaan tersebut menggunakan kemewahan yang disediakan untuk Presiden dan keluarganya dengan sebahagian mereka dilihat berenang di dalam kolam renang, bersenam di gimnasium dan menikmati makanan di bahagian dapur kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, semasa serbuan tersebut berlaku kelibat Gotabaya tidak kelihatan dan ia mencetuskan spukulasi iaitu adakah beliau lari dengan menggunakan pintu laluan khas untuk menuju ke bunker keselamatan tinggi di istana tersebut.
Penemuan pintu masuk ke bunker itu atau kubu bawah tanah tersebut didedahkan oleh India Today yang menemuinya pada Ahad yang menurut akhbar tersebut mungkin digunakan oleh Presiden Sri Lanka untuk meninggalkan Istana tersebut.
Laluan untuk memasuki bunker itu tersembunyi di sebalik sebuah almari palsu yang kemudian telah dipecahkan oleh para penunjuk perasaan.
Ia boleh pergi ke ruang bawah tanah dengan menggunakan tangga tetapi pintu logam berat bunker itu tidak dapat dibuka.
Pintu keselamatan logam besar itu mustahil untuk dipecahkan atau dibuka secara paksa.
Di tengah-tengah kekeliruan dan huru-hara berikutan pengumuman pelaksanaan perintah berkurung pada lewat Jumaat lalu, pihak keselamatan Presiden dipercayai telah mengatur rancangan untuk Gotabaya melarikan diri ke tempat yang lebih selamat.
Menurut portal berita NDTV, para penunjuk perasaan telah mempersoalkan apa yang disembunyikan oleh Gotabaya di dalam kubu itu malah mendakwa bahawa beliau telah menyimpan wang yang dirompak daripada rakyat negara itu.
Ini kerana wang sebanyak 17.85 juta rupee (RM218,433) dalam bentuk wang kertas baharu telah ditemui oleh para penunjuk perasaan yang kemudian menyerahkannya kepada pihak polis selepas mereka menyerbu istana tersebut.
Sumber rasmi turut menyatakan bahawa beg pakaian yang penuh dengan dokumen juga telah ditinggalkan di kediaman itu manakala bunker tersebut dipercayai dibina semasa abangnya, Mahinda Rajapaksa menjadi Presiden negara berkenaan.
Mahinda, 76, telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Mei lalu di tengah-tengah protes besar-besaran tentang cara kerajaan bagi menangani krisis ekonomi yang semakin meruncing sehingga mengakibatkan sejumlah penunjuk perasaan terbunuh dan lebih 190 lagi cedera.
Sehubungan itu, Gotabaya iaitu adik Mahinda melantik bekas Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe sebagai Perdana Menteri pada Mei lalu dengan harapan beliau akan menggunakan diplomasi dan kenalannya untuk memulihkan ekonomi negara yang runtuh.
Namun, orang ramai semakin marah apabila Sri Lanka menghadapi kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan gas memasak dan rizab minyak yang semakin kering manakala pihak berkuasa juga telah menutup sekolah-sekolah buat sementara waktu.
Negara itu bergantung kepada bantuan dari India dan negara-negara lain ketika para pemimpin cuba untuk merundingkan cara-cara menyelamatkannya daripada krisis ekonomi dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi Wickremesinghe berkata baru-baru ini bahawa rundingan dengan IMF adalah rumit kerana Sri Lanka kini sebuah negara yang muflis.
Sri Lanka mengumumkan pada April lalu bahawa ia menangguhkan pembayaran balik pinjaman asing kerana ia mengalami masalah kekurangan mata wang asing dengan jumlah hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion (RM226.29 bilion) yang mana ia mesti membayar balik AS$28 bilion (RM124.24 bilion) menjelang akhir tahun 2027.
Gotabaya mendiami bangunan istana tersebut yang berusia dua abad selepas beliau dihalau keluar dari rumah persendiriannya pada 31 Mac lalu apabila penunjuk perasaan cuba menyerbunya ketika negara tersebut mengalami masalah kekurangan makanan, bahan api dan gas memasak yang teruk serta kos hidup melonjak naik.
Setelah berjaya melarikan diri dari istana di Colombo di bawah perlindungan tentera laut pada Sabtu, beliau diterbangkan ke sebuah pangkalan udara berhampiran lapangan terbang antarabangsa utama pada Isnin, sekali gus menimbulkan spekulasi Presiden tersebut akan melarikan diri ke luar negara.
Gotabaya berlindung di sebuah kemudahan tentera laut, kata seorang pegawai tinggi pertahanan memberitahu AFP sebelum beliau dibawa ke pangkalan udara Katunayake yang berkongsi pagar dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.
Beliau dan rombongannya diterbangkan pulang ke Colombo dengan menaiki dua buah helikopter Bell 412, kata sumber.
Setakat ini, tidak diketahui di mana beliau berada.
Bagaimanapun, Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena mengumumkan bahawa Mahinda akan meletakkan jawatan pada Rabu untuk membolehkan satu peralihan kuasa secara aman dilakukan.
Berikutan krisis tersebut, Wickremesinghe turut meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Sabtu lalu.
Menurut sumber politik, sebaik Gotabaya berundur, mengikut perlembagaan, Speaker Parlimen berkemungkinan akan berfungsi sementara sebagai Presiden dan dalam masa seminggu manakala Parlimen akan bersidang dan memilih salah seorang ahlinya sebagai Presiden sehingga tahun 2024.- Agensi.
Klik di sini untuk terus membaca