KOTA BHARU - Pangkalan haram Gergaji, Rahmat dan Kajang antara lokasi hot spot para penyeludup sekitar kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas untuk menyeleweng barangan bersubsidi Malaysia ke negara jiran melalui Sungai Golok. Tiga lokasi... Klik di sini untuk terus membaca

KOTA BHARU - Pangkalan haram Gergaji, Rahmat dan Kajang antara lokasi hot spot para penyeludup sekitar kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas untuk menyeleweng barangan bersubsidi Malaysia ke negara jiran melalui Sungai Golok.

Tiga lokasi tersebut juga adalah sebahagian daripada 128 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen di Rantau Panjang sehingga Pos Tanjong, Pengkalan Kubor, Tumpat turut menjadi port membawa masuk barangan dari Thailand seperti beras, barangan kontraban dan lain-lain.

Dilaporkan, pangkalan haram itu juga mempunyai ‘penjaga’ yang bertindak sebagai ‘mata-mata’ dalam menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran anggota penguat kuasa sekali gus membolehkan mereka lolos walaupun diserbu secara mengejut.

Bukan itu sahaja, kebanyakan pangkalan haram tersebut berada di kawasan tanah milik individu sekali gus menyukarkan penugasan pihak berkuasa kerana lokasi itu majoritinya didirikan dinding dan memerlukan kebenaran pemilik terlebih dahulu.

Lokasi berubah-ubah

Penguatkuasaan yang ketat di setiap pangkalan haram menyebabkan penyeludup sentiasa bertukar-tukar lokasi pangkalan haram bagi memastikan aktiviti mereka berjalan mengikut jadual.

Kehadiran pihak berkuasa di pangkalan haram sekitar Rantau Panjang, Kelantan menyebabkan penyeludup sentiasa bertukar-tukar lokasi.

Namun struktur muka bumi, arus sungai dan persekitaran adalah antara perkara yang diambil kira oleh pihak penyeludup dalam memilih pangkalan haram yang sesuai untuk aktiviti tersebut.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sukar untuk pihaknya menentukan pangkalan haram yang paling panas dalam kalangan penyeludup.

"Hal ini kerana mereka sentiasa bertukar-tukar lokasi pangkalan haram.

"Apabila lokasi tersebut terdapat pihak berkuasa, mereka beralih ke lokasi yang lain, begitulah seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, bagaimanapun ia tidak menggugat kredibiliti pihak berkuasa walaupun mereka menggunakan pelbagai taktik.

Tegasnya, polis mempunyai gerak kerja yang pelbagai variasi dalam usaha membanteras aktiviti jenayah tersebut.

"Untuk makluman, polis Kelantan memberikan penekanan kepada tiga lapisan kawalan iaitu sempadan negara, sekatan jalan raya (SJR) dan sempadan negeri.

"Sempadan negara biasanya melibatkan kawalan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Wawasan.

"Jika terlepas di lapisan pertama, kita akan atur gerak pasukan di lapisan kedua (SJR) dan ketiga (sempadan negeri) menerusi pelbagai kaedah seperti rondaan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca