SHAH ALAM - Perancangan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kewibawaan kepimpinan Timbalan Presiden yang baharu serta hala tuju keseluruhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tempoh lima tahun akan datang dijangka menjadi perkara yang akan difokuskan pada Kongres Nasional Ke-16 bermula Jumaat ini.
Selain itu, isu berkaitan masyarakat seperti kenaikan harga barang, beban kos sara hidup dan konsep kepentingan rakyat dalam sistem politik negara juga bakal menjadi tumpuan perbahasan perwakilan PKR yang melihat perkara sedemikian sebagai kaedah berkesan untuk meraih sokongan rakyat menjelang PRU15 nanti.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, prestasi PKR dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak, Melaka dan Johor baru-baru ini akan dijadikan sebagai kayu ukur untuk mengubah gaya berpolitik parti itu.
"Kongres itu nanti mungkin membincangkan cara-cara berkempen yang seharusnya lebih positif ke arah mencari solusi kepentingan rakyat kerana kita tidak mahu seperti apa yang berlaku dalam landskap politik negara selepas PRU14 yang membunuh minat rakyat terhadap politik,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, masyarakat pada ketika ini sudah tidak menganggap ahli politik bekerja atau berkhidmat untuk kepentingan rakyat tetapi hanya menggunakan ideologi keterlaluan yang menimbulkan janji kempen berbentuk retorik yang tidak dapat ditunaikan.
Secara tidak langsung situasi ini menyebabkan ahli-ahli politik bercakaran sesama sendiri untuk mencari publisiti berbentuk peribadi dan bukan mencerminkan kewibawaan mereka sebagai ahli politik.
Sementara itu, penganalisis politik, Datuk M Periasamy berkata, kongres kali ini akan menjadi medan menilai ‘kehebatan’ barisan pemimpin baharu yang mendapat pelbagai reaksi daripada ahli.
Ini kerana katanya, ada yang menerima dengan hati terbuka dan tidak kurang juga yang mempersoalkan keputusan rasmi berkenaan.
Ujarnya, tumpuan perwakilan PKR kali ini dijangka beralih daripada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Rafizi Ramli susulan kemenangan nya sebagai Timbalan Presiden.
"Pemimpin yang menonjol sekarang adalah Rafizi dan beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang PKR akan bertanding solo dalam PRU15. Sudah pasti perwakilan akan berbincang sama ada mereka mampu (bertanding solo). Apakah cadangan Rafizi itu merupakan satu cadangan bernas atau tidak. Itu soalan besar yang perlu dijawab ketika kongres nanti.
"Oleh itu PKR perlu memberi tumpuan kepada cara untuk meraih kembali sokongan rakyat sekali gus mengangkat PKR sebagai kuasa besar menentukan hala tuju negara pada masa akan datang,” katanya.
Kontroversi pemilihan dijangka hangatkan Kongres PKR
Sementara itu, kontroversi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 dijangka dibahaskan dalam Kongres Nasional Ke-16 parti kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, isu berkenaan mungkin dibahaskan dalam perbahasan ucapan dasar kerana ia melibatkan kepentingan ahli dan parti.
"Pada Kongres Nasional nanti agendanya akan ada ucapan dasar Ketua Wanita, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) diikuti ucapan dasar Presiden parti sebelum perbahasan.
"Jadi saya jangkakan perbahasan mungkin menjurus kepada hal-hal pemilihan (yang berbangkit),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Pemilihan PKR 2022 sebelum ini dilaporkan terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk keputusan akhirnya yang tiba-tiba berubah daripada keputusan awal.
Antaranya ia menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang pada awalnya menang bagi jawatan Ketua Wanita secara tiba-tiba kalah dan jawatan itu dimenangi Fadhlina Sidek.
Justeru itu, Zaliha yakin isu pemilihan itu akan dibangkitkan menerusi perbahasan dan mungkin ia dijawab oleh pucuk pimpinan.
Klik di sini untuk terus membaca