SHAH ALAM - Salah seorang calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu menjangkakan isu pembentukan khemah besar pembangkang berkemungkinan menjadi usul utama dibincangkan dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula 15... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Salah seorang calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu menjangkakan isu pembentukan khemah besar pembangkang berkemungkinan menjadi usul utama dibincangkan dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula 15 Julai ini.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, usul cadangan khemah besar pembangkang itu dijangka akan disentuh oleh Timbalan Presiden PKR baharu, Rafizi Ramli dalam ucapan dasar beliau di kongres ini kelak.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isu kontroversi pemilihan PKR termasuk pembentangan laporan audit forensik keputusan pemilihan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan turut dibincangkan.

"Usul perbincangan idea khemah besar mungkin akan jadi fokus utama Rafizi dalam ucapan dasar beliau kelak.

"Begitu juga dengan isu permaslahatan hidup rakyat Malaysia yang semakin terjejas dek krisis ekonomi melanda negara ketika ini termasuk isu sekuriti makanan, peningkatan kos harga barang dan peluang pekerjaan.

"Saya turut yakin ucapan-ucapan dasar Naib Presiden lain yang dipilih seperti Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan dua menteri besar akan lebih memfokuskan isu khemah besar dan hala tuju parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," ujarnya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perjalanan Kongres Nasional Ke-16 PKR yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini bermula 15 hingga 17 Julai ini.

Tumpuan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Kongres Nasional ke-16 PKR juga terarah pada pemilihan jawatan MPP parti itu yang dijangka dimonopoli pemimpin dari kem Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

Wong Chen juga merupakan salah satu daripada 26 calon ahli MPP PKR yang dipromosi Rafizi secara terbuka menerusi lama sosialnya dengan kelompok ini disifatkan beliau sebagai mereka yang menolak cadangan khemah besar pembangkang.

Perancangan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kewibawaan kepimpinan Timbalan Presiden yang baharu dilantik serta hala tuju keseluruhan parti untuk tempoh lima tahun dijangka menjadi perkara yang akan dibincangkan.

Selain itu, isu berkaitan masyarakat seperti kenaikan kos sara hidup dan konsep kepentingan rakyat dalam sistem politik negara juga bakal menjadi tumpuan perbahasan ahli PKR yang melihat perkara sedemikian sebagai penting untuk meraih sokongan menjelang PRU15 nanti.

Sementara itu, Wong Chen tidak menolak kemungkinan cadangan memasukkan kempen 'Ayuh Malaysia' sebagai sebahagian daripada gerak kerja parti di bawah kepimpinan baharu bagi menghadapi PRU15, bakal dipertimbangkan.

Dengan kempen dipelopori Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar itu sudah dilancarkan lebih awal sebelum proses pemilihan parti berlangsung, beliau yakin impak kempen 'Ayuh Malaysia' yang memfokuskan usaha mendekati pengundi atas pagar dan pengundi muda 18 tahun ke atas, mampu memberi nilai tambah kepada peluang kemenangan parti pada PRU15.

Klik di sini untuk terus membaca