LEBIH 700,000 etnik Muslim Rohingya terpaksa meninggalkan rumah masing-masing di negeri Rakhine kerana tindakan keras yang dilakukan oleh tentera Myanmar pada Ogos 2017 sehingga menyebabkan mereka melarikan diri ke Bangladesh dan negara-negara lain.
Sehubungan itu, sebahagian daripada mereka tinggal di kem-kem pelarian di Bangladesh dan antaranya ialah kem Kutupalong di Ukhia, Cox's Bazar apabila ia dihuni lebih 800,000 pelarian sekali gus merupakan yang terbesar di dunia.
Dalam laporan misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia mendapati bahawa tentera Myanmar melakukan empat daripada lima perbuatan yang menyebabkan berlakunya pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik tersebut.
Laporan itu turut menyatakan bahawa Ketua Junta Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing yang merupakan pemimpin rampasan kuasa terhadap kerajaan awam pada Februari 2021 dan lima jeneral kanan lain mesti didakwa kerana berlakunya kejadian pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang terhadap kemanusiaan.
Namun, Tentera Myanmar telah menafikan pihaknya bertindak kejam terhadap etnik Rohingya di Rakhine selain menegaskan bahawa operasi ketenteraan yang dilakukannya adalah wajar untuk menumpaskan militan-militan Tentera Penyelamat Arakan Rohingya yang menyerang pos-pos sempadan pada Ogos 2017.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah menerima pakai resolusi bagi menggesa Myanmar menerima kepulangan pelarian-pelarian Rohingya yang teraniaya dan berlindung di Bangladesh tanpa berlengah-lengah lagi.
Seorang menteri Bangladesh bagi pengurusan bencana dan bantuan pernah berkata bahawa bilangan Rohingya di negaranya telah meningkat ekoran kelahiran lebih 100,000 bayi selepas kemasukan etnik tersebut pada tahun 2017.
Resolusi PBB itu dikeluarkan pada 7 Julai lalu setelah beribu-ribu pelarian Rohingya mengadakan perhimpunan aman di Bangladesh pada bulan lalu dengan menyatakan mereka mahu kembali ke Myanmar setelah melarikan diri daripada gelombang penganiayaan etnik dan agama sejak tahun 1978.
Hanya sehari sebelum Hari Pelarian Sedunia disambut dalam bulan Jun itu, etnik tersebut yang berada di 34 kem pelarian sesak di daerah Cox's Bazar, Bangladesh mengadakan tunjuk perasaan dengan mengibarkan sepanduk bagi menyatakan kesediaan mahu pulang ke Myanmar.
Para pelarian itu membuat sebanyak 19 tuntutan termasuk penghantaran pulang dilakukan dengan segera dan bermaruah selain disertai oleh organisasi-organisasi antarabangsa dalam proses mereka dihantar kembali ke negara asal.
Menurut laporan, para pelarian itu menuntut penghantaran pulang ke Myanmar sebagai warganegara penuh dan pindaan terhadap Akta Kewarganegaraan 1982.
Ia juga menuntut penghantaran pulang dilakukan dengan penyertaan Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), PBB, ASEAN dan komuniti antarabangsa lain dan diberikan perlindungan hak, maruah serta keselamatan mereka selain penamatan penganiayaan terhadap rakyat Myanmar yang tidak bersalah.
Sebelum ini, percubaan penghantaran pulang para pelarian tersebut dari Bangladesh menemui kegagalan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2018 dan 2019 dan antara kegagalan itu adalah disebabkan oleh situasi yang menakutkan di Myanmar.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB juga telah menyeru Myanmar untuk segera memulakan penghantaran pulang secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan terhadap etnik Rohinghya yang terperangkap di kem-kem pelarian di Bangladesh.
Ia juga menerima resolusi yang menyatakan kebimbangan besar terhadap laporan berterusan tentang pencabulan hak-hak asasi manusia yang serius dan penyalahgunaan di Myanmar, khususnya terhadap Muslim Rohingya dan minoriti lain.
Sehingga kini tentera Myanmar terus berdiam diri dalam isu tentang kewarganegaraan Rohingya dan sejak lima tahun lalu, tiada ada mana-mana pelarian Rohingya dilaporkan berjaya kembali semula ke negara mereka.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi sebelum ini turut berharap para pelarian Rohingya dapat pulang secara sukarela ke Myanmar jika keadaan di negara berkenaan mengizinkan.
Menurut seorang penyelidik India, Dr Arpita Hazarika, dalam kebanjiran etnik Rohingya sebelum ini ke Bangladesh pada tahun 1970an dan 1990an dan penghantaran pulang secara sukarela Myanmar melalui perjanjian dengan Bangladesh.
Ketika itu, Myanmar membawa mereka kembali kerana mereka tertakluk kepada sekatan Barat pada masa itu tetapi ia tidak berlaku sekarang.
Beliau yang menulis artikel dalam Geopolitical Monitor baru-baru ini berkata, UK dan negara-negara Barat lain terus membuat pelaburan besar di Myanmar walaupun terdapat bukti berlaku penganiayaan terhadap Rohingya.
Dunia termasuk UK mesti memberi tekanan kepada Myanmar untuk menerima kembali warga Rohingya kerana ia telah melabur sebanyak AS$2.5 bilion (RM11.09 bilion) di negara berkenaan sejak tiga tahun lalu, katanya.
Menurutnya, dunia juga harus meningkatkan tekanan ke atas Myanmar untuk menerima penghantaran pulang segera Rohingya dari Bangladesh.
Ini adalah kerana Bangladesh tidak boleh menyelesaikan masalah Rohingya secara sendirian. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca