SHAH ALAM - Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan bersidang selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini dijangka dihadiri lebih 2,000 perwakilan dari seluruh negara.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan bersidang selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini dijangka dihadiri lebih 2,000 perwakilan dari seluruh negara.

Kali ini, kemeriahan persidangan dapat dirasakan secara fizikal berbeza dengan tahun lalu yang menyaksikan ia hanya berlangsung secara maya sepenuhnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kongres tahunan pada hari ini akan dimulai dengan Kongres Tahunan Wanita termasuk ucapan perasmian oleh bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ucapan dasar daripada bekas Ketua Wanita, Fuziah Salleh.

Ia kemudian disusuli persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan ucapan dasar oleh bekas Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Kedua-dua persidangan Wanita dan AMK akan mengadakan pemilihan 50 perwakilan setiap sayap untuk ke Kongres Nasional.

Selaras dengan Pekeliling Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dikeluarkan pada 4 Mac lalu, proses pengundian Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita akan dijalankan di peringkat kongres masing-masing.

Kemudian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan dasar pada Sabtu iaitu hari pembukaan Kongres Nasional ke-16 berlangsung.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, MPP PKR telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang JPP berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022.

Petugas menyusun kerusi yang akan diduduki oleh perwakilan.

"MPP telah memutuskan bahawa tarikh baharu bagi Kongres Nasional ke-16 ialah pada 16 dan 17 Julai di IDCC, Shah Alam, Selangor.

"Ini setelah meneliti dan memberi pertimbangan kepada pembentangan JPP dengan mengambil kira tempoh masa diperlukan untuk mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara dibangkitkan serta memberi masa mencukupi kepada kepimpinan cabang yang baharu membuat beberapa pelantikan,” katanya.

Kongres Nasional ke-16 PKR sebelum ini dijadualkan pada 24 hingga 26 Jun.

Namun dalam Pemilihan PKR 2022 baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila calon Naib Presiden, Farhash Wafa Salvador Murbarak mendakwa lebih 25,000 undi hilang.

Turut didakwa seramai 147,000 ahli PKR mengundi calon Timbalan Presiden namun undi diperoleh Rafizi Ramli dan Saifuddin hanya berjumlah 119,030.

Justeru, Farhash menggesa supaya kongres parti itu ditangguhkan selagi audit forensik terhadap pemilihan parti itu tidak selesai.

Beri lebih peluang wanita jadi calon PRU15

Sementara itu, isu memperkasakan dan memperbanyakkan calon wanita bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi fokus utama sayap Wanita dalam Kongres Nasional ke-16 PKR pada Jumaat.

Bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh berkata, ucapan dasarnya yang bertemakan ‘Mengupaya Wanita Untuk Berdaya’ juga akan menyentuh pelbagai cabaran dihadapi dalam usaha memperkasakan wanita di Malaysia.

"Kalau kita tengok orang selalu bercakap soal memperkasakan wanita, namun mereka hanya sekadar cakap kosong dan tidak mendedahkan caranya.

"Jadi ucapan dasar saya nanti akan memberikan fokus kepada nasib wanita dan isu dalaman parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR yang baharu, Fadhlina Sidek yakin kongres kali ini termasuk ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan baharu akan memberikan fokus kepada seruan memperkukuhkan dan menyatupadukan semula anggota serta pemimpin parti untuk menghadapi PRU15 nanti.

Fadhlina

Ujarnya, PKR adalah satu-satunya parti politik yang menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan termasuk bertanding pilihan raya dalam perlembagaannya.

Klik di sini untuk terus membaca