BEKAS Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, 79, amat dikenali sebagai figura politik wanita tersohor di seluruh rantau Asia dan dunia.
Terkenal dengan pelbagai jolokan atau gelaran seperti Iron Lady dan Rapid Fire Rafidah, nama anak jati Kuala Kangsar, Perak itu bukan sahaja pernah menggerunkan barisan wartawan tempatan dan luar negara yang ingin menemuramahnya, bahkan turut dihormati pegawai kerajaan, barisan diplomat serta rakan sejawatan dari luar negara.
Dilahirkan pada 4 November 1943, Rafidah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu di Kampung Baru, Sekolah Rendah Convent di Bukit Nanas, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Convent di Johor Bahru pada tahun 1947 hingga 1960.
Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam itu kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Malaya (UM) dan dianugerahkan Sarjana Muda pada tahun 1966, seusai menamatkan pengajian di Victoria Institution Kuala Lumpur pada tahun 1962.
Sebelum menceburi bidang politik pada tahun 1974, bekas Ketua Wanita UMNO paling lama berkhidmat dalam parti dan kerajaan itu juga sempat menabur bakti sebagai pensyarah ekonomi di UM, sebelum satu panggilan telefon daripada Perdana Menteri Malaysia ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn mengubah segala-galanya.
"Saya tidak ada cita-cita politik sebenarnya. Saya terjebak dalam bidang ini pun atas paksaan orang.
"Saya menerima satu panggilan telefon daripada Tun Hussein (sekitar tahun 1974) dan segalanya bermula di situ.
"Saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai pensyarah ekonomi di UM ketika itu dalam tempoh 24 jam susulan dilantik sebagai Senator Ahli Dewan Negara seawal usia 31 tahun,” dedah Rafidah dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium.
Sejak itu, Rafidah tidak lagi menoleh ke belakang. Karier politik beliau kemudiannya berkembang dengan cukup pantas, bermula sebagai seorang Ahli Dewan Negara, menjadi ahli Parlimen yang berkhidmat selama 35 tahun (1978-2013), sehinggalah Rafidah diberi amanah menggalas beberapa jawatan kabinet yang kritikal.
Tidak keterlaluan penulis berpandangan Rafidah merupakan seorang figura politik wanita tempatan paling dinamik, berpengaruh dan sangat dominan setakat ini dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.
BERJIWA LEMBUT
Sebelum menempa nama sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri paling berjaya dalam sejarah politik negara selama 21 tahun, Rafidah juga berpeluang berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan (tahun 1976-1980) dan Menteri Perusahaan Awam (kini dikenali sebagai Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi).
Mengimbau pengalaman menjadi menteri kabinet, Rafidah menjelaskan beliau sendiri tidak mengetahui bagaimana gelaran tersebut diterimanya, sama ada melalui pengiktirafan media atau diberikan pihak luar.
"Saya tidak tahu bagaimana gelaran Iron Lady diberikan kepada saya. Cuma yang saya tahu, gelaran Rapid Fire Rafidah diberikan oleh Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad). Ini kerana dia belum sempat habiskan satu ayat, saya akan terus menyampuk,” cerita Rafidah sambil tertawa.
Di sebalik keperibadian Rafidah yang sinonim dikaitkan dengan sifat lantang, tegas dan tidak gentar berkonfrontasi dengan pemimpin dunia, tidak ramai mengetahui jiwa nurani bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu sebenarnya sangat lembut dan penuh humor.
Menariknya, sesi wawancara eksklusif dikendalikan penulis bersama Rafidah selama sejam 20 minit itu, hakikatnya dipenuhi dengan gelak tawa kru produksi kami yang terhibur dengan lawak tidak kering gusi daripada beliau.
"Orang nampak saya selalu serius. Tetapi sebenarnya saya suka melawak secara sinis. Menyentuh keperibadian saya yang selalu lantang bercakap sehingga digelar Rapid Fire Rafidah, saya hanya bercakap berasaskan perkara benar.
"Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil speak and act without fear and favour (bercakap dan bertindak tanpa rasa takut dan berpihak). Kalau kita di pihak yang benar dan perkara yang kita buat itu betul, mengapa kita harus takut untuk bercakap?
"Jangan disebabkan seorang pemimpin yang bercakap tidak betul, maka berkecamuk semua yang lain. Saya rasa tidak bertanggungjawab jika saya tidak menegur sesuatu perkara yang batil.
"Kerana Malaysia ini adalah milik masyarakat kita dan bukan saya punya seorang. Keluarga saya pun masih bergantung kepada negara kita,” luah Rafidah sambil menyuarakan kebimbangan masa hadapan negara menjadi ‘ibarat nasi sudah menjadi bubur’ jika beliau tidak menegur untuk memperbetulkannya.
KONFRONTASI DENGAN PRESIDEN AS
Beliau turut mengongsikan satu kisah rahsia apabila mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS), George Bush sewaktu berdebat dalam satu persidangan antarabangsa.
Ujarnya, sewaktu persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berlangsung pada tahun 2005, beliau telah diminta untuk mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri satu mesyuarat penting dihadiri Bush, pada saat akhir.
"Saya terkejut juga kerana delegasi itu sepatutnya diketuai oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kemudiannya tidak dapat hadir disebabkan ada urusan lain.
"Jadi saya pergi. Sewaktu persidangan berlangsung, tiba masa saya berucap, saya pula bukan jenis reti cakap baik-baik, tak reti saya hendak menyantuni dahulu Presiden Bush dan bagi ayat-ayat bunga pengenalan.
"Bila saya hendak menghidupkan mikrofon untuk berucap, Bush berkata: "Madam Minister, before you speak, I like to say something”.
Ketika itu, semua orang terkejut dan mahu mendengar apa yang mahu dikatakan Bush.
"My colleague told me that when you speak, I have to listen,” ujar Bush lagi.
Selepas kata-kata Bush itu, Rafidah tergamam dan merasakan bulu romanya meremang.
"Lebih terharu, Bush kemudiannya meminta saya meneruskan ucapan seraya mengambil pen dan kertas, isyarat beliau akan mengambil nota daripada inti pati ucapan saya,” katanya.
Peristiwa itu telah memahatkan nama beliau sebagai salah seorang tokoh wanita berpengaruh di dunia sekitar tahun 1990an.
Menyambung kembali tentang kisah tersebut, Rafidah turut menceritakan bagaimana beliau berkonfrontasi dengan Bush untuk memaksa kerajaan AS mengenepikan pengenalan cukai khas pengimportan minyak sawit dari Malaysia oleh dua negeri ‘pembangkang’ di negara berkenaan.
Lalu dijawab oleh Bush: "There are only two out of 50 states in USA implementing this duty. We make exception for other states”.
Rafidah kemudiannya membalas: "Mr Presiden, yes I know. Quoted that states, except that in Malaysia, we also have states. Can you imagine if one of our state do something to refrain from your import goods coming to our people, especially on our opposition states”.
Rafidah menjelaskan, beliau terus menekankan persoalan itu terhadap Bush dengan lebih tegas.
Bahkan beliau berkata, kerajaan persekutuan Malaysia tidak akan membiarkan mana-mana negeri di negara ini, termasuk negeri pembangkang melakukan perkara-perkara sebegitu kerana tindakan itu bakal merugikan negara.
"Jadi, saya mendesak pentadbiran AS mengarahkan dua negeri ‘istimewa’ berkenaan untuk membuat pemansuhan cukai khas ke atas barangan dagang import minyak sawit Malaysia.
"Hasilnya, pentadbiran AS mengambil maklum tuntutan negara. Perkara sebegini menyebabkan pemimpin negara lain hormat negara kita. Hal ini susulan kita lantang mempertahankan hak negara.
"Zaman dahulu, dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia kebiasaannya akan mengetuai delegasi rantau Asia Tenggara dalam mengetengahkan isu-isu penting melibatkan ekonomi.
"Daripada kisah itu, reputasi dan gelaran saya sebagai Rapid Fire Rafidah juga semakin terserlah hingga ke seluruh dunia.
"Saya tidak kisah dengan gelaran apa pun. Saya hanya fokus kepada isu, bukan individu,” singkap beliau lagi.
TIDAK REBUT JAWATAN
Mengimbau kisah jatuh bangun sebagai Ketua Wanita UMNO paling lama dalam sejarah, Rafidah mengakui peristiwa besar paling diingati beliau adalah apabila berlakunya pengelolaan tidak betul dalam proses pemilihan parti yang membawa kepada kekalahannya pada tahun 2009.
Ditewaskan oleh bekas Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil ketika itu, beliau bagaimanapun menyifatkan soal ketiadaan jawatan parti tidak akan menjadi kudis kepada sesiapa.
"Ini kerana apabila saya tidak lagi menjadi Ketua Wanita UMNO, saya masih dilantik sebagai menteri kabinet dan ahli Parlimen.
"Jadi, jawatan saya perolehi itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan jawatan parti.
"Sama ada saya jadi ketua wanita atau tidak, hakikatnya ia tidak akan menjadi kudis kepada saya.
"Sebenarnya sudah dua kali saya menjadi menteri tanpa memegang jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO.
"Sejujurnya, saya tidak pernah memegang keutamaan untuk berebut jawatan parti demi menjadi menteri.
"Tidak payahlah perangai sebegini. Nanti bila kita mati, malaikat pun tidak sebut kita pernah ada jawatan apa...mantan itu, mantan ini... Dalam kubur nanti semua dah tiada,” kata Rafidah.
TEROKA SENI LUKISAN AKRILIK
Kini mengharungi usia senja menghampiri 80 tahun, Rafidah mengakui beliau masih tidak boleh duduk diam di rumah bagi menghabiskan masa bersara.
Sebaliknya, ibu kepada tiga cahaya mata dan enam cucu itu mendedahkan khidmatnya masih diperlukan sebagai penasihat dalam membantu negara meningkatkan daya saing usahawan tempatan ke persada ekonomi dunia dan perdagangan antarabangsa.
"Saya pernah menjawat jawatan Pengerusi AirAsia X (sebelum ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa 1 Julai lalu).
"Selain itu, saya masih diberi amanah memegang jawatan sebagai Penaung Utama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), bahkan dilantik sebagai Profesor Adjung secara rasmi di Fakulti Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Sejak pandemik Covid-19, saya juga menemui hobi baharu yang menyeronokkan iaitu menyelami dunia seni lukisan akrilik.
"Sehingga kini sudah lebih 70 lukisan akrilik yang berjaya disiapkan dan sedang dalam proses untuk dibingkaikan bagi tujuan pameran.
"Jujurnya saya tidak pernah mempunyai pengetahuan melukis. Namun berbekalkan ‘Encik Google’, saya mempelajari teknik melukis yang betul.
"Alhamdulillah saya mampu belajar, hasil saya kalau orang tengok, mungkin akan anggap saya masih amatur, tetapi saya puas hati.
"Saya bukan Van Gogh (pelukis tersohor dunia) pun, tetapi ‘Van Come’. Itulah jenaka saya sampaikan kepada kawan-kawan jika ada yang memuji hasil lukisan akrilik berkenaan,” ujar Rafidah sambil tersenyum, mengakhiri sesi wawancara yang cukup bermakna kepada penulis.
Klik di sini untuk terus membaca