SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengenal pasti lima negeri di pantai barat Semenanjung sebagai lokasi panas penggunaan haram bubu naga atau bubu kamban.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman berkata, lima negeri itu adalah Johor (Pontian, Batu Pahat dan Muar), Selangor (Tanjung Karang, Sekinchan dan Sabak Bernam), Perak (Bagan Datuk, Lekir, Manjung hingga Kerian), Kedah (Kuala Kedah) dan Pulau Pinang (Seberang Perai).
Selain itu, menurut beliau, DOF turut menerima maklumat bubu naga sudah mula digunakan di Kelantan membabitkan daerah Kota Bharu dan Tumpat.
"Kita klasifikasikan lokasi ini sebagai hotspot disebabkan ia merupakan kawasan pembiakan ikan selain dikatakan sesuai untuk melabuhkan bubu naga dengan kedalaman 0.5 meter hingga dua meter.
"Bubu naga yang sering digunakan adalah sepanjang kira-kira 10 meter dengan 12 hingga 15 injap,” katanya dalam wawancara eksklusif kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat DOF Putrajaya, baru-baru ini.
Jelas beliau, bubu naga antara kaedah penangkapan hasil laut yang dilarang selain pukat tunda dua bot, pukat sorong, renjatan elektrik, pukat hanyut, pukat insang dan lain-lain pukat yang menyerupainya dengan mata pukat melebihi 10 inci secara berhanyut atau bersauh serta letupan dan racun.
"Bubu naga ini biasanya diletakkan di kawasan muara sungai antara 0.5 batu nautika hingga lima batu nautika kerana kawasan ini merupakan tempat pembiakan ikan di mana di sinilah ikan bertelur dan membiak dengan kebanyakannya anak ikan, udang dan ketam.
"Bubu naga akan memerangkap sumber ini dan jika dibiarkan, sumber itu akan berkurangan hingga anak-anak hidupan laut dan sungai tidak sempat membesar.
"Kita (DOF) mendapati pemain atau pengusaha yang menggunakan bubu naga ini akan melabuhkan bubu itu pada waktu petang sebelum ditinggalkan semalaman,” katanya.
Mohd Sufian menambah, hasil tangkapan dengan penggunaan bubu naga dikatakan sekitar RM150 hingga RM250 melibatkan pelbagai hidupan laut termasuk anak-anak ikan seperti gelama, duri, ikan sebelah, kerapu, pari, tamban selain anak ketam, udang, siput, belangkas dan udang lipan.
Beliau memberitahu, penggunaan bubu naga akan menimbulkan konflik antara nelayan pukat hanyut berlesen dan berdasarkan kajian DOF, ia adalah satu peralatan yang bukan mesra sumber kerana segala sumber hasil laut boleh terperangkap.
"Hasil ikan yang ditangkap melalui bubu naga adalah kecil dan nilainya jauh berbeza dengan ikan yang lebih besar dan dari segi kesan ke atas sumber dan ekosistem kawasan itu, life cycle ke atas spesies bila bertelur dan membesar.
"Apabila ditangkap, ia akan jejaskan ekosistem berbanding penggunaan peralatan yang dibenarkan kerana ia lebih selektif dan tidak melibatkan anak-anak ikan,’’ jelasnya.
Bubu naga mudah dibeli
Menurut Mohd Sufian, DOF mengesan aktiviti penjualan bubu naga di premis dan medium dalam talian.
"Bubu naga boleh diperoleh dengan harga sekitar RM70 hingga RM100 bagi satu set. Ia memberi peluang untuk mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memilikinya kerana mudah dibeli di kedai dan medium dalam talian.
"Kita telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membincangkan cara menghalang penjualan bubu naga selain menguarkan di media massa berkenaan larangan ini.
"Perbincangan dengan KPDNHEP ini berkisar kepada aktiviti penjualan itu dan mereka telah mencadangkan agar barangan itu dimasukkan di dalam senarai barangan atau peralatan dilarang,” ujarnya.
Tambah beliau, selain itu, DOF turut bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membuat kawalan, tindakan dan memantau kawasan yang sering bubu naga dilabuhkan.
Jeti nelayan dipantau
Jelas beliau, selain pengawasan di laut, DOF turut memantau jeti-jeti dan pangkalan nelayan kerana ada segelintir nelayan menggunakan bubu naga sekiranya tidak turun ke laut.
"Ada juga nelayan yang hendak mudah mendapatkan hasil, mereka gunakan bubu naga. Ada sebahagiannya bukan nelayan dan hanya kerja sampingan.
"Sekiranya dikesan, tindakan rampasan serta penahanan akan dibuat mengikut Seksyen 11(3) Akta Perikanan 1985,” katanya.
DOF, menurut beliau, turut bekerjasama dengan komuniti di kawasan tertentu untuk memberi maklumat bagi tindakan operasi.
"Jabatan Perikanan amat memerlukan bantuan komuniti setempat untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara sumber perikanan dalam membasmi kaedah penangkapan ikan yang dilarang.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pangkalan Perlindungan Sumber Perikanan/Taman Laut yang terdekat atau melalui FISHCOM Putrajaya di talian 03-88704058 atau Hotline 03-88885019 atau emel fishcom@dof.gov.my,” jelasnya.