KEMPEN RM3 untuk seekor tikus mungkin kedengaran lucu tetapi itulah program terkini Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Melaka. Kempen dengan cogan kata 'Tukar Tikus Jadi Duit' itu menawarkan ganjaran RM3 seekor kepada penduduk di... Klik di sini untuk terus membaca

KEMPEN RM3 untuk seekor tikus mungkin kedengaran lucu tetapi itulah program terkini Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Melaka.

Kempen dengan cogan kata 'Tukar Tikus Jadi Duit' itu menawarkan ganjaran RM3 seekor kepada penduduk di daerah itu yang berjaya menangkap tikus sama ada hidup atau mati. Kempen itu berlangsung sehingga 17 Ogos depan.

Sebenarnya kempen seperti ini bukanlah asing di negara ini.

Majlis Perbandaran Sandakan, Sabah baru sahaja melaksanakan kempen membasmi tikus selama dua hari awal minggu ini dengan ganjaran RM1 untuk seekor tikus.

Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulakan program RM1 untuk seekor tikus sejak 2008 lagi sebelum kadar 'upah' itu dinaikkan kepada RM3 pada 2012.

Statistik DBKL pada 2013 menunjukkan terdapat 6.8 juta tikus yang bersarang di ibu negara, lebih empat kali ganda daripada jumlah penduduk.

Tikus itu dilapor membiak mendadak sehingga populasinya bertambah sebanyak dua peratus setiap tahun.

Tiga kawasan yang mempunyai populasi tikus paling banyak di Kuala Lumpur ialah Pasar Chow Kit, Pasar Pudu dan Pasar Sentul.

Mamalia perosak ini sememangnya selalu memberi masalah kepada manusia. Populasi tikus yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap ekonomi bahkan mencemarkan imej negara.

Tabiat tikus yang suka menggigit akan merosakkan infrastruktur seperti kabel komputer dan peralatan elektronik. Tikus kelaparan juga mampu merobek wayar elektrik dan ini berisiko menyebabkan kebakaran.

Ia juga memberi kesan kepada kesihatan awam. Menurut portal MyHealth, tikus mampu menyebarkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung termasuk hawar dan leptospirosis iaitu penyakit kencing tikus yang boleh membawa maut.

Mungkin kita tidak pernah terbayang kehadiran tikus di kedai makan mewah di dalam pusat beli-belah terkenal. Tetapi itulah yang terjadi di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

Seorang pengguna Twitter @Azwinshafinaz telah berkongsi tangkap layar Instastory Sarah Shimmers yang memaparkan gambar beberapa ekor tikus berkeliaran di kedai makan tersebut.

Menerusi perkongsian itu, Sarah telah memberitahu pekerja di sana bahawa terdapat tikus tetapi tiada apa-apa tindakan diambil.

Sarah berasa kecewa kerana berpendapat pekerja kedai itu sepatutnya melakukan sesuatu apabila melihat kehadiran tikus tersebut.

Jika restoran lima bintang pun boleh ada tikus, apa pula nasib medan selera dan gerai tepi jalan. Di sesetengah tempat, makanan sedap tapi tikus bermaharajalela.

Baru-baru ini di Shah Alam, Selangor, sebanyak 34 premis makanan diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan selepas didapati kotor dengan kehadiran tikus selain lipas dan lalat.

Sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan pula terpaksa mengambil langkah meningkatkan tahap kebersihan susulan sebuah video yang menunjukkan tikus berkeliaran di wad kanak-kanak hospital tersebut tular baru-baru ini.

Program tangkap tikus anjuran pihak berkuasa tempatan bukan tak bagus.

Cuma ia kurang tepat dalam merawat masalah sebenar tikus berkeliaran. 'Perangkap' paling berkesan adalah menjaga kebersihan.

Tikus tak mungkin pupus namun dapat dikurangkan jika semua isi rumah menjaga kebersihan.

Tabiat pengotor hanya akan memberi kesempatan tikus membiak dan menyebarkan pelbagai jenis kuman.

Pengusaha makanan pula harus memastikan tiada sisa makanan dibuang ke dalam longkang. Semua sampah mesti dibungkus sebelum diletakkan dalam tong sampah.

Dalam pada itu, kontraktor pemungut sampah sepatutnya turut mengutip sampah yang terjatuh di luar tong sampah.

Malangnya tabiat orang ramai yang suka membuang bungkusan dan sisa makanan ke longkang dan tepi jalan masih berleluasa.

Bayangkan betapa banyaknya tikus jika 17,000 tan sisa makanan yang dibuang setiap hari oleh rakyat negara ini tidak diurus dengan betul.

Kalau itulah yang berlaku, selama-lamanya tikus akan kelihatan di mana-mana.

Walaupun buat kempen tangkap tikus RM10 seekor pun, tikus tetap banyak. Silap-silap ada yang membiakkan tikus sendiri untuk dapat duit!

** Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.

Klik di sini untuk terus membaca