SHAH ALAM - Terdapat empat kekangan bagi membangunkan tanah wakaf di Malaysia, menurut Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr Amir Shaharuddin berkata, kekangan itu adalah dari sudut pentadbiran dan pengurusan, perundangan, keadaan fizikal tanah wakaf serta jenis perwakafan.
Menurutnya, kekangan dari sudut pentadbiran dan pengurusan terbahagi kepada tiga iaitu kekurangan peruntukan dana bagi tujuan pengoperasian, isu pendaftaran pemilikan tanah wakaf dan ketiadaan sistem pangkalan data yang lengkap.
"Dari sudut per-undangan melibatkan ketidakseragaman undang-undang wakaf antara negeri yang mewujudkan perbezaan dalam pemahaman tafsiran pembangunan hartanah wakaf.
"Yang kedua, tiada enakmen khusus berkaitan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negeri-negeri. Sehingga kini, hanya Selangor mempunyai undang-undang khusus untuk wakaf,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau menjelaskan, kekangan dari segi keadaan fizikal pula melibatkan lokasi tanah wakaf kurang strategik dan tidak berpotensi untuk dibangunkan.
Selain faktor lokasi, katanya, faktor keadaan fizikal tanah seperti kawasan tanah mengalami banjir, berbukit, beralun, saiz lot yang kecil dan peletakan yang bertaburan turut menjadi kekangan.
Bagi kekangan jenis perwakafan, katanya, terdapat tanah wakaf tidak dapat dibangunkan disebabkan ia adalah tanah wakaf khas.
Dalam pada itu, YWM memaklumkan terdapat 30,888.89 hektar tanah wakaf di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,236.91 hektar tanah wakaf belum dibangunkan berdasarkan Kajian Pelan Induk Pembangunan Harta Tanah Wakaf di Malaysia yang diterbitkan pada 2016.
Bagaimanapun, data tersebut telah berubah disebabkan ia dikumpulkan enam tahun lalu dan angka terkini hanya boleh diperoleh daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai Pemegang Amanah Tunggal Wakaf.
Mengulas lanjut, Amir menjelaskan MAIN juga giat membangunkan harta tanah wakaf di seluruh negara bagi mengatasi kekangan yang dihadapi.
"Contohnya, Majlis Agama Islam Pulau Pinang bekerjasama dengan UDA Holdings membangunkan projek Wakaf Seetee Aisah 2,” kata beliau.
Tambah Amir lagi, selain pembangunan harta wakaf berbentuk komersial, MAIN juga giat melaksanakan projek berbentuk sosioekonomi di atas tanah wakaf seperti wakaf pertanian.
Jelasnya, tanah wakaf sedia ada dikenal pasti dan diteroka dengan tanaman jangka pendek serta sederhana, selain beberapa projek rintis telah mula dijalankan oleh MAIN seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
"Malah, YWM juga telah mula menggerakkan usaha wakaf pertanian ini. Ia adalah salah satu platform yang menggunakan sepenuhnya potensi tanah wakaf, di samping mendatangkan hasil kepada pengusaha, MAIN dan masyarakat amnya,” kata beliau.
Ujarnya, disebabkan beberapa faktor yang menjadi kekangan kepada pembangunan tanah wakaf, potensi tanah wakaf dapat digembleng terlebih dahulu melalui projek wakaf pertanian.
"Projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, seterusnya membantu meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.
"YWM juga telah mula mengorak langkah dengan projek wakaf pertanian melalui projek Wakaf Pertanian Bersepadu (WATANI) di Putrajaya,” jelas beliau.
Usahakan tanah wakaf dengan aktiviti pertanian, bantu golongan B40
Sementara itu, tanah wakaf boleh diusahakan dengan aktiviti pertanian seperti penanaman sayur-sayuran yang menjadi salah satu alternatif untuk menangani krisis sekuriti makanan di negara ini, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan B40.
Pakar sekuriti makanan negara dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, sekiranya ada syarikat yang terlibat dalam membangunkan tanah wakaf atas tujuan pertanian, mereka boleh mengambil golongan B40 bekerja.
"Ia dapat membantu golongan berkenaan mengurangkan perbelanjaan harian, selain meningkatkan pengeluaran hasil makanan di negara ini tanpa perlu bergantung kepada makanan import dari negara luar.
"Antara tanaman yang boleh diusahakan ialah seperti kubis bulat, cili dan halia yang kebanyakan diimport dari luar.
"Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan krisis sekuriti makanan di Malaysia dan pada masa sama mengurangkan aliran wang keluar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, bagi mengatasi masalah sekuriti makanan, ia sememangnya memerlukan tanah yang mencukupi.
Menurutnya, setakat ini tanah yang digunakan untuk tanaman makanan sangat rendah berbanding tanah untuk aktiviti perladangan seperti kelapa sawit.
"Jika makanan hanya sekitar 700,000 hektar sahaja digunakan, berbanding kelapa sawit kita peruntukkan lebih daripada lima juta hektar,” katanya.
Abdul Shukor bagaimanapun turut menyarankan agar kawasan tanah rintis dijadikan lokasi pertanian.
"Kalau kita lihat banyak agensi sudah gunakan tanah rintis untuk tempat membela lembu dan menghasilkan anak benih pokok bunga.
"Jadi, apa salahnya jika kita turut menggunakan tanah rintis ini sebagai aktiviti penanaman makanan kerana kita memerlukan lebih banyak kawasan,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca