PERISTIWA dikenakan hukuman penjara selama tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah mengenai tarikh lawatan tiga anaknya cukup membekas di hati wanita yang bernama EMILIA HANAFI, 43.
Hukuman ke atas Emilia menimbulkan kegemparan masyarakat sementelah beliau merupakan bekas isteri ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, selain ada yang mendakwa hukuman itu terlalu berat bagi kesalahan tersebut.
Ikuti wawancara khas wartawan, MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI bersama Emilia di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kuala Lumpur, baru-baru ini.
SINAR PREMIUM: Kes melibatkan Emilia tiba-tiba menjadi sebutan ramai tapi mungkin ada sebahagian masyarakat belum mengenali Emilia sepenuhnya. Bolehkah berkongsi latar belakang siapakah Emilia sebenarnya?
EMILIA: Saya memiliki tiga cahaya mata, kesemuanya anak lelaki. Sekarang ini yang sulung berusia 16 tahun, yang kedua 12 tahun dan bongsu 10 tahun. Sebenarnya mereka anak-anak yang sudah besar dan mumayiz, yang boleh faham dan boleh buat keputusan sendiri.
Untuk pengetahuan semua, saya sekarang dalam perjalanan (perbicaraan) di Mahkamah Majistret. Saya telah menunggu perbicaraan kes keganasan rumah tangga saya selama hampir tujuh tahun dan akhirnya dapat bicara pada 14 Disember 2021 dan masih dalam prosiding mahkamah, jadi saya tidak dapat mengulas tentang kes saya, sebab saya tidak mahu prejudis kes saya di mahkamah.
Tetapi saya ingin berkongsi kes sebelum ini. Saya sebenarnya orang kena tuduh (OKT) telah dilepaskan dan dibebaskan tanpa bicara.
Namun alhamdulillah, saya dapat buat rayuan dan kini kes dibuka semula. Saya diberi peluang untuk kes saya ini dibicarakan, dari situ boleh nampak perjalanan kes saya yang amat rumit sekali selama tujuh tahun. Itu baru di Mahkamah Jenayah Majistret (323), (326).
Saya juga melalui tujuh tahun di Mahkamah Syariah dan dari situ juga pelbagai cabaran dihadapi. Saya juga tidak dapat mengulas sebab masih ada kes-kes dalam Mahkamah Syariah seperti edah, mutaah masih belum selesai walaupun selepas tujuh tahun saya bercerai iaitu pada 2016, sekarang sudah 2022, lama sangat.
Saya juga ingin membuka semula kes nafkah saya yang sebelum ini ditutup tapi saya diberi peluang untuk membuka semula kes. Jika tidak boleh, baru saya akan mengambil nasihat untuk buka di Mahkamah Sivil. Insya-ALLAH, selagi boleh di Mahkamah Syariah, saya akan cuba.
Kisah Emilia dipenjara baru-baru ini mendapat reaksi bercampur baur daripada masyarakat, mungkin boleh berkongsi mengenainya?
Saya masuk penjara dengan hati yang tenang, saya reda, jadi bila saya langkah kaki saya baca bismillah, masuk ke dalam penjara itu saya tidak lagi berasa takut.
Dinding penjara yang tinggi-tinggi, ‘gate-gate’ penjara yang sangat besar, kalau kita berdiri kita sangat kecil dengan dikelilingi dawai duri, kalau saya sentuh sikit sahaja saya boleh tercedera, sangat tajam dan dawai duri itu di merata tempat.
Tapi alhamdulillah, ALLAH mempermudah, jadi saya tidak ada rasa takut dan tiada kes-kes buli terjadi ke atas saya.
Mereka (banduan-banduan) bersimpati ke atas saya sebab mereka tidak faham kenapa saya dimasukkan ke dalam penjara. Apabila bertanya, awak masuk penjara kerana apa? Ada yang menjawab sebab kes samun, dadah, pelacuran dan sebagainya tapi saya masuk sebab tukar tarikh mahkamah, jadi mereka macam berasa bertanggungjawab untuk menjaga saya.
Sepanjang di dalam penjara apa yang paling diingati dan pengalaman pahit manis di sana?
Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah menyambut hari lahir yang jatuh ketika saya di dalam penjara. Saya disambut oleh warden-warden, cikgu-cikgu dan banduan-banduan lain.
Unit saya ada tujuh orang, blok saya adalah Dahlia, bilik nombor tiga bersama tujuh unit banduan yang lain. Di dalam itu semua kes pendatang warga Indonesia, saya seorang sahaja warganegara Malaysia.
Pada hari lahir saya, warden bagi empat ekor ikan kembung, bukan sahaja untuk saya tapi untuk semua tujuh unit lain. Itulah kenangan saya di sana.
Semasa saya di dalam penjara, anak-anak saya amat rindukan saya. Bila saya pulang, semua berkerumun dekat saya, anak-anak saya tunggu saya lama. Sepanjang saya di dalam penjara, mereka tidur di katil saya.
Memang sangat sedih pada hari pertama saya masuk penjara kerana pada hari sama adalah hari peperiksaan besar anak saya. Anda bayangkan hati seorang anak yang mahu mengambil peperiksaan di hari ibunya masuk penjara. Dia minta saya doakan kejayaannya, saya hanya mampu berdoa dari penjara. Dia ambil peperiksaan dalam keadaan dia risaukan keselamatan saya di penjara.
Perasaan Emilia sebagai ibu yang terpaksa hadapi hakikat kehidupan di penjara dan rasa tidak terbela oleh sistem sedia ada?
Saya rasa hukuman pun sudah dijatuhkan, bagi saya biarlah saya dapat keadilan untuk kes-kes yang lain, masih ada banyak lagi kes di mahkamah.
Jadi saya harap mendapat keadilan dengan memperjuangkan hak yang sebenarnya, banyak yang saya tak dapat masukkan dalam afidavit saya di Mahkamah Syariah seperti contoh kes keganasan rumah tangga saya tidak dapat dimasukkan dalam kes Mahkamah Syariah dan telah ditolak. Saya ada perintah perlindungan pun tidak diiktiraf oleh Mahkamah Syariah.
Jadi, saya harap pada masa akan datang kes-kes keganasan rumah tangga ini, walaupun ia di Mahkamah Majistret tetapi perlu dimasukkan ke dalam Mahkamah Syariah sebab dalam kes hadanah ia ada unsur-unsur keselamatan. Saya rasa untuk lihat kes perceraian biasa dan perceraian yang ada unsur keganasan rumah tangga, itu patut dilihat dari sudut yang berbeza. Saya rasa untuk dilihat sebagai kes yang sama mungkin tidak sesuai.
Selepas apa yang berlaku, apa yang membuat Emilia bangkit dan tekad untuk terus berjuang dalam hidup?
Meskipun apa yang terjadi, saya akan terus bangkit untuk anak-anak dan demi keadilan saya.
Sekiranya dilihat di mahkamah pun kes hadanah saya sebagai defendan, kes harta sepencarian, saya defendan bukan plaintif.
Saya plaintif untuk kes nafkah anak, edah, mutaah, itu semua memang hak saya, harta sepencarian bekas suami difailkan ke atas saya, jadi dia hendak mengambil harta itu 100 peratus.
Emilia juga dianggap sebagi simbol atau contoh wanita yang berjuang dalam hidup berumah tangga, boleh kongsikan?
Saya lagi bersemangat, automatik jadi lebih kuat selepas keluar penjara.
Untuk pengetahuan, sebenarnya ramai orang yang hantar mesej kepada saya, beri kata-kata semangat agar saya tidak putus asa, teruskan perjuangan dan secara tidak langsung saya juga memberi kata-kata semangat kepada mereka dengan mengembalikan semangat itu supaya mereka terus menjadi kuat untuk mengharungi liku-liku kehidupan.
Kebanyakan mereka yang mesej saya mempunyai kes-kes yang sama seperti saya seperti kes ibu tunggal, mereka yang dianiaya dan banyak kes penderaan.
Kebanyakan mereka berkongsi misalnya mereka pun ada kes mahkamah, jadi kami sering bertukar doa. Itu sahaja yang saya mampu buat masa ini, mungkin itu kecil tetapi secara tidak langsung ia memberi kesan yang besar iaitu memberi harapan kepada semua yang melihat kes saya, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka.
Kehidupan kini bagaimana?
Saya masih hidup dalam kekhuatiran, masih lagi hidup dalam ketakutan.
Pernah tayar kereta saya dicucuk, pengawal peribadi sebelah sana pernah menunjukkan pistol kepada saya, macam-macamlah, namun sudah tidak berlaku lagi kini.
Alhamdulillah, saya rasa selamat sikit dengan PPIM, ada orang menunggu di luar kawasan sekolah anak-anak dan sebagainya, jadi nak tak nak saya perlu hidup dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga.
Alhamdulillah, dalam tiga tahun dari 2019 saya dengan PPIM, sudah tiada lagi ancaman, anak-anak pun masih dalam survival.
Saya amat berharap untuk mendapatkan hak-hak mereka di Mahkamah Syariah dari segi nafkah dan sebagainya.
Sekarang ini memang sayalah yang jaga anak-anak, dengan RM2,000 sebulan hendak duduk di KL, itulah nak bayar sewa rumah, bil utiliti, beli pakaian mereka, bayar bil perubatan mereka, duit tuisyen, pihak belah sana, rumah pun tidak diberi.
Sebenarnya, bekas suami beri RM2,000 sebulan. Pada suatu ketika, dia bagi kad kredit, dia hadkan penggunaan RM1,000 sahaja untuk seorang anak, yang RM2,000 itu dia potong, jadi dia bagi RM1,000 sahaja dan hanya diberi untuk tempoh sembilan bulan.
Bila orang tidak tahu, mereka dengar dia bagi kad kredit, mereka ingat kad kredit itu lumayan sangat tapi sebenarnya tidak, nilai yang diberi hanya RM1,000.