ALMARHUM Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid terkenal sebagai pengasas Tabung Haji. Arwah juga diakui sebagai ahli ekonomi Malaysia yang mempelopori perhatian terhadap pembangunan luar bandar untuk mengatasi kemiskinan desa. Malangnya, sumbangan pemikirannya dari segi lain kurang diberi perhatian yang wajar.
Berkhidmat kepada watan
Walaupun lahir dan dibesarkan di London sebelum berpindah ke Johor, pemikirannya banyak diasah sebelum, semasa dan setelah Pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Setelah Jepun menyerang Kelantan pada 8 Disember 1941, dan Singapura ‘jatuh’ pada Februari 1942, sejumlah anak lelaki daripada beberapa keluarga ‘bangsawan’, termasuk Ungku Aziz, telah dipilih untuk dihantar ke Jepun.
Di Jepun, Ungku berada di bawah jagaan keluarga Tokugawa, keluarga Shogun (Panglima Tentera), yang menguasai Jepun selama dua setengah abad sebelum pemulihan Maharaja Meiji pada 1868.
Bersama beliau di Jepun, ialah rakan karibnya, Wan Abdul Hamid, yang kemudiannya menjadi pemimpin Malayan Democratic Union (MDU) selepas Perang Dunia Kedua.
Wan Hamid antara tokoh progresif yang memainkan peranan penting membolehkan perikatan PUTERA-AMCJA menggubal dan menerima Perlembagaan Rakyat, 1947, untuk menuntut kemerdekaan Malaya. Namun, setelah Dharurat diisytiharkan oleh British pada Jun 1948, día terpaksa melarikan diri ke London.
Bagi generasi mereka, Perlembagaan Rakyat 1947 menggagaskan bahawa rupa bangsa Malaya ialah ‘bangsa Melayu’. Rupa bangsa ini ditentukan berdasarkan hubul-watan, patriotisme, bukan keturunan, salasilah (genealogi), kaum atau ras.
Kemudian, pada tahun 1960-an, teman Wan Hamid di London pada akhir tahun 1940an, Tun Razak – Timbalan Perdana Menteri ketika itu – memintanya kembali mendirikan Perbadanan Nasional (Pernas), ekoran Kong res Ekonomi Bumiputera kedua pada 1968.
Sementara itu, Ungku mengikuti alur lain. Dengan sokongan wartawan Utusan Melayu dan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah menganjurkan persidangan bahasa yang bersejarah di UM di Singapura pada 1956.
Ini telah membawa kepada penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Johor Baru, di bawah pimpinan Ungku, mulai tahun 1958. Usahanya memajukan khazanah kesusasteraan Melayu – baik semasa di DBP, mahupun di tempat lain – sentiasa bersifat inklusif, bukan eksklusif.
Maka, semasa di Singapura, bersama teman di Utusan Melayu, Ungku pernah memberi ilham kepada penuntut Universiti Nanyang, aliran Tionghua, supaya bersama-sama memajukan pengajian Melayu, yang mencerminkan bangsa baru yang diidamkannya.
Perintis Pemikiran
Ungku dianggap sebagai Renaissance man, insan ‘serba boleh’, yang mempunyai pelbagai minat, kemahiran dan bakat, termasuk seni kemanusiaan, dan pengetahuan sains, atau ilmu.
Semasa menjadi Naib Canselor rakyat Malaysia pertama yang menerajui UM, ramai seniman ditajanya, termasuk Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal. Ariff Ahmad pula dilantik sebagai Pengarah Pusat Budaya UM.
Sehingga akhir hayatnya, Ungku sibuk mengumpulkan ribuan pantun Melayu, antara lain. UM juga pernah memberi anugerah doktor kehormat kepada Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako, pengerusi Parti Buruh dan Fron Sosialis.
Pak Sako ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada pertengahan tahun 1960an bersama Aziz Ishak, ketua Parti Perhimpunan Kebangsaan, Ahmad Boestamam, ketua Partai Rakyat Malaya, dan Dr Burhanuddin Al-Helmy, ketua PAS.
Ungku terkenal kerana menggagaskan penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji. Tabung Haji ditubuhkan ekoran tulisannya pada awal dan hujung tahun 1950an tentang cara meningkatkan kadar tabungan yang rendah di kalangan orang Melayu desa.
Penubuhannya diharap dapat mengatasi kecurigaan umat Islam terhadap bunga – yang disamakan dengan riba. Dengan demikian, mereka dapat menunaikan fardhu haji dengan perasaan tidak melakukan kegiatan haram.
Sudah tentu, nama Ungku juga dikaitkan dengan pendidikan tinggi di Malaysia, bukan setakat peranan besarnya di Universiti Malaya.
Yang kurang diketahui, Penerbit UM menerbitkan versi Melayu Kurier, majalah dwibulanan UNESCO. Bahasa yang digunakan bukan Bahasa Malaysia a la DBP, atau pun Bahasa Indonesia, tetapi bahasa yang mudah difahami oleh pembaca kedua-dua negara.
Gerakan Koperasi, Aziz Ishak
Gerakan koperasi bukan hanya suatu institusi sosio-ekonomi, tetapi juga merupakan cara alternatif menyusun perhubungan ekonomi dalam masyarakat. Aziz Ishak – yang pernah bekerja di Jabatan Koperasi zaman penjajah – telah dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Koperasi yang pertama dalam kerajaan Perikatan lepas-merdeka..
Abangnya, Yusuf pula menjadi presiden Singapura pertama pada 1965, setelah Singapura terkeluar dari Malaysia. Beliau memang sudah lama disegani sebagai pengasas dan penerbit Utusan Melayu.
Sebelum akhbar itu diambilalih UMNO pada tahun 1961, Utusan merupakan akhbar Melayu yang pernah memain peranan besar menuntut kemerdekaan dan membina bangsa baharu serta budayanya. Isteri Ungku, Sharifah Azah pula telah lama bekerja di Utusan.
Ketua pengarang Utusan, Said Zahari telah memimpin mogok pekerja selama lebih 100 hari menentang usaha UMNO itu. Kemudian, beliau ditahan di bawah AKDN di Singapura selama 17 tahun mulai Februari 1963 sehingga 1979!
Pada mulanya, koperasi dianggap alat penting dalam strategi British baru melawan komunis mulai 1951. Namun, ramai di kalangan orang Melayu menganggapnya sebagai cara memajukan nasib rakyat jelata dengan cara selain perusahaan yang mengejar laba atau untung. Tetapi ramai orang tengah menguasai Perikatan di luar bandar.
Aziz Ishak juga cuba menubuhkan kilang baja urea secara koperasi para petani. Implikasinya lebih besar kerana mencabar keistimewaan yang dinikmati syarikat gergasi British seperti ICI. Sebagai menteri yang popular di kalangan petani, usaha Aziz Ishak telah mencabar kepentingan pihak yang berkuasa selepas Merdeka.
Akhirnya, Aziz Ishak diganti, dan kemudiannya, dipecat daripada jemaah menteri. Bersama-sama penyokongnya, beliau menubuhkan Parti Perhimpunan Kebangsaan, yang menyertai Fron Sosialis sehingga ditahan di bawah AKDN semasa Konfrontasi dengan Indonesia.
Namun, Ungku telah terus membela gerakan koperasi. Ekoran cadangannya, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) menjadi payung pertubuhan koperasi di seluruh Malaysia mulai Mei 1971. Ungku telah mengetuai ANGKASA hampir empat dasawarsa.
Kemiskinan dan pemerasan
Sumbangan Ungku terhadap usaha membasmi kemiskinan diketahui umum. Walaupun beliau anak saudara kepada sultan Johor, penulisan Ungku memihak kepada orang susah, dengan mendalami pemahaman terhadap kemiskinan orang Melayu luar bandar.
Malangnya, syor indeks sarongnya banyak diperlekehkan kemudian sehingga Ungku segan mengakuinya. Namun, memandangkan keadaan zaman itu, syornya amat sesuai dan berguna. Ramai penyelidik kini mengesyorkan ukuran wang tunai, yang didukung Bank Dunia, tetapi banyak diperbahaskan penyiasat lain.
Misalnya, suatu kajian di Kedah pernah membandingkan pertumbuhan jasmani dan akal anak tani akibat pemakanan. Walaupun pendapatan tunai mereka jauh lebih rendah, anak pesawah padi jauh lebih sihat dan kuat kerana dapat makan ikan sawah kecilan yang tidak dijualbeli di pasar.
Malangnya, skim makanan tambahan Kementerian Pendidikan kini tidak memenuhi keperluan anak, malah menyediakan makanan yang dibekal syarikat gergasi antarabangsa. Malah, pada pertengahan tahun 1960an lagi, Ungku telah menekankan pentingnya zat makanan selain kalori, iaitu sumber tenaga dari makanan.
Makanan demikian mengakibatkan penyakit tidak berjangkit akibat makanan yang kekurangan zat atau pun kurang sihat dari segi lain, misalnya berlebihan gula atau garam atau pun disediakan secara kurang sihat.
Siapa yang salah?
Sehingga kini, orang miskin dikatakan banyak memegang nilai, ide, kepercayaan atau pegangan yang salah. Dalam Siapa yang salah? dan Mitos Prihumi Malas, sepupu Ungku, Syed Hussein Alatas menyanggah pandangan demikian. Ini termasuk idea dalam buku Dilema Melayu Mahathir, dan Revolusi Mental susunan Setiausaha Agung UMNO, Senu Abdul Rahman.
Sekarang, terdapat versi baru pemikiran demikian juga harus ditolak walaupun lebih menggunakan istilah dan bahasa sains Barat. Namun, walaupun penulisan Ungku tentang kemiskinan banyak disanjung tinggi, fikirannya mangenai soal pemerasan atau eksploitasi kurang diakui.
Dari dahulu lagi, Ungku menyedari bahawa pemerasan petani bukan hanya kerana pemerasan ‘orang tengah’ dalam pemasaran, seperti diakui Clifton Wharton, Jr. Malah, Ungku pernah bergiat cergas menyokong gerakan pekebun kecil, terutamanya persatuan pekebun kecil Johor.
Baginya, pemerasan juga melibatkan banyak unsur lain seperti hutang, yang diterangkan Mokhzani Abdul Rahim, serta pemilikan tanah pertanian, yang dikaji Syed Husin Ali.
Nasionalisme
Pada zaman menuntut kemerdekaan di Dunia Ketiga, Ungku juga mengarang tentang nasionalisme, satu tajuk yang tidak diterima dengan baik dalam universiti ‘di tanah jajahan’. Arwah juga agak peka terhadap cabaran membina bangsa baru – yang tidak diajar, apa lagi dibicara atau dibahas.
Setelah Mei 1969, Dasar Ekonomi Baru (DEB) cuba menyediakan persekitaran mendukung cita-cita ini, dengan menyatupadukan bangsa Malaysia di mana matlamat serampang dua mata DEB – pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat demi mengurangkan ketidaksamaan ekonomi antara kaum.
Persoalan ini juga ditangani melalui Wawasan 2020 Mahathir, yang mengakui, malah ingin memajukan konsep ‘bangsa Malaysia’. Sebenarnya, konsep ‘bangsa Malaysia’ini pernah dikemukakan Tun Razak pada pertengahan tahun 1971, masa memperkenalkan DEB di Parlimen.
Konsep ini sebenarnya merupakan kesinambungan konsep ‘bangsa Melayu’ dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Ini masih merupakan cabaran bagi kita kini, lebih setengah abad kemudian. Kalau kita tidak menyelesaikannya, masa depan kita akan terus dihantuinya, dan sukar sekali kita mara, apa lagi maju.
* Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram ialah Penasihat Penyelidik Institusi Penyelidikan Khazanah
Klik di sini untuk terus membaca