SHAH ALAM - Biarpun sudah mempunyai tiga buah rumah, seorang pemuda berhasrat untuk memiliki rumah keempat sebelum berusia 40 tahun sebagai pelaburan dan simpanan masa depan.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhammad Ishak Zulkifly, 33, berkata, dia tidak berniat untuk mendiami rumah-rumah tersebut tetapi menyewanya sahaja dengan tujuan untuk perancangan jangka masa panjang.
"Rumah pertama merupakan rumah keluarga di Sungai Petani, Kedah dan rumah itu mempunyai tunggakan bank. Saya buat keputusan mengeluarkan duit demi melangsaikan hutang bank dan sebagai ganjaran, ayah tukarkan nama rumah itu kepada nama saya ketika berumur 26 tahun.
"Ketika berumur 28 tahun, saya beli sebuah rumah di Kepong berharga RM198,000 dan sekarang beli rumah ketiga di Damansara dengan harga RM138,000. Pinjaman bagi rumah ketiga sudah lulus, namun saya masih menunggu proses pindah milik nama.
"Biarpun kos pengurusan setiap bulan agak tinggi, saya tidak berniat untuk menjual rumah-rumah tersebut setakat ini. Rumah pertama didiami ibu saya dan saya menyewakan rumah kedua dan ketiga,” katanya kepada Sinar Premium.
Muhammad Ishak berkata, dia membeli rumah di Kepong dan Damansara kerana lokasi strategik dan sesuai untuk pelaburan hartanah masa tua.
"Biarpun saya beli pangsapuri kos sederhana di Kepong dan Damansara, namun ia merupakan hot area dan mempunyai nilai hartanah yang tinggi dan berbaloi untuk disewakan kepada orang. Mengikut sejarah, harga rumah itu pada asalnya lebih rendah berbanding harga yang saya beli.
"Sekiranya kewangan saya stabil, rumah itu akan terus menjadi investment dan saya juga mempunyai impian untuk menghadiahkan anak-anak saya sebuah rumah setiap seorang. Saya juga mempunyai hasrat untuk duduk di rumah bawah selepas pencen,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana membahagikan komitmen rumah yang tinggi, Muhammad Ishak berkongsi, dia menjalankan gaya hidup yang sederhana sahaja sejak usia muda dan berbelanja bila perlu.
"Saya mempunyai gaya hidup sederhana kerana mahu mempunyai simpanan untuk masa hadapan. Saya hanya guna kereta Kancil sehingga berkahwin dan mempunyai dua anak.
"Sekiranya saya memilih untuk beli kenderaan, ia akan susut nilai. Selain rumah, saya juga ada buat simpanan untuk masa panjang seperti menabung dalam pelan simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (SSPN PLUS) untuk anak-anak.
Saya membuat perancangan bukan untuk masa muda tetapi untuk masa tua kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Ishak berpandangan terdapat beberapa kesilapan sering dilakukan golongan muda yang ingin membeli rumah akan menyebabkan mereka terpaksa menjual kembali rumah yang dibeli.
"Pertama, sejurus dapat kerja, mereka akan fikir untuk membeli kenderaan terlebih dahulu. Ada yang ingin membeli rumah tetapi tidak tahu tujuan yang tepat. Jika beli rumah untuk diami rumah itu, ia tidak lagi menjadi pelaburan kerana harus membayar rumah itu setiap bulan.
"Sekiranya mereka berniat untuk beli kerana ingin menyewa kepada orang lain, maka itu boleh dijadikan sebagai pelaburan kerana orang yang menyewa itu akan bayar balik. Apabila tamat kontrak pinjaman 30 tahun, rumah itu akan menjadi milik kita. Oleh itu, tujuan membeli rumah kena jelas dari mula,” katanya.
Pakar kewangan saran orang muda sewa dahulu baru beli rumah
Sementara itu, pakar kewangan menggalakkan golongan belia untuk tidak terburu-buru dan menyewa rumah dahulu sebelum membelinya sekiranya kewangan mereka masih belum kukuh.
Penolong Profesor Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Kuliah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Syafiee Shuid berkata, gaji golongan muda masih rendah berbanding harga rumah yang tinggi terutama di bandar besar walaupun gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lepas.
"Penyewaan merupakan pilihan yang bagus terutama jika mereka merasakan lokasi rumah tidak sesuai serta pekerjaan dan kewangan masih belum stabil. Mereka boleh memilih jenis rumah, lokasi dan kadar sewa mengikut kemampuan dan sekiranya tidak sesuai, mereka boleh buat keputusan berpindah ke rumah lain.
"Ada data yang mengatakan dalam 20 tahun, perbezaan antara gaji dengan harga rumah memang ketara dan rumah baharu dilancarkan majoritinya bernilai RM300,000 ke atas terutama di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, hartanah merupakan pelaburan yang menguntungkan, tetapi mempunyai risiko yang tinggi.
"Sekiranya golongan muda membeli rumah bertingkat atau bukan kos rendah dengan harga di luar kemampuan, mereka tidak akan dapat menampung bayaran balik pinjaman dan caj penyelenggaraan bulanan yang akhirnya terpaksa ditambah dengan duit simpanan sendiri.
"Selain itu, jika mereka memilih lokasi yang tidak bersesuaian, agak sukar untuk mereka memberi sewa mahupun menjual kembali rumah tersebut terutamanya di dalam keadaan ekonomi ketika ini,” katanya.
Syafiee berpandangan bahawa faktor yang membuatkan segelintir belia tidak mampu membeli rumah adalah disebabkan gaji golongan muda yang rendah dan berkait rapat dengan pinjaman bank yang akan dilakukan.
"Pada kebiasaannya, bank akan melihat satu per tiga daripada pendapatan kita untuk pembelian rumah. Sebagai contoh, sekiranya gaji mereka RM3,000 hanya RM1,000 sepatutnya diperuntukkan untuk bayaran balik pinjaman indeks kemampuan (affordability index) iaitu tidak melebihi 30 peratus daripada gaji peminjam.
"Rata-rata rumah mampu milik kini berharga RM300,000 ke atas, jadi gaji minimum RM1,500 juga tidak mencukupi bagi golongan muda membeli rumah. Keistimewaan golongan muda membeli rumah adalah tempoh pinjaman bayaran balik yang panjang namun pada masa sama, golongan ini menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman dari pihak institusi kewangan atas pelbagai faktor,” katanya.
Walaubagaimana pun, usaha kerajaan untuk mempelbagaikan jenis rumah yang sedia ada di pasaran seperti micro housing dapat membantu golongan muda untuk membeli rumah.
"Di bandar seperti Kuala Lumpur, trend membeli micro housing agak popular yang mana golongan muda dapat membeli rumah yang kecil kurang dari 500 kaki persegi pada harga tidak melebihi RM300,000.
Mungkin di tahun 1980-an, rumah berharga RM20,000 mempunyai 900 kaki persegi tetapi kini hanyalah 500 kaki persegi sahaja dan mungkin akan menjadi semakin kecil dengan peredaran waktu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca