SHAH ALAM - Malaysia berdepan dengan sitaan dan rampasan aset di luar negara jika kerajaan tidak segera bertindak menangani isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dianggarkan bernilai AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion). Peguam, Norman... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia berdepan dengan sitaan dan rampasan aset di luar negara jika kerajaan tidak segera bertindak menangani isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dianggarkan bernilai AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Peguam, Norman Fernandez berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah sitaan dan rampasan itu tidak terhad kepada aset-aset Petronas sahaja, sebaliknya semua aset negara termasuk kapal terbang milik Malaysia Airlines yang mendarat di luar negara.

Menurutnya, tindakan pasukan peguam penuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion) itu hanyalah permulaan dan mereka boleh bertindak lebih jauh sehingga Malaysia memenuhi keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris dengan membayar pampasan RM62.59 bilion kepada pihak waris.

Norman Fernandez

"Langkah itu boleh dibuat melalui pelaksanaan Konvensyen New York, iaitu dengan menguatkuasakan keputusan penimbang tara Sepanyol, Dr Gondoza Stampa melalui penyitaan aset Malaysia yang terletak di mana-mana daripada 167 negara penandatangan.

"Justeru, perkara pertama yang perlu dilakukan kerajaan adalah memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci, kenapa ini boleh terjadi sehingga menjadikan waris Kesultanan Sulu ini dapat membawa tindakan ini.

"Kedua, kerajaan khususnya Pejabat Peguam Negara wajar memaklumkan apakah tindakan yang telah diambil apabila penghakiman telah diberikan.

"Apabila kerajaan mendapat tahu waris-waris sedang membuat tuntutan di pelbagai mahkamah di seluruh dunia, Malaysia harus ambil tahu apakah keputusan terhadap tuntutan-tuntutan itu dan bertindak untuk mengetepikan penghakiman.

"Ketiga, Malaysia mesti ambil langkah berhati-hati dan memberitahu apakah tindakan yang dibuat setelah aset negara dirampas kerana kita tidak mahu isu ini menjadi kecoh di pasaran saham,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Konvensyen New York adalah konvensyen mengenai pengiktirafan dan penguatkuasaan anugerah timbang tara asing, juga dikenali sebagai Konvensyen Timbang Tara New York.

Ia merupakan salah satu instrumen utama dalam timbang tara antarabangsa dan terpakai kepada pengiktirafan dan penguatkuasaan anugerah timbang tara asing dan rujukan oleh mahkamah kepada timbang tara.

Mengulas lanjut, Norman melihat keputusan berani peguam penuntut itu adalah kerana mereka sudah mendapat ‘award’ dari mahkamah dan mereka kini mencari harta-harta negara yang bersamaan dengan nilai itu.

Jelasnya, tindakan waris Kesultanan Sulu ini dilihat tidak terhad untuk mengambil aset Petronas sahaja tetapi mana-mana aset negara di seluruh dunia, bagi menyempurnakan tuntutan itu.

"Bagaimanapun, saya percaya jika Malaysia bertindak cepat dan lebih bersedia, kita mempunyai cukup alasan untuk mempertikaikan tuntutan waris.

"Pertamanya, kita tidak tahu waris yang menuntut adalah waris sah Kesultanan Sulu. Adakah waris-waris yang menuntut dan mendapatkan penghakiman ini adalah waris sah yang diiktiraf?

"Ini kerana waris Kesultanan Sulu sudah mendapat penghakiman tetapi kita tidak tahu waris ini mempunyai hak.

"Keduanya, sama ada keputusan timbang tara tersebut telah dijalankan dengan sempurna. Adalah pelik waris Kesultanan Sulu yang dahulunya menyerang Malaysia, kemudian kita pula yang perlu membayar bayaran tahunan kepada mereka,” jelasnya.

Pada masa sama, Norman menuntut penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara tentang apakah tindakan yang telah dilakukan sebelum ini apabila mereka mengetahui satu penghakiman telah diperoleh.

Tegasnya, jika Peguam Negara memilih untuk berdiam diri atau tidak memberikan penjelasan, ini akan mengakibatkan orang ramai membuat andaian yang mungkin tidak betul.

"Rakyat khuatir apakah harta negara di merata tempat di seluruh dunia akan dirampas, sebagaimana kita hilang Batu Puteh. Rakyat nak tahu sekiranya apa-apa tindakan yang perlu diambil dalam keadaan serta-merta atau akhirnya kita menerima padah.

"Lebih daripada itu, ini bukanlah masa untuk orang politik mengeruhkan keadaan. Semua ahli politik harus berperanan membantu dan mencari jalan penyelesaian.

"Ini masanya untuk pemimpin, ahli politik dan rakyat bersatu untuk memastikan kita tidak akan kehilangan mana-mana aset negara,” katanya.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.

Ia juga adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada tahun 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Petronas dalam satu kenyataan pada Selasa mengesahkan rampasan tersebut, namun menegaskan telah melupuskan semua aset di Azerbaijan.

Klik di sini untuk terus membaca