BERITA politik terbesar tanah air untuk tempoh tujuh hari lalu ialah kemunculan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh pendahulunya, Tan Sri... Klik di sini untuk terus membaca

BERITA politik terbesar tanah air untuk tempoh tujuh hari lalu ialah kemunculan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh pendahulunya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MoA itu menjanjikan menteri mentor kepada Muhyiddin, pengekalan komposisi menteri antara parti-parti kerajaan, dan paling dipertikaikan, Timbalan Perdana Menteri untuk Bersatu.

Ia seolah-olah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) yang telah menstabilkan kerajaannya selama 10 bulan ini.

Namun, MoA tersebut mengundang kemarahan dalaman kerana ia dimeterai secara sulit dan tanpa restu parti. Meskipun kompromi UMNO kepada Muhyiddin mungkin tidak dapat dielakkan ketika itu kecuali jika UMNO sanggup menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Apakah impaknya? Ada empat pada pengamatan dan analisis saya yang cetek ini. Pertama, kewibawaan Ismail Sabri dalam UMNO menjadi lebih lemah dan persepsi bahawa beliau dikawal oleh Muhyiddin serta Bersatu terus menebal.

Kedua, peluang Ismail Sabri memenangi pemilihan parti UMNO menjadi tipis walaupun jika ia diadakan pada tahun ini dan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Maka, kebarangkalian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak pindaan perlembagaan parti UMNO menjadi rendah dari minggu lalu.

Sekalipun tradisi pra-2018 UMNO ialah orang yang sama untuk presiden parti dan Perdana Menteri kerajaan, dan walaupun pimpinan UMNO lama mengatakan mahu mengelak perpecahan parti sebelum PRU, MoA sulit itu mewujudkan alasan baik bagi Datuk Seri Mohamad Hasan atau pemimpin lain agar tidak memberi laluan.

Ketiga, kebarangkalian PRU15 diadakan awal juga tipis kerana tiada tanda Ismail Sabri ingin bersara sebelum 10 Februari 2023 dan menggantikan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dengan penggal paling pendek (539 hari).

Sekalipun UMNO sanggup terus berjanji untuk menjadikan Ismail Sabri ‘poster boy’ BN PRU15, peluang beliau meneruskan kerjayanya sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 semakin samar.

Keempat, ironinya kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tetap kukuh kerana mengekalkan beliau adalah pilihan paling tidak memudaratkan untuk ketiga-tiga pihak – UMNO, PN dan PH.

Jika UMNO atau PN menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri, maka kekosongan mereka boleh diganti dengan senang oleh PH yang secara konsisten inginkan PRU15 pada penggal penuh.

Takkan UMNO atau PN inginkan PH kembali menikmati ‘kelebihan penyandang’ (incumbency advantage) pada PRU15?

Maka, UMNO tidak mungkin memecat Ismail Sabri seperti spekulasi oleh ‘kilang khabar angin’. Muhyiddin juga tidak dapat berbuat apa-apa jika janji Timbalan Perdana Menteri tidak dikotakan.

Atas unjuran empat impak tersebut, maka kerajaan Ismail Sabri mungkin akan berterusan sehingga Parlimen genap tempohnya pada 16 Julai 2023 dengan spekulasi PRU awal yang ditunda dari satu tarikh ke tarikh yang lain.

Daripada menjaga rakyat dalam krisis 3E (ekonomi, ekologi dan endemik), semua menteri akan sibuk membuat rancangan menjaga diri sendiri pada PRU15 yang tidak tetap tarikhnya itu.

Ia akan merugikan rakyat dan Ismail Sabri. UMNO dan PN akan mengundang kemarahan rakyat.

Penyelesaian terbaik mungkin satu MoU 2.0 antara UMNO, PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan semua parti kecil yang menjanjikan tempoh penuh untuk Ismail Sabri serta rombakan kabinet yang dapat memuaskan UMNO, PN dan paling penting rakyat Malaysia.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca