PENAMPANG - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memastikan pegawai atau peguamnya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan aset di luar negara akan dijadikan sasaran waris Kesultanan Sulu.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun mengakui Mara mempunyai aset di luar negara selain aset di bawah Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).
Katanya, pihak Mara sentiasa memantau perkembangan itu memandangkan Mara turut memiliki beberapa aset di luar negara.
"(Mara) memang ada aset di luar negara bukan sahaja di bawah Mara Inc, Mara sendiri memang ada aset di luar negara.
"Ini perkara yang baru kita dapat tahu (rampasan aset Petronas oleh waris Kesultanan Sulu) tetapi, kita akan memastikan pegawai kita atau wakil di luar negara menjaga (aset).
Kita akan rujuk peguam untuk kita lihat perkembangan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Outlet Canggih Go, di Kapayan di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan aset Mara di luar negara turut menjadi sasaran rampasan wakil waris kesultanan Sulu selepas tindakan mereka merampas aset milik dua anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang dianggarkan bernilai RM8.87 bilion di Azerbaijan.
Lebih banyak aset kerajaan bakal terancam
Sementara itu, kerajaan berisiko hilang lebih banyak aset kepada waris Kesultanan Sulu sekiranya tiada tindakan perundangan segera diambil.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, rampasan itu masih boleh berlaku sekiranya award asal bidang kuasa dikeluarkan oleh penimbang tara Dr Gondoza Stampa di Madrid, Sepanyol yang memihak kepada waris Kesultanan Sulu pada Februari lalu masih wujud.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah memohon pembatalan keputusan muktamad award tersebut, namun tiada perkembangan yang diumumkan hasil permohonan tersebut.
"Selagi award Dr Stampa itu masih wujud, maka mana-mana aset negara di mana-mana bidang kuasa luar negara yang mempunyai pengiktirafan di bawah Konvensyen New York 1963 akan terdedah.
"Aset negara ini bukan Petronas sahaja malah aset kerajaan yang lain juga akan berisiko dirampas.
"Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu menjelaskan apakah kedudukan prosiding ataupun keputusan muktamad berhubung permohonan untuk rayuan penuh award asal bidang kuasa yang dikeluarkan oleh timbang tara Dr Stampa itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas mengenai tindakan yang boleh dilakukan kerajaan, Mohamed Haniff berkata kerajaan harus segera mendapatkan perintah muktamad untuk membatalkan award Dr Stampa tersebut.
"Selain itu, untuk kes di Luxemborg, kita kena dapatkan kepastian dari segi perundangan adakah kita sudah menjual kedua-dua aset Petronas tersebut dan sudah memperoleh hasil jualan berkenaan.
"Jika belum, hasil jualan tersebut masih belum terakru di bawah perjanjian jual beli tersebut, maka kita terdedah hilang wang sebab pihak Sulu boleh meminta pembeli tersebut membayar baki harga belian kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, Petronas juga wajar memohon penggantungan penyitaan dua aset yang telah dirampas tersebut sehingga menunggu keputusan award timbang tara itu.
Klik di sini untuk terus membaca