SHAH ALAM - Pelaksanaan Komponen Sastera (KOMSAS) dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah dilihat kurang berjaya dalam mendidik pelajar meminati dan memahami sastera.
Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari berkata, tempoh pembelajaran yang terlalu singkat menjadi punca pelaksanaan KOMSAS itu kurang berjaya.
Menurutnya, pelajar hanya di didedahkan dengan subjek tersebut sekitar 40 minit seminggu di sekolah sekali gus menyukarkan pelajar untuk memahami apa yang dipelajari.
"Bahan untuk KOMSAS itu setahu saya ada banyak. Kita andaikan dalam setahun ada lima puisi, novel dan drama yang perlu dipelajari. Jadi, masa tidak cukup untuk semua itu.
"Selain itu, adakah guru-guru yang mengajar KOMSAS ini menjalani kursus menjadi guru KOMSAS? Setahu saya tidak ada dan ia juga menjadi faktor pelaksanaan KOMSAS kurang berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar para pelajar diwajibkan untuk membaca Majalah Dewan Sastera yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Majalah tersebut ketika ini diberikan secara percuma dan cetakan hanya dalam bilangan yang sedikit. Jadi, mungkin orang di sekitar Kuala Lumpur boleh mendapatkannya.
"Saya berpendapat Dewan Sastera itu perlu diterbitkan dengan banyak seperti dahulu. Kemudian, pelajar diwajibkan baca Dewan Sastera.
"Jadi, dengan mewajibkan Dewan Sastera itu dibaca, pelajar berpeluang menatap majalah ini dan kecintaan kepada sastera akan bertambah," katanya.