BEKAS Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa kini menjadi pelarian di Singapura selepas melarikan diri dari istana kerajaan di Colombo pada Sabtu lalu yang diserbu oleh puluhan ribu para penunjuk perasaan kerana marah akibat tidak berpuas hati dengan krisis ekonomi di negara berkenaan.
Seorang bekas askar yang kemudian menjadi birokrat, Gotabaya, 73, membuat penampilan politiknya pada tahun 2019 apabila mengangkat sumpah sebagai Presiden yang ke-7 dan beliau juga dianggap adalah wira yang menerajui kemenangan tentera ke atas pemberontak-pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebelum ini.
Namun, pada Khamis lalu beliau berada di Singapura setelah berlepas dengan menaiki pesawat syarikat penerbangan Saudi dari Maldives iaitu negara pertama yang dijejakinya selepas meninggalkan Istana Presiden di Colombo.
Tentera Udara Sri Lanka mengesahkan bahawa Gotabaya, isterinya dan dua pengawal peribadi beliau menaiki penerbangan Tentera Udara ke Maldives pada awal Rabu dan laporan ANI menyatakan bahawa pemergiannya itu mendapat kelulusan penuh daripada Kementerian Pertahanan negara berkenaan.
Bekas Presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang juga Speaker Parlimen dilaporkan oleh agensi berita PTI sebagai terlibat dalam rundingan bagi membolehkan Ketua Negara Sri Lanka tersebut mendarat di pulau berkenaan.
Gotabaya dituduh salah menguruskan ekonomi negara sehingga membawa kepada kesukaran hidup yang teruk untuk 22 juta penduduknya sehingga ia gagal membayar hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion (RM226.90 bilion) mengikut jadual menyebabkan Sri Lanka terpaksa berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan negara berkenaan.
Ketika menjadi Presiden, negara tersebut kehabisan bekalan petrolnya yang sudah pun terhad manakala kerajaan pula terpaksa menutup pejabat dan sekolah yang tidak penting untuk mengurangkan perjalanan dan menjimatkan minyak.
Gotabaya menyertai tentera pada usia 21 tahun dan berkhidmat selama dua dekad dan memegang pangkat Leftenan Kolonel tetapi mengambil persaraan awal dengan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) yang mana beliau bekerja dalam bidang teknologi maklumat.
Namun, beliau kembali ke Sri Lanka pada tahun 2005 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan oleh abangnya, Mahinda Rajapaksa yang ketika itu menjadi Presiden bagi menghadapi perang menentang LTTE.
Kemenangan ke atas LTTE itu telah menyebabkan Mahinda dan Gotabaya menjadi 'hero' di negara berkenaan.
Beliau juga terpalit dengan dakwaan mengenai rasuah dan ia bukanlah perkara yang baharu selain memegang dua kerakyatan tetapi terpaksa melepaskan kerakyatan AS bagi membolehkannya bertanding jawatan Presiden.
Walaupun Gotabaya dilihat sebagai hero perang oleh kebanyakan majoriti penganut agama Buddha Sinhala di Sri Lanka tetapi terdapat tuduhan berlakunya jenayah perang termasuk pembunuhan, penyeksaan dan kehilangan para pengkritik kerajaan namun beliau menafikannya secara konsisten.
Walaupun beliau berundur pada 2015 sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan apabila Mahinda tidak lagi menjadi Presiden, Gotabaya kemudian dilihat sebagai anggota keluarga Rajapaksa untuk menjadi calon Presiden.
Abangnya itu, Mahinda tidak boleh lagi bertanding kerana sudah memegang jawatan tersebut selama dua penggal menyebabkan Parti Podujana Sri Lanka dan keluarga Rajapaksa melihatnya sebagai calon yang jelas untuk mewakili mereka dalam dunia politik.
Kemunculan Gotabaya dalam dunia politik itu juga berlaku apabila lebih 250 orang terbunuh dalam serangan bunuh diri di negara itu pada tahun 2019.
Ketika beliau menjadi Presiden, Sri Lanka terpaksa menggunakan rizab pertukaran asingnya untuk membayar hutang kerajaan sekali gus menjejaskan import bahan api dan barangan keperluan lain sehingga menyebabkan harga barangan meningkat.
Sebahagian besar penduduk pula mendapati tidak mampu untuk memberi makan kepada keluarga mereka atau mengisi minyak kenderaan dan terpaksa beratur selama berjam-jam untuk mendapatkan minyak selain sering bertempur dengan polis serta tentera semasa beratur.
Rak-rak pasar raya pula kehabisan barangan manakala bekalan ubat semakin berkurangan sehingga menyebabkan rakyat Sri Lanka yang marah telah turun ke jalan raya dan menuduh Gotabaya dan Mahinda Rajapaksa salah menguruskan ekonomi negara.
Ketika berada di Singapura, Gotabaya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Presiden menerusi e-mel kepada Speaker Parlimen Sri Langka, Mahinda Yapa Abeywardenena dan ia disahkan oleh Pejabat Speaker itu pada Khamis.
Namun, ketika itu, pejabat berkenaan menyatakan bahawa ia tidak boleh menerima peletakan jawatan menerusi e-mel namun pada Jumaat, Parlimen negara tersebut mengumumkan bahawa ia menerima peletakan jawatan Gotabaya sebagai Presiden.
Abeywardenena kemudian menggesa Parlimen bersidang bagi memulakan proses pemilihan pemimpin baharu dengan Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe telah mengangkat sumpah sebagai Pemangku Presiden. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca