SASTERAWAN Negara, Datuk Rahman Shaari percaya kaum bukan Melayu mampu mendapat gelaran serupa seperti dirinya suatu hari nanti. Menurutnya, faktor kaum bukan persoalan yang dipertimbangkan oleh pihak yang menilai untuk seseorang itu... Klik di sini untuk terus membaca

SASTERAWAN Negara, Datuk Rahman Shaari percaya kaum bukan Melayu mampu mendapat gelaran serupa seperti dirinya suatu hari nanti.

Menurutnya, faktor kaum bukan persoalan yang dipertimbangkan oleh pihak yang menilai untuk seseorang itu dinobatkan sebagai Sasterawan Negara atau tidak.

"Sebagai contoh dalam satu masa (dahulu), ada orang kata wanita tidak (sesuai) menjadi Sasterawan Negara. Tetapi kemudian, Datuk Dr Zurinah Hassan digelar Sasterawan Negara.

"Jadi, hal itu (berkaitan kaum) bukan perkara yang masuk ke fikiran orang yang menilai,” katanya.

Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai isu dalam wawancara eksklusif Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

JOHAN: Apa pandangan dan perasaan Datuk selepas berkecimpung dalam dunia kesusasteraan selama hampir lima dekad dan diberi penganugerahan tertinggi negara?

RAHMAN: Kalau tak kata gembira tipulah pula. Sebenarnya berasa gembira tetapi tidaklah sampai keterlaluan atau berlebih-lebih sangat.

Sebab itu, satu daripada sumbangan atau pemberian daripada pihak pemerintah kepada seseorang yang bergiat terus menerus. Saya memang melaksanakan kegiatan ini daripada tahun 1970-an lagi.

Penerima anugerah ini ialah tokoh-tokoh terbilang bermula daripada Keris Mas tahun 1981, kemudian Usman Awang, Arena Wati. Datuk tersenarai dalam kelompok mereka yang dianggap ‘raksasa’ dalam dunia Kesusasteraan Melayu?

Itu terpulang kepada anggapan umum, anggapan Tan Sri dan anggapan penonton. Kita sebagai pengkarya, menghasilkan karya mengikut kemampuan dan penilaian daripada pihak lain itu sentiasa berbagai-bagai.

Ada karya yang dianggap tinggi kerana penerimaan pihak yang menilainya. Ada pula karya yang dianggap sebaliknya. Itu keadaannya.

Datuk ialah individu kelapan daripada 15 orang Sasterawan Negara yang terdiri dari kalangan penyair. Agaknya apa keistimewaan penyair dalam konteks anugerah ini?

Pertamanya, penilaian diberi secara keseluruhan iaitu masing-masing yang bertugas menilai, membaca semua karya yang ditunjukkan kepada mereka.

Tetapi kalau tiba-tiba sehingga jumlah yang agak besar di antara karya itu terdiri daripada puisi dan menyebabkan penyair menerima anugerah, saya fikir kerana puisi itu sendiri mempunyai sifat yang memuatkan perasaan dan pemikiran mudah dicungkil dan dikemukakan sebagai karya yang berkesan.

Lebih mudah daripada sesebuah karya lain. Misalnya kalau novel, mungkin pengutamaan kepada cerita. Jadi hal yang berkaitan dengan pemikiran itu ditemui jarang-jarang. Itu kemungkinannya.

Kalau puisi, sebab bentuknya pendek dan dibaca terus karya itu. Kalau karya itu bermutu tinggi dengan cepat dapat dilihat. Itu tanggapan saya.

Datuk merupakan orang pertama dari Perlis yang diberikan anugerah ini. Pastinya orang Perlis bangga?

Seperti yang Tan Sri sebutkan. Selepas diumumkan, saya balik ke Perlis dan pergi ke satu majlis.

Dalam majlis itu, mereka menyebut (bahawa) berasa bangga bukan kerana saya tetapi ada orang Perlis yang menjadi Sasterawan Negara.

Bagaimana datang idea atau ilham untuk menulis?

Yang itu payah untuk disebutkan. Pada masa dahulu, bacaan saya adalah A Samad Ahmad iaitu buku Hikayat Hang Tuah yang dipermudahkan. Ada beberapa cerpen yang sempat saya baca dan selepas itu berhasrat untuk menulis karya dalam bentuk cerpen.

Jadi, saya mulakan dengan menulis cerpen dahulu. Cerpen yang saya buat itu sangat ringkas. Saya menemani mak saya. Saya kayuh basikal membawa mak pergi ke kebun di tepi hutan.

Di situ, dia menanam pokok dan menggemburkan tanah supaya pokok itu elok. Saya menghilangkan diri dengan masuk ke hutan. Mak saya tidak mengetahuinya dan saya pergi jauh. Selepas itu sesat dan hendak patah balik pula tidak boleh. Mujur terjumpa kucing dan saya ikut kucing itu sampai ke rumah orang. Kalau tidak, saya duduk dalam (hutan) itu. Masa itu, tidak takut kepada harimau dan ular.

Apa yang saya nak ceritakan ialah itulah cerpen pertama saya, Sesat di Hutan.

Datuk ada menyebut buku tulisan A Samad Ahmad iaitu Hikayat Hang Tuah sedikit sebanyak memulakan minat kepada sastera. Siapa lagi penulis yang mempengaruhi kreativiti Datuk?

Selepas A Samad Ahmad, saya membaca (karya) Keris Mas dan Shahnon Ahmad. Selepas itu puisi Usman Awang. Tentunya Usman Awang memberikan pengaruh yang kuat.

Selepas itu, penulis yang mempengaruhi ialah Suhaimi Muhammad. Saya berasa aneh membaca karya Suhaimi Muhammad disebabkan dia tidak memakai kaedah puitis seperti Usman Awang.

Apa pengaruh besar sasterawan lain ke atas Rahman Shaari sebagai penulis?

Yang saya sebutkan itu tidak habis lagi, baru beberapa. Yang lain-lain juga memberikan pengaruh. Tetapi bila memberikan pengaruh, tidak semestinya kita ikut.

Karya-karya itu saya sukai, saya baca betul-betul tetapi tidak berhasrat untuk mengikut caranya kerana yakin seseorang sasterawan mesti ada cara tersendiri.

Bagaimanapun, dalam tahun 1970-an, oleh sebab saya masuk ke kuliah Muhammad Salleh, beberapa orang ada menulis di surat khabar mengatakan saya dipengaruhi oleh Muhammad.

Saya pun tidak tahu, barangkali dia sudah menjadi guru kita, secara tidak langsung masuk dalam kaedahnya sedikit sebanyak. Tetapi secara keseluruhannya tidak.

Tan Sri bertanya tentang penulis luar. Penulis luar itu tiga orang boleh saya sebut. Subagio Sastrowardoyo, W S Rendra dan Chairil Anwar. Sajak-sajak mereka itu memang saya sukai.

Dalam laporan panel Anugerah Sastera ada menyebut kekuatan Rahman Shaari adalah genre puisi. Puisinya sarat pemikiran serta memerlukan penaksiran yang mendalam. Agak-agak dari segi perspektif penulis, apa maksud kenyataan dalam laporan ini?

Apabila menyebut tentang pemikiran, saya tidak boleh lari daripada guru saya, Muhammad Salleh. Sebab dia memang mengatakan pemikiran mesti berada di atas perasaan. Selalu orang mengatakan kalau tulis sajak ini, lawan dengan perasaan. Tetapi Muhammad memberikan keterbalikannya. Perasaan kena ada tetapi pemikiran mesti atas lagi.

Kalau itu yang dimaksudkan oleh pihak yang menilai, jadi ada kemungkinan mereka bermaksud mengatakan sajak-sajak saya ini disebut juga oleh Muhammad Salleh pada suatu masa dahulu dalam tulisannya sajak idea.

Saya pun tidak tahu banyak mana sajak yang dinamakan sajak idea sebab ketika kita menulis, kita menerima ilham.

Masa kita menghasilkannya itu dalam proses suntingan, masa itu masuknya fikiran kita yang barangkali bersifat asli berbanding dengan pemikiran yang berada di sekeliling.

Ramai orang menulis puisi panjang tetapi Rahman Shaari menulis puisi pendek. Apakah puisi yang sangat dekat dan bermakna bagi Datuk?

Yang memenangi hadiah sastera, saya ada lima. Kalau Tan Sri sebut yang satu, tidak termasuk dalam lima itu. Lima itu ialah Hamparan Kuning, Giliran, Mencari Isteri, Kita Katakan Tidak dan Bahasa. Yang satu ini tidak menang hadiah sastera tetapi ini yang saya sukai dan saya bawa ke banyak tempat iaitu Sengsara.

Datuk menerbitkan 10 antologi puisi bermula daripada Kesan Kunjungan pada tahun 1981 sehingga terakhir iaitu Penunggang Kenyataan. Dalam tempoh 34 tahun perbezaan antara kumpulan puisi pertama dan terakhir ini, apa yang Datuk rasa perbezaan dari segi tema, persoalan dan idea?

Pada awal penulisan saya itu, bersifat mahu menyatakan apa yang difikirkan dan dirasai. Jadi, saya kurang memikirkan apakah kenyataan yang ada dalam masyarakat. Ertinya, yang terbaru itu lebih bersifat dekat dengan masyarakat.

Apabila saya sedar perubahan itu, saya namakan buku tersebut sebagai Penunggang Kenyataan. Ia kerana apa yang ada di sekeliling kita, kita tunggangi.

Apakah sebelum Penunggang Kenyataan, Datuk lebih romantis berbanding lebih kritikal dan sebagainya?

Kemungkinan memang ada begitu. Tetapi, saya sentiasa memelihara bahasa agar tidak romantik sangat. Saya sentiasa menjaganya supaya tidak ada bahasa yang mendayu atau memikat kalbu.

Datuk menulis 11 buah novel, tetapi tidak ramai bercakap mengenai Rahman Shaari dan novelnya. Antara Mufarakah, Takungan Hajat, Semoga Molek dan sebagainya. Adakah Datuk merasakan ia bukan kekuatan dari segi berkarya?

Mula-mula saya tertanya adakah saya berupaya dalam penulisan novel. Tetapi, apabila ada dua orang mengadaptasi ke bentuk drama novel Suluh Peraba oleh Zakaria Arifin menjadi skrip drama pentas. Saya arahkan drama tersebut di Negeri Sembilan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Oleh sebab tidak diberitahu pun bahawa dia mahu melaksanakan itu dan apabila dah siap, barulah diberitahu. Jadi, saya merasakan karya saya dihargai.

Begitu juga karya saya iaitu Mufarakah yang diadaptasi oleh Siti Jasmina Ibrahim dalam bentuk drama televisyen. Novel saya diterima oleh kawan dan Siti Jasmina itu murid saya di Aswara. Jadi, mereka melaksanakan adaptasi itu dan ada penerimaan.

Orang kata Datuk ini ‘Hafiz’ puisi kerana hafal lebih 300 puisi sendiri dan puisi orang. Kenapa buat kerja luar biasa ini?

Orang boleh kata kerja ini kerja berat dan tidak bawa faedah. Sebenarnya tidak begitu. Kalau kita pandu kereta seorang diri, boleh baca al-Quran, doa dan boleh baca juga sajak. Jadi, kalau kita ulang-ulang itu akan terhafal. Kita ada pilihan.

Masa hendak melaksanakan hafalan itu, saya memikirkan kalau pelakon drama menghafal skrip, kenapa tak boleh hafal puisi. Jadi, kita hafal puisi, naik ke pentas dan membuat persembahan, penonton melihatnya lebih selesa daripada pegang kertas. Jadi, saya berfikir begitu dan lama-lama menjadi tabiat.

Ada juga puisi yang baru saya hafal dalam seminggu dua ini. Ada sajak yang mudah hafal itu bersifat memorable, selepas itu saya terjemahkan menjadi mudahfal (mudah hafal). Dewan Sastera sudah terima istilah ini, tetapi DBP seluruhnya tidak tahulah.

Tidak semua sajak mudah dihafal. Ada sajak kita baca lima enam kali boleh dihafal, ada sajak kita baca banyak kali tidak mudah dihafal.

Dalam dunia hari ini, apabila manusia lebih mementingkan kebendaan, mereka berlumba-lumba buat duit menjadi kaya raya. Di mana peranan sastera?

Di pusat perkembangan kurikulum dulu, saya bertugas menjaga bahagian pendidikan sastera. Berlainan daripada kawan saya yang menjaga pendidikan bahasa. Pada masa itu, impian untuk menjadikan rakyat Malaysia mencintai sastera sudah ada.

Sekarang ini macam Tan Sri sebutkan, memang betul makin lama makin orang mengetepikan sastera dan mereka ada kegiatan lain yang tiada kaitan dengan sastera. Bahkan bahasa pun digunakan bukan secara sebaiknya. Sebaliknya, menuju kepada keracunan atau pencemaran.

Pada pandangan saya, mesti ada usaha untuk mengubah keadaan ini supaya rakyat Malaysia sedikit demi sedikit kembali atau menuju kepada apresiasi sastera.

Kalau diperhatikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pernah mencuba konsep Komsas (Komponen Sastera), iaitu anak-anak kita dalam Tingkatan Satu, Dua dan Tiga didedahkan kepada karya sastera dalam pengajian Bahasa Melayu. Adakah itu cara terbaik untuk memperkenalkan sastera kepada generasi muda?

Kita ucapkan terima kasih kepada kementerian atas usaha tersebut. Tetapi, usaha itu kurang berjaya kerana masa yang diambil untuk mempelajari Komsas itu hanya 40 minit seminggu bukannya sehari.

Adakah guru menjalankan pengajarannya dengan kaedah yang dipelajari di mana-mana. Maksudnya adakah mereka menjalani kursus menjadi guru Komsas?

Itu menjadi persoalan dan setahu saya tidak ada. Jadi mereka ialah guru Bahasa Melayu biasa. Guru itu menggunakan masa dan ada kemungkinan disuruh baca bahan, soal jawab biasa bertanya tentang watak, bertanya tentang tema.

Apabila selesai mereka pelajari selama setahun dan kita tanya apa nama buku yang dipelajari, pelajar itu tidak ingat kerana sedikit sangat masa. 40 minit itu bahannya banyak kalau untuk setahun itu.

Saya andaikan puisi lima buah, ada novel dan drama, tetapi hanya 40 minit dalam seminggu untuk mempelajarinya.

Apa yang boleh dilakukan oleh DBP dalam isu pembinaan dan pengembangan sastera kini? Apakah cukup apa yang dibuat oleh DBP?

Majalah Dewan Sastera masih hidup, tetapi sekarang ini diberikan secara percuma kepada pembaca. Kita tahu dengan pemberian percuma itu, maka ia tidak dicetak dengan banyaknya. Jadi, mungkin orang di sekitar Kuala Lumpur berpeluang mendapatkannya. Di Melaka, susah nak dapat apatah lagi di Perlis.

Penyebarannya sangat minimum dan dengan itu saya memikirkan Dewan Sastera perlu diterbitkan dengan banyak seperti dahulu dan setiap sekolah diwajibkan membacanya.

Dengan mewajibkan Dewan Sastera itu dibaca, tidak semestinya dalam kelas sastera. Ia akan membolehkan semua pelajar menatap majalah itu dan membuatkan kecintaan kepada sastera akan bertambah.

Setelah 15 orang, belum ada lagi Sasterawan Negara daripada bukan Melayu. Apakah tidak ada sasterawan kita yang bukan Melayu berupaya mencapai kedudukan Rahman Shaari dan lain-lain?

Saya fikir, itu bukan persoalan yang dipertimbangkan oleh pihak yang menilai. Saya fikir sesiapa sahaja dinilai dalam kedudukan yang sama. Sebagai contoh dalam satu masa, wanita tidak menjadi Sasterawan Negara.

Tetapi, kemudiannya Datuk Dr Zurinah Hassan menjadi Sasterawan Negara. Jadi, hal itu tidak menjadi perkara yang masuk ke fikiran orang yang menilai. Sebab kalau begitu, kita anggap penilaian itu tidak betul kerana bersandarkan kepada kaum, jantina dan sebagainya.

Apakah harapan Rahman Shaari tentang masa depan sastera di negara kita ini?

Saya mengharapkan apresiasi dan pemberian perhatian kepada sastera itu akan bertambah di masa depan dengan usaha daripada KPM dan DBP boleh memperkembangkan sastera dan dapat didekati oleh umum.

Persatuan pun boleh melaksanakan tugas ini iaitu dengan melaksanakan kegiatan yang bersifat pendidikan sastera.

Daripada 15 Sasterawan Negara, hanya tinggal lima orang yang masih hidup. Apa Sasterawan Negara ini boleh buat untuk menyemarakkan minat terhadap sastera dan memastikan negara kita melahirkan manusia yang ada nilai budaya sastera.

Selain daripada Sasterawan Negara, institusi perlu membuka ruang. Sekarang ini sudah ada, misalnya universiti tertentu membuka ruang untuk semua pelajar memberi perhatian kepada Sasterawan Negara yang diundang memberi bimbingan, berbicara tentang sastera dan menggalakkan pembacaan.

Kegiatan ini perlu ada, jika tidak sastera makin terpinggir.

Klik di sini untuk terus membaca