SHAH ALAM - Cadangan Perikatan Nasional (PN) mahu menukar logo atau lambang PN kepada simbol baharu mungkin akan menjadi 'senjata makan tuan' dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.Ini kerana hakikat sebenarnya rakyat dan... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Cadangan Perikatan Nasional (PN) mahu menukar logo atau lambang PN kepada simbol baharu mungkin akan menjadi 'senjata makan tuan' dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini kerana hakikat sebenarnya rakyat dan pengundi di peringkat akar umbi bukan menolak logo PN, namun mereka menolak kepimpinan PN yang majoriti terdiri daripada individu melompat parti atau 'katak politik' serta golongan tidak tetap pendirian.

Malah, alasan pemimpin PN mahu menukar logo kerana rakyat dan pengundi termasuk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka keliru serta tertukar dengan lambang dengan BN adalah tidak masuk akal kerana itu bukan pertama kali mereka mengundi.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, tidak mungkin pengundi di Melaka dan Johor begitu naif mengenai perkembangan politik tanah air sehingga mereka boleh keliru dan tertukar antara logo PN dan BN.

DR AZMI


"Tiada kena mengenai logo dan tarikan pengundi tetapi ia berkait rapat dengan parti berkenaan dan calon. Apabila Pas mahu menggunakan logo mereka ini memperlihatkan PN sebagai organisasi politik tidak mampu meraih sokongan dan simpati pengundi terhadap parti dan calon sekali gus menjadi antara faktor utama mereka dalam pilihan raya sebelum ini.

"Justeru itu, bagi saya jika PN mahu menukarkan logo secara tiba-tiba maka ia menunjukkan gabungan tidak mahu mengakui kelemahan mereka dan mula menyalahkan logo parti. "Maksudnya apabila mereka mahu menukarkan logo maka bermakna kelemahan mereka diselesaikan walaupun hakikat sebenar kepercayaan rakyat terhadap PN atau terhadap Bersatu itu sendiri. Jadi tidak hairanlah jika Pas mahu keluar daripada bayang-bayang PN dan menggunakan logo sendiri," katanya kepada Sinar Premium.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu program di Ipoh pada 11 Julai lalu, mengesahkan PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada PRU15 nanti. Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, tindakan itu susulan cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, dua minggu lepas.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, perkara berkenaan sedang diteliti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memberikan bayangan bahawa PN akan menggunakan logo baharu bagi menghadapi PRU15 nanti.

DR MAZLAN


Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali juga tidak menolak kemungkinan PN berbuat demikian berdasarkan kajian dan kehendak akar umbinya yang keliru antara lambang PN dan BN.

Malah katanya tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pengundi luar bandar terutama orang Melayu yang tidak dapat membezakan yang mana satu logo PN dan BN kerana menggunakan warna biru gelap.

"Jika PN mahu menukar logo mereka mesti buat cepat mulai sekarang jika PRU15 mahu diadakan pada tahun depan. Jika PRU15 mahu diadakan pada Mei 2023 saya rasa tempoh hampir setahun ini cukup untuk PN melakukan persediaan dan mempromosikan logo mereka.

"Kalau boleh PN mesti menggunakan lambang dan warna berbeza dengan parti lain seperti BN (Biru gelap) dan PH (merah) sekali gus mengelakkan berlaku kekeliruan," katanya.

Mazlan menjelaskan soal rakyat boleh terima atau tidak bukan bergantung kepada lambang parti semata-mata tetapi apa matlamat di perjuangkan oleh sesebuah parti politik terbabit.

"Pas misalnya biarpun mereka menggunakan logo PN tetapi pengundinya tahu dan tetap menyokongnya kerana parti itu sebahagian daripada gabungan terbabit," katanya.

DR MOHD IZANI


Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, menyifatkan tindakan PN mahu menggunakan logo baharu mungkin agak terlewat kerana PRU15 kini semakin hampir.

Mohd Izani berkata, PN mahu berbuat demikian kerana kurang yakin mereka mampu menarik lebih ramai pengundi jika menggunakan lambang sama pada PRU15 nanti.

"Agak terlewat sebenarnya untuk memperkenalkan logo baharu parti kerana PRU15 sudah hampir. Jika logo ini ditukar, PN perlu mempromosi logo ini tapi ia tidak ada masalah kerana boleh ditularkan melalui media sosial.

"Namun kemenangan parti bukan disebabkan logo semata-mata tapi keyakinan pengundi melalui agenda yang mahu dibawa," katanya. Klik di sini untuk terus membaca