SHAH ALAM - UMNO menegaskan tiada sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan parti itu untuk meminda perlembagaan bagi mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU). Setiausaha Agung UMNO, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO menegaskan tiada sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan parti itu untuk meminda perlembagaan bagi mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana proses pindaan perlembagaan parti itu dibuat mengikut cara betul dan prosedur undang-undang sedia ada termasuklah Akta Pertubuhan 1966 serta Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.

Ahmad berkata, pemegang jawatan yang membuat keputusan meminda perlembagaan berkenaan termasuk Presiden UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga bukan berfungsi sebagai 'caretaker' iaitu hanya boleh menjalankan kerja pentadbiran parti sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

"Status kami bukan 'caretaker' ini diakui sendiri oleh RoS. Malah, merujuk kepada kes terdahulu membabitkan pindaan setara seperti dibuat UMNO iaitu kes MCA juga sudah diluluskan RoS.

"Selain itu, adalah menjadi hak kepada mana-mana pertubuhan untuk mengatur perjalanan parti mereka berlandaskan perlembagaan masing-masing.

AHMAD

"Akta Pertubuhan juga tidak menyekat dan meletakkan syarat yang jelas atau mewajibkan mana-mana parti untuk mengadakan pemilihan sama ada setahun sekali atau dua tahun sekali mahupun tiga atau empat tahun sekali," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Ahmad berkata demikian ketika mengulas khabar angin bahawa RoS akan menolak permohonan UMNO untuk meminda perlembagaan parti itu.

Pada 7 Julai lalu, RoS dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada Sabtu ini.

Notis pindaan perlembagaan itu dikemuka kepada RoS pada 17 Mei lalu, manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang Naib Presiden UMNO sebelum ini dilaporkan berkata, RoS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.

Justeru itu Ahmad berkata, UMNO yakin permohonan parti itu untuk meminda perlembagaan akan diluluskan ROS kerana tidak melanggar mana-mana peraturan dan perundangan di Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca