ZAMAN sekarang ramai orang sentiasa lupa. Ada yang lupa sehingga tertinggal isteri di pasar raya sedangkan sebelum itu datang bersama. Ada yang lupa sudah beristeri, tetapi mengaku bujang.
Ada juga yang terlupa sudah mempunyai anak sehingga lupa hendak memberi nafkah. Ramai juga yang terlupa hendak menunaikan janji-janji manis.
Pendek kata, lupa ini adalah satu penyakit yang berbahaya juga.
Memang lupa ini satu penyakit sebenarnya terutama penyakit buat-buat lupa. Penyakit buat-buat lupa sangat berbahaya.
Kalau sebagai pekerja pula, tidak membuat sesuatu tugasan atau terlewat melakukan tugasan, mungkin akan ada yang memberi alasan terlupa.
Biasanya kalau memberi alasan yang terlupa boleh terlepas dari tindakan. Ini juga bahaya, kalau kerap sangat terlupa.
Apabila berjanji pun ramai yang terlupa.
Terutama melibatkan sepasang kekasih berjanji untuk hidup semati.
Sampai masa memungkiri janjinya apabila mendapat peluang yang lebih baik. Ada juga yang lupa hendak membayar hutang juga.
Lupa membayar hutang ini sangat berbahaya juga.
Boleh menyebabkan orang yang memberi hutang ini kerugian.
Terpaksa terhegeh-hegeh menagih hutang sedangkan yang berhutang asyik lupa sahaja yang dia sebenarnya ada duit.
Yang lebih parah lagi apabila orang politik yang berjanji ini asyik lupa sahaja.
Pilihan Raya Umum dijangka akan berlaku tidak lama lagi walaupun tidak kita tahu tarikh tepatnya.
Pada waktu pilihan raya inilah ramai orang yang suka berjanji.
Macam-macam perkara dijanjikan kepada rakyat jelata demi untuk mendapatkan sebuah kerusi empuk.
Sudah menjadi seperti pesta sogok menyogok pula.
Ada yang sudah menjadi wakil rakyat masih lupa atau buat-buat lupa hendak menunaikan janji.
Baru-baru ini ada video dikongsikan di media sosial, berkenaan seorang wakil rakyat di luar negara, dihumban ke dalam parit kerana tidak malu datang untuk menabur janji, sedangkan janji sebelum ini tidak ditunaikan.
Setiap pilihan raya, kita perlu peka akan janji-janji manis pilihan raya.
Kalau yang menunaikan, kita sangat bersyukur, namun yang menjadi masalah yang lupa diri. Tidak sedar yang dia pernah berjanji.
Pepatah Melayu lama banyak menyajikan kepada kita berkenaan peribahasa lupa ini.
Orang tua kita dahulu kala sudah tahu penyakit lupa diri ini penyakit berpanjangan dan tidak ada ubatnya.
Maka diciptakan pepatah untuk mengajar dan mengingatkan rakyat jelata terutama orang-orang muda zaman sekarang supaya tidak mudah lupa.
Memang ada pemimpin Melayu yang suka menulis tentang Melayu mudah lupa, seolah-olah itu sifat semula jadi orang Melayu.
Antara peribahasa yang boleh menjadi pedoman, lupa ketinggalan, terlelap kemalingan yang memberi maksud orang yang kurang berhati-hati tentu mendapat kerugian.
Orang yang selalu lupa ini boleh mendapat kerugian jika tidak berhati-hati.
Ada juga pepatah lain seperti, ingat-ingat lupa.
Ini pun merbahaya, mungkin dia sudah hampir-hampir lupa apa yang dijanjikan kepada orang lain.
Maka berhati-hatilah dengan orang begini.
Kita pula rakyat jelata juga hendaklah tidak lupa. Jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pilihan raya.
Boleh jadi atau memang diketahui janji manis ini semuanya mempunyai maksud tersirat.
Bak kata pepatah Melayu lama lagi, lupa mengingatkan, terlelap menjagakan.
Ini yang patut rakyat jelata sesama sendiri ambil peduli supaya tidak lupa akan janji orang politik menjelang pilihan raya.
Kita sudah beberapa kali bertukar kerajaan dan juga pemimpin. Masalah yang timbul masih sama berulang menimpa rakyat. Semuanya memberitahu ada solusinya, namun bak kata pepatah Melayu lama lagi, cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar.
Eloklah rakyat jelata meneliti kembali tentang pemimpin yang berkempen menjelang pilihan raya nanti.
Kalau boleh minta dibuat akuan bersumpah dan tandatangan di atas kertas berkenaan janjinya itu.
Kalau boleh buat juga tugu peringatan menyatakan akan janjinya dan kemudian minta mereka turunkan tandatangan diiringi dengan kompang atau upacara sederhana memotong riben.
Cuma saya ada terfikir juga, sebenarnya kita sudah tidak ada pilihan, kerana yang bertanding tiada orang lain melainkan orang yang sentiasa lupa sahaja.
Dan saya jangkakan mungkin mereka ini akan buat-buat lupa lagi dan rakyat jelata sekali lagi terpaksa melupakan sahaja apa yang terjadi.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.
Klik di sini untuk terus membaca