SHAH ALAM - Pusat wakaf di dalam negara disarankan supaya mempertingkat usaha membangunkan tanah wakaf untuk bekalan makanan dan perumahan rakyat dalam skala besar dengan kerjasama syarikat korporat.
Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Fuadah Johari berkata, selain sumbangan orang awam, penyediaan dana daripada pihak swasta adalah aspek amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, bagi merealisasikan usaha itu, pusat wakaf perlu lebih proaktif mempromosikan perancangan yang dilakukan, di samping turut menyelaras pembangunan tanah wakaf yang berada di bawah pengurusan mereka.
"Pembangunan tanah wakaf, contohnya untuk pertanian dan penternakan bukan amalan lazim di Malaysia tetapi sekarang ini sudah berbeza kerana ia menjadi keperluan masyarakat.
"Untuk amalan yang masih baharu seperti ini, pihak swasta mungkin belum jelas tentang peluang itu. Jadi, kena ada orang yang membuka jalan (perancangan).
"Kedua, kerjasama tersebut perlu ada penyelarasan dan ada badan induk (menguruskan) untuk menyatukan tanah wakaf terbiar dengan entiti swasta atau pemaju,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Fuadah berkata, beberapa negeri setakat ini telah memulakan pelaksanaan pembangunan tanah wakaf bagi tujuan pertanian, penternakan dan perumahan, namun hanya dalam skala yang kecil.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pusat wakaf juga perlu memperluaskan pendekatan mereka dalam membangunkan tanah wakaf dan tidak hanya tertumpu kepada projek lazim, antaranya pembinaan sekolah dan kemudahan fasiliti di masjid.
"Seperti pembangunan untuk tujuan pertanian dan penternakan, ia perkara yang penting sekarang tetapi mungkin mereka (pusat wakaf) tidak ada kepakaran atau tidak biasa lagi nak buat.
"Ia perlukan satu lonjakan drastik dari pusat zakat untuk memastikan mereka benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Fuadah, kebergantungan terhadap sumbangan orang awam dalam pembangunan projek wakaf sememangnya menyumbang kepada berlakunya situasi tanah wakaf terbiar.
Katanya, dana wakaf dalam bentuk tunai biasanya memerlukan masa yang lama untuk dikumpulkan sebelum sesuatu projek itu dapat dilaksanakan.
"Selain itu, ada juga tanah wakaf berada di lokasi tidak strategik yang menyebabkan tempoh pembangunan projek wakaf tertangguh lama. Kos penyelenggaraan yang tinggi juga menyukarkan projek wakaf dapat dibangunkan dengan jayanya.
"Kos pembinaan projek wakaf juga sering dilihat mengabaikan keperluan kos penyelenggaraan yang mengakibatkan pelan perancangan projek wakaf tidak strategik, bersifat sementara dan tidak lestari,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama daripada pihak swasta termasuk kerajaan khususnya dalam isu pendanaan amat penting bagi memastikan keberkesanan pembangunan tanah wakaf di dalam negara.
Pada masa sama, menurutnya, kekurangan data yang komprehensif dan berpusat terutama melibatkan pembangunan tanah wakaf yang tidak berdaftar milik persendirian atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan banyak projek wakaf dibangunkan secara tidak tersusun dan strategik.
Harga rumah akan rendah sehingga 30 peratus
Sementara itu, pihak pemaju perumahan di negara ini bersedia membangunkan projek pe-rumahan di atas tanah wakaf sekiranya diberi peluang oleh majlis agama negeri.
Pengurus Kanan Projek, Raya Baiduri Sdn Bhd, Noor Zaireen Abu Bakar berkata, permintaan pembangunan sesebuah projek perumahan boleh dilaksanakan sekiranya keluasan tanah yang diwakafkan melebihi satu hektar.
"Tanah wakaf selalunya tidak besar dan untuk buat projek perumahan yang banyak, saya tidak pernah dengar lagi ada orang wakafkan, (namun) setakat untuk sebuah rumah itu ada.
"Itu pun pemaju perumahan tidak akan ambil sebab keluasan tanah yang kecil dan pemaju akan pertimbangkan untuk bangunkan rumah sekiranya tanah wakaf melebihi satu hektar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Noor Zaireen berkata, pembinaan rumah di atas tanah wakaf boleh mengurangkan kos pembinaan secara keseluruhan kerana tidak perlu membayar yuran berkaitan tanah.
"Jika pembinaan di atas tanah wakaf, kos pembinaan lebih murah dan hanya melibatkan kos barang pembinaan.
"Secara keseluruhan harga rumah di atas tanah wakaf akan rendah sehingga 30 peratus berbanding rumah baharu yang dibangunkan di atas tanah komersial, namun perlu berhati-hati dan mengikut wasiat pemilik tanah sama ada untuk bangunkan rumah, masjid atau kemudahan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Zaireen turut menyarankan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk menguruskan tanah wakaf secara adil dan mengikut keperluan masyarakat agar tanah itu dapat memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Klik di sini untuk terus membaca