SHAH ALAM - Tumpuan perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Kongres Nasional ke-16 selama tiga hari bermula hari ini, di sini antaranya terarah kepada pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Penganalisis Politik daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tumpuan perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Kongres Nasional ke-16 selama tiga hari bermula hari ini, di sini antaranya terarah kepada pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Penganalisis Politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, setelah memenangi jawatan Timbalan Presiden baru-baru ini, Rafizi Ramli dan kumpulannya dijangka mendapat sokongan perwakilan pada undian yang akan diadakan pada Sabtu.

Ujarnya, dalam pemilihan parti sebelum ini, selain jawatan nombor dua, jawatan Naib Presiden serta peringkat cabang juga banyak dimenangi pemimpin atau calon yang pro-Rafizi.

"Maknanya Rafizi bawa ‘gelombang baharu’ dalam keadaan PKR sekarang sedang bergelut untuk mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat apabila mereka kalah dalam tiga siri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Sarawak, Melaka dan Johor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mazlan menjelaskan, sokongan akar umbi dan penyokong parti ketika ini dilihat condong kepada Rafizi dan kemnya kerana mereka beranggapan parti tersebut memerlukan suntikan baharu.

"Jadi akar umbi dan penyokong menterjemah kemahuan mereka dengan mengangkat Rafizi sebagai orang kanan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Rafizi diyakini dapat memberi suntikan baharu kepada parti dari segi idea-ideanya yang dilihat menongkah arus termasuk tidak bersetuju dengan cadangan khemah besar,” katanya.

Tegas beliau, dengan barisan kepimpinan yang didominasi pemimpin pro-Rafizi itu, ia dijangka membawa perjuangan baharu PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ditanya mengenai pemimpin yang berada di kem Rafizi, Mazlan memberitahu, sebahagian besarnya adalah nama-nama popular dalam PKR.

"Pada asasnya mereka dah ada nama dan terkenal. Sebahagiannya juga adalah ahli Parlimen yang menang dalam PRU sebelum ini.

"Contohnya, Akmal Nasrullah atau lebih dikenali Akmal Nasir yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru mengalahkan Tan Sri Shahrir Ab Samad,” katanya.

Oleh itu, katanya, apabila bersama Rafizi, kemungkinan momentum kerja atau aura semua pemimpin itu juga akan meningkat seiring dengan iltizam untuk terus memikat hati rakyat.

Mazlan berkata, akar umbi dilihat menyokong Rafizi kerana formula beliau yang mahu menarik segmen pengundi yang besar iaitu kumpulan pengundi muda dan pengundi atas pagar.

"Kita nampak Rafizi ini ada formula tapi kita tak tahu sejauh mana boleh berjaya atau tidak,” jelasnya.

Rafizi senaraikan 26 calon pilihan untuk MPP

Sementara itu, PKR digesa memilih 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi melengkapkan barisan kepimpinan sesi 2022-2025 dalam kalangan mereka yang menolak idea khemah besar.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang turut menyenaraikan barisan 26 calon MPP di Facebooknya pada Selasa.

"Pengundian untuk memilih 20 orang MPP bagi melengkapkan barisan pimpinan PKR 2022-2025 akan berlangsung hujung minggu ini.

"Kita wajar memilih calon-calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota PKR di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu PKR membina kekuatan sendiri.

"Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar,” katanya di Facebook.

Beliau turut menyeru ahli parti memilih calon yang mempunyai kepakaran masing-masing dan boleh digunakan untuk membina kekuatan parti.

"Kita wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau tidak ada sebarang idea untuk menambah baik parti,” ujar beliau.

Menurutnya, ahli PKR juga perlu memilih calon-calon yang tidak pernah terpalit dengan episod yang membawa masalah kepada parti.

"Elakkan daripada mengundi calon-calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati parti, atau kumpulan yang membawa budaya bodek atau samseng yang ditolak anggota parti baru-baru ini,” ujar Rafizi.

Klik di sini untuk terus membaca