SESUNGGUHNYA, apa jua kesangsian dalam hidup boleh mendorong kemudaratan.
Sekiranya kita masih sangsi dengan kawan-kawan, sudah tentu sukar untuk memilih sahabat.
Begitu juga dengan kesangsian dengan pilihan kerja dan tempat kerja mendorong kita sukar membuat pilihan kerjaya.
Apatah lagi, jika kita sangsi terhadap kedua ibu bapa sebagai pelindung dan menjaga kehormatan selama ini, akan mendorong kita lebih mempercayai orang luar berbanding keluarga sendiri.
Namun begitu, kesangsian dalam beragama boleh menyebabkan kita hilang pedoman hidup dan tersesat jalan menuju alam akhirat.
Sebetulnya, tidak ramai yang berusaha mencari jawapan terhadap apa jua kesangsian mereka.
Yang jelas, mereka lebih suka berselindung agar tidak menampakkan kejahilan mereka.
Selain itu, sifat malu dan takut orang kata menyebabkan mereka berasa lebih baik sembunyikan kesangsian tersebut berbanding mencari jawapan terhadap segala kekeliruan yang menimbulkan kesangsian.
Sejujurnya, masih ramai yang sangsi dengan pegangan agama mereka, namun kekal mendiamkan diri kerana takut dikatakan ‘anak derhaka’, ‘mendekati murtad’, ‘jahil’ dan pelbagai konotasi negatif berkaitan kesangsian tersebut.
Menurut Ibnul Jauzi menerusi kitabnya, Talbis Iblis, "Iblis menyusup masuk ke dalam akidah umat Islam menerusi dua jalan iaitu, pertama; Taklid buta terhadap nenek moyang serta para pendahulu mereka, kedua; Tenggelam dalam masalah yang tidak diketahui hujung atau pangkalnya, bahkan orang yang tenggelam itu tidak mampu sampai pada kedalamannya. Iblis menjerumuskan semua orang dalam golongan kedua itu kepada kerancuan (keliru dan bercampur aduk).
Justeru, mereka tenggelam ke dalam ilmu kalam dan mempelajari ilmu falsafah bagi mendapat jawapan menurut anggapannya serta lingkungan orang awam”.
Sesungguhnya setiap keraguan boleh menjejaskan keimanan dan merosakkan akidah seseorang. Akidah bermaksud, wajib beriman secara muktamad.
Ia bermakna, tiada keraguan dalam berakidah. Justeru, bagi menghilangkan keraguan, kita perlu memperkukuhkan iman dengan mengulang syahadah.
Menurut Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Manusia akan terus bertanya sehinggalah dikatakan; ‘Ini diciptakan ALLAH, maka siapa yang mencipta ALLAH?’. Barang siapa yang mendapati sesuatu dari (soalan) itu, maka katakanlah; Aku beriman kepada ALLAH” (Hadis Riwayat Muslim).
Manakala, naratif Pak Hamka menerusi bukunya, Falsafah Hidup, "Perintah yang paling penting dalam Islam untuk memelihara hidup, yang menjadi pusat daripada segenap falsafah hidup kaum Muslimin ialah takwa. Takwa itulah pusat kehidupan dalam Islam.
Kalau hendak mengetahui falsafah atau rahsia kehidupan yang dianjurkan Islam, takwalah pokoknya.
Takwa ertinya memelihara. Memelihara hubungan dengan Tuhan semesta alam dengan hati yang tulus ikhlas dan suci.
Memperteguh hubungan dengan sesama makhluk hidup.
Jangan berbuat kepada orang lain, barang yang kita sendiri tidak ingin sekiranya orang berbuat begitu kepada kita.
Beriringan dengan itu ialah berbuat ihsan, iaitu beribadat kepada Tuhan, seakan-akan terasa di hati kita melihat Tuhan, meskipun kita tidak melihat Dia, namun Dia sentiasa melihat kita”.
Justeru, setiap kesangsian ada jawapannya. Namun, janganlah sampai menghina agama lain sementelahan agama kita sendiri.
Sesungguhnya, ALLAH SWT berfirman, "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH, kerana mereka kelak akan mencerca ALLAH secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan” (Surah Al-Anaam, 6:108).
Menurut Prof Wahbah Az-Zuhaili menerusi kitab tafsirnya ‘Al-Munir’, ‘Para ulama bersepakat bahawa hukum ayat ini kekal iaitu, larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ia seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada ALLAH dan Rasul-Nya”.
Oleh itu, kembalilah ke pangkal jalan dengan merungkai segala kesangsian.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca