SUATU ketika dahulu Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pernah menghasilkan Laporan Kualiti Hidup di Malaysia. Laporan yang telah dihasilkan bagi tahun 1999, 2002, 2004 dan 2011 menggunakan 10 bidang untuk diukur dengan melihat 38 indikator.
Laporan terakhir diterbitkan pada 2013 diberi tajuk baharu dan dikenali sebagai Laporan Kesejahteraan Rakyat Malaysia. Ia meletakkan dua kategori utama iaitu kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial diukur berdasarkan beberapa sub-indeks berkaitan.
Apa pun indikator digunakan, yang penting ada ukuran boleh kita jadikan sandaran untuk melihat sejauh mana keberkesanan segala usaha telah diambil oleh kerajaan dan pada masa sama kita dapat melihat sejauh mana kualiti hidup rakyat telah diperbaiki atau sebaliknya.
Laporan itu berbeza dengan laporan-laporan disediakan oleh agensi antarabangsa yang selalunya kita sangsikan. Bezanya kerana laporan tersebut kita hasilkan sendiri berdasarkan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia atau disediakan agensi kerajaan bertanggungjawab.
Kata kuncinya di sini adalah laporan bertanggungjawab dan bukan menggunakan data yang telah dicantikkan serta dimolekkan untuk sesetengah pihak dilihat sebagai berjaya melaksanakan tugas mereka.
Ini bukan soal siapa berjaya atau tidak. Ini soal menaikkan taraf kualiti hidup atau tahap kesejahteraan rakyat. Maka sebab itu, datanya harus tepat dan telus. Benchmark yang kita gunakan juga harus bersumberkan data sahih.
Apa yang saya maksudkan dalam konteks benchmark? Sebagai contoh, dalam bidang kesihatan, antara indikator yang kita ukur untuk melihat sama ada kualiti hidup rakyat setara dengan negara maju adalah melihat nisbah doktor dengan penduduk atau melihat nisbah katil di hospital dengan jumlah penduduk. Berapa rationya?
Dilaporkan di Korea Selatan untuk setiap 1,000 penduduk, mereka mempunyai 12.3 katil di hospital. Ia jauh lebih tinggi daripada purata jumlah katil hospital untuk negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang hanya mencatat 4.7 katil bagi setiap 1,000 penduduk.
Bagaimana dengan kita? Berdasarkan laporan 2018, ratio kita adalah 1.98:1,000. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan di penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), ratio kita akan meningkat menjadi 2.08:1,000.
Korea Selatan mempunyai jumlah penduduk hampir 52 juta orang berbanding kita, hanya 32 juta orang. Walaupun penduduk mereka jauh lebih tinggi, mereka memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dengan menyediakan kemudahan hospital yang jauh lebih baik daripada purata ratio dikira dari negara-negara ahli OECD.
Inilah contoh laporan yang kita perlukan waktu ini untuk melihat di mana kedudukan kita sekiranya ingin menjadi seperti negara-negara yang dijadikan sandaran benchmark.
Laporan seperti ini penting, lebih-lebih lagi pada waktu rakyat semakin sinis dengan kuasa membeli yang ada. Hari ini ini kita dapat melihat begitu banyak infografik di media sosial menunjukkan apa yang boleh dibeli dengan wang RM50 berbanding 10 atau 20 tahun lalu.
Laporan Kualiti Hidup seperti ini akan memberi gambaran sebenar dan membantu perancang ekonomi, pentadbir, pembuat undang-undang serta pemimpin negara untuk membuat keputusan bersumberkan data dan maklumat tepat.
Selain yang saya sebutkan di atas, apakah antara bidang dan indikator yang perlu kita pantau?
Antaranya, untuk melihat pendapatan dan pengagihan dalam kalangan rakyat, berapa KNK per kapita sebenar? Berapa kadar kemiskinan dalam negara? Adakah pendapatan isi rumah mencukupi untuk sebuah keluarga yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur?
Data-data itu ada terkandung dalam kajian Household Income dan Household Expenditure Survey yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia.
Kita juga perlu melihat tahap pendidikan, kualiti perumahan, kelestarian alam sekitar, kualiti pengangkutan awam dan tahap kehidupan keluarga kita.
Ia hanya sebahagian indikator yang perlu kita sebagai rakyat tahu di mana kedudukan kita jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain.
Saya pasti maklumat-maklumat itu ada dan sedang diberi penelitian mendalam, cuma pada pandangan saya, dalam usaha kerajaan untuk mendapat keyakinan rakyat terbanyak, elok juga dikongsi data maklumat tersebut kepada khalayak.
Rakyat boleh melihat sendiri di tahap mana kualiti hidup mereka pada hari ini dan apa usaha kerajaan untuk memperbaikinya.
*Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca