NAMA Stadium Shah Alam cukup sinonim dengan nadi denyutan Selangor. Stadium ini pernah jadi kandang aksi untuk banyak pasukan ternama dunia seperti Flamengo, Bayern Munich, Chelsea, Arsenal dan Dundee United. Namun, sayang sekali Stadium... Klik di sini untuk terus membaca

NAMA Stadium Shah Alam cukup sinonim dengan nadi denyutan Selangor. Stadium ini pernah jadi kandang aksi untuk banyak pasukan ternama dunia seperti Flamengo, Bayern Munich, Chelsea, Arsenal dan Dundee United.

Namun, sayang sekali Stadium Shah Alam kini umpama primadona tersohor tersungkur daripada takhta kemasyhuran.Dari segenap sudut, Stadium Shah Alam dilihat sangat menjelikkan.

Dari kejauhan, bumbung polikarbonat yang diilhamkan persis Stadium Hadjuk Split di Croatia sangat menyedihkan.

Stadium Shah Alam umpama mimpi ngeri kepada peminat tegar Merah Kuning yang pernah menjadi 'raja bola sepak’ Malaysia suatu ketika dahulu.

Stadium Shah Alam juga dipercayai ditenggelami air hampir 2 meter angkara banjir besar pada penghujung Disember tahun lalu.

Klimaks kisah sedih stadium tersebut menjelma apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membayangkan kemungkinan Stadium Shah Alam dirobohkan demi memberi laluan kepada stadium baharu dengan kapasiti antara 30,000 dan 40,000 penonton.

Timbullah segala polemik tentang yang mana harus dilakukan kerajaan Selangor. Roboh atau cantikkan semula Stadium Shah Alam? Penulis difahamkan kos untuk mencantikkan semula mencecah RM300 juta.

Bagi peminat yang bernostalgia, mereka pasti mahukan Stadium Shah Alam dikekalkan sebagai kehebatan Selangor.

Justeru, penulis mencadangkan satu kajian kebolehlaksanaan dilaksana secara terperinci dan sifar silap sebelum keputusan muktamad diambil.

Kesan merobohkan bangunan bersaiz gergasi sangat besar khususnya dari perspektif debu kesan roboh yang boleh menjadi bahan pencemar serius.

Kawasan sekitar boleh tercemar dan membahayakan kesihatan. Ia juga boleh merosakkan tumbuhan dan ekosistem kawasan berdekatan.

Debu pepejal atau habuk dalam pelbagai saiz terbentuk akibat kerja merobohkan stadium berkenaan, boleh dihirup penduduk berhampiran.

Debu pepejal dibawa udara dikategorikan mengikut saiz boleh dihirup atau dihidu manusia sehingga menembusi paru-paru. Ia dikenali sebagai zarah bawah saiz 10 mikron (PM-10).

Pepejal boleh melayang masuk pada sistem pernafasan ini dikenali sebagai silia dan membran mukus. Ia boleh kekal dalam paru-paru.

Ganti diesel

Bagaimanapun, masalah itu boleh diatasi menggunakan sistem penindasan habuk berasaskan air disasarkan pada bahagian bangunan yang hendak dirobohkan seperti strukturnya sentiasa basah sebelum, semasa dan selepas proses meroboh.

Sebagai tambahan, penggunaan pengadang habuk dan debu yang tinggi di sekeliling tapak perobohan boleh dilakukan untuk menyekat habuk tersebar ke kawasan sekitar.

Penulis juga ingin mencadangkan penggunaan peralatan mesin pemecah berasaskan minyak sayuran terawat hidro (HVO) menggantikan minyak diesel bagi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 90 peratus dan pelepasan oksida nitrogen sebanyak 30 peratus ke udara berbanding diesel.

Kesan bunyi daripada mesin merobohkan stadium berkenaan pasti memberi kesan negatif kepada penduduk sekeliling. Pencemaran bunyi juga mengganggu haiwan.

Kerajaan Selangor harus meneliti pesanan ALLAH SWT menerusi Surah al-Mulk ayat 3-4:

"Dialah (ALLAH) Yang telah menciptakan tujuh petala langit yang berlapis-lapis, kamu sekali-kali tidak dapat melihat pada ciptaan ALLAH Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah, (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan mu, dapatkah engkau melihat sebarang ketidakseimbangan? Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah.”

Sistem penyelesaian kejuruteraan boleh dilaksanakan demi mengurangkan kesan alam sekitar. Dalam hal ini, industri pembinaan dan perobohan wajar memainkan peranan proaktif bagi menangani kesan alam sekitar.

Akhirnya, tanpa mengira sama ada ia diroboh atau dicantikkan semula, penulis percaya Stadium Shah Alam mesti dilengkapi pelbagai kemudahan sukan canggih yang dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI).

Selain bangunan pintar, Selangor wajar mewujudkan sebuah Universiti Pendidikan dan Latihan Sukan Antarabangsa dengan mengambil contoh seperti China bertujuan melahirkan atlet, jurulatih, kejuruteraan sukan, juruteknik dan pengajar dalam pelbagai jenis sukan bertaraf dunia.

*Profesor Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor.

Klik di sini untuk terus membaca