WALAUPUN Israel telah lama terkenal dengan usaha-usahanya untuk menggagalkan cita-cita nuklear Tehran namun para pegawai Israel semakin bimbang terhadap pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron milik Iran. Pada awal bulan ini, tentera... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN Israel telah lama terkenal dengan usaha-usahanya untuk menggagalkan cita-cita nuklear Tehran namun para pegawai Israel semakin bimbang terhadap pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron milik Iran.

Pada awal bulan ini, tentera Israel berkata, ia telah memintas empat buah dron yang tidak bersenjata menuju ke pelantar gas luar pesisir Israel dan mendakwa ia adalah buatan Iran serta dilancarkan oleh kumpulan Lubnan yang disokong Tehran iaitu Hizbullah.

Ketika kebimbangan meningkat mengenai kemungkinan akan berlaku peperangan dron, rejim Zionis berharap sistem Iron Beam yang digunakan negara haram tersebut akan melindunginya.

Walaupun sistem berkenaan belum lagi beroperasi, peralatan ketenteraan itu digambarkan sebagai 'pengubah permainan' pada April lalu oleh Perdana Menteri Israel ketika itu, Naftali Bennett.

Pada Rabu lalu, tentera Israel menunjukkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tentang rakaman dron yang berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Iron Dome yang sedia ada milik rejim Zionis dan sistem Iron Beam yang menggunakan teknologi laser.

"Ia (Iron Beam) akan beroperasi dalam beberapa tahun sahaja, ia akan berada di lapangan, disepadukan dengan Iron Dome," kata Daniel Gold iaitu Ketua Penyelidikan di Kementerian Pertahanan Israel memberitahu AFP.

Beliau berkata, kedua-dua sistem itu akan melengkapi antara satu sama lain.

Membentangkan teknologi sedemikian kepada Biden adalah langkah yang strategik untuk Israel kerana Washington telah meluluskan pakej bernilai berbilion-bilion dolar pada September lalu untuk sistem Iron Dome.

Menurut Eyal Pinko iaitu bekas pegawai perisikan tentera laut Israel, rejim Zionis telah menjangkakan terdapat peningkatan ancaman dron dari Iran dan proksi serantaunya.

"Sejak tahun 2009, terdapat persefahaman dalam kalangan pihak perisikan tentera laut Israel bahawa UAV Hezbullah akan menjadi ancaman kepada pelantar-pelantar (gas) Israel," kata Pink yang merupakan seorang pakar perisikan di Universiti Bar-Ilan, Tel Aviv.

"Iran memahami selama bertahun-tahun yang lalu bahawa dron adalah pengganda daya iaitu platform yang penting dan agak murah," katanya kepada AFP.

Uzi Rubin iaitu bekas pakar di Kementerian Pertahanan Israel dalam sistem antipeluru berpandu berkata bahawa memintas dron adalah satu cabaran besar kerana teknologi laser akan mempunyai lebih banyak kapasiti terhadap dron berbanding roket dan peluru berpandu.

Tentera Israel pernah menyatakan bahawa ia telah berjaya memintas pada Mac 2021 dua buah dron Iran yang sarat dengan senjata untuk para pejuang Gaza di Palestin.

Dron milik Iran mampu membawa peluru berpandu buatannya sendiri. - Foto AFP

Kemampuan Iran tidak boleh diperkecilkan kerana menurut laporan yang diterbitkan pada Mei lalu oleh badan pemikir Majlis Eropah Mengenai Hubungan luar bahawa negara tersebut telah menjadi kuasa dron utama di rantau Asia Barat.

"Negara itu membina armada dronnya yang luas selama bertahun-tahun terutamanya kerana keperluan, bertujuan untuk mengimbangi tentera udaranya yang lama yang telah menerima kesan akibat sekatan (Barat) selama berdekad-dekad," tambah kumpulan berkenaan.

Armada Tehran adalah termasuk dron Gaza yang boleh terbang selama 35 jam, menurut Agensi Berita Fars Iran.

Pada Isnin lalu, Rumah Putih mendedahkan maklumat risikan bahawa Tehran bersedia untuk menyediakan Rusia sehingga beberapa ratus UAV dalam tempoh yang dipercepatkan bagi digunakan dalam perangnya menentang Ukraine.

Jake Sullivan iaitu Penasihat Keselamatan Negara AS pernah menyatakan bahawa kerajaan Iran sedang bersedia menghantar beberapa ratus UAV ke Rusia, termasuk pesawat udara tanpa pemandu yang mampu membawa senjata.

Walaupun Israel berhasrat untuk menentang UAV buatan Iran dengan teknologi baharu dan menerusia pakatan serantau ia juga pernah melancarkan serangan pada Mac lalu di sebuah lokasi milik Iran yang menyimpan berpuluh-puluh dron bersenjata.

Bagaimanapun, beberapa minggu kemudian, televisyen negara Iran menyiarkan rakaman tentang kemudahan yang tersembunyi di sebuah kawasan pergunungan iaitu pangkalan bawah tanah untuk pesawat-pesawat UAV tentera milik negara tersebut.

Kira-kira 100 buah dron sedang disimpan termasuk Ababil-5 yang menurut laporan ia boleh dipasang dengan peluru berpandu Qaem-9 di kemudahan bawah tanah di Zagros iaitu banjaran yang meliputi kawasan Iran, utara Iraq dan tenggara Turkiye.

Tehran mempunyai pelbagai jenis pesawat tanpa pemandu seperti dron Karra dilengkapi senjata peluru berpandu dari udara-ke-darat, Mohajer-2N, Mohajer-6, Kaman-12 untuk tujuan misi peninjauan dan Pelican-2 yang boleh mendarat di perairan antarabangsa. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca