TEKA-TEKI dan congak kira tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hangat diperkatakan.
Ia bukan hanya kerana tarikh 31 Julai ini akan berakhirnya Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH), tapi Perdana Menteri juga menerima tekanan daripada sebahagian pemimpin UMNO sendiri.
Tidak ketinggalan pada Jumaat, genap empat tahun mandat formal PRU14 direkodkan. Kini tinggal 364 hari sebelum mandat semasa menutup tirai bagi membolehkan PRU15 dilangsungkan.
Persoalannya kini bilakah tarikh ‘keramat’ PRU15 itu?
Sesetengah pihak melihat tahun ini merupakan waktu terbaik untuk PRU15 terutama bagi parti UMNO dan Barisan Nasional (BN), namun sebahagian lagi merasakan Ismail Sabri wajar menghabiskan sahaja tempoh baki 364 hari itu.
RAMAL HUJUNG TAHUN
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, berpandangan tempoh lebih empat tahun sudah mencukupi untuk kerajaan sedia ada membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU15 secepat mungkin.
Katanya, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang mentadbir Putrajaya dengan lebih dominan dan kuat.
Azmi melihat PRU15 akan diadakan seawal November ini berikutan tekanan dan desakan kuat dikenakan oleh UMNO sendiri kepada Perdana Menteri supaya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
"Ismail Sabri mungkin perlu membubarkan Parlimen lebih awal kerana ‘tangan’ Perdana Menteri sekarang terikat dalam menggubal dasar dan membuat keputusan penting susulan gabungan parti di Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, keputusan mendesak kerajaan supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 sudah lama dibuat oleh parti menerusi Perhimpunan Agung UMNO dan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.
Tetapi tegasnya, kini sudah agak terlambat bagi Perdana Menteri dan kerajaan jika mereka mahu membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada Oktober nanti.
"Bagi kami veteran UMNO, sudah agak terlambat jika Perdana Menteri mahu membubarkan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan kerana rakyat kini berdepan pelbagai masalah termasuk peningkatan harga barang dan kos sara hidup.
"Masalah sudah bermula dan kita tidak tahu apa lagi dugaan bakal dihadapi rakyat nanti jika Perdana Menteri terus melewatkan pembubaran Parlimen dan PRU15.
"Sebaik-baiknya, selepas BN mencapai kejayaan cemerlang di Melaka dan Johor dulu, Pak Long Mail (Perdana Menteri) terus bubarkan Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun Mustapha berkata, kerajaan juga tidak boleh memberi jaminan bahawa negara tidak akan dilanda masalah lain jika Perdana Menteri masih mahu menunggu sehingga tempoh matang Dewan Rakyat iaitu Julai 2023 untuk membubarkan Parlimen.
"Saya nak tanya mereka yang beri alasan PRU15 tidak boleh diadakan tahun ini kerana isu kos sara hidup dan inflasi, adakah masalah ini akan selesai jika PRU15 dibuat tahun 2023?” soalnya.
Klik di sini untuk terus membaca