SHAH ALAM - Peningkatan kes buli jalan raya di Malaysia ketika ini berlaku disebabkan ramai pengguna kenderaan mudah hilang sabar ketika memandu. Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan kes buli jalan raya di Malaysia ketika ini berlaku disebabkan ramai pengguna kenderaan mudah hilang sabar ketika memandu.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, ia biasa terjadi apabila seseorang itu terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk berikutan jumlah kenderaan semakin meningkat pada masa kini.

Selain itu, katanya, ia disebabkan oleh masalah lain seperti tekanan hidup.

"Kes buli jalan raya meningkat, tapi kita tak boleh katakan orang sekarang jahat sebab dahulu tidak banyak kereta dan tidak banyak tekanan.

"Boleh jadi ia berpunca daripada tekanan hidup. Bila ada tekanan, akan mudah untuk berlaku konflik,” katanya kepada Sinar Ahad.

Law Teik Hua

Beliau berkata, apabila berdepan dengan pembuli jalan raya, perkara paling penting perlu dilakukan mangsa ialah jangan cuba untuk berkeras, sebaliknya meminta maaf walaupun bukan silapnya.

Selain itu, katanya, mangsa dinasihatkan supaya tidak keluar dari kenderaan atau melarikan diri kerana boleh menyebabkan kemalangan tidak dijangka.

"Paling penting ialah jangan keluar dari kenderaan jika berdepan dengan situasi itu. Tapi jika penunggang motosikal, memang tiada pilihan.

"Jangan juga fikir untuk melarikan diri sebab jika pembuli mengejar mangsa, kita bimbang akan berlaku kemalangan sampai ada kecederaan atau kematian. Duduk sahaja dalam kenderaan dan hubungi polis.

"Jangan bimbang kerana ramai saksi di tepi jalan. Jika keadaan memerlukan dan jumpa tempat yang selamat seperti stesen minyak, itu dibolehkan. Ini antara langkah yang orang ramai perlu tahu. Apa yang penting, jangan keluar sehingga pihak berkuasa sampai,” jelas beliau.

Teik Hua berkata, kurang kesedaran terhadap akibat dan hukuman ke atas pembuli jalan raya juga menyebabkan ramai yang tidak gentar serta memandang remeh undang-undang tersebut.

Selain itu, ujar beliau, segelintir individu menganggap kesalahan tersebut hanya melibatkan saman polis dengan bayaran denda yang boleh diselesaikan melalui kempen diskaun bayar saman.

Sedangkan, katanya, kes buli jalan raya tidak boleh dipandang ringan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas serta meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai hukuman bagi kesalahan jenayah itu.

Ramai yang hilang kesabaran saat menjadi pemandu atau penunggang ketika di atas jalan raya.

"Ia sebenarnya bukan terhad kepada kes buli jalan raya sahaja, tetapi termasuk kesalahan lain seperti penggunaan laluan kecemasan sehingga ambulans tidak dapat melaluinya.

"Ada banyak kes sebegini berlaku dan dibawa ke mahkamah tetapi selepas itu senyap sahaja. Orang ramai tidak tahu apa hukuman terhadap pesalah.

"Jika tidak didedahkan kesalahan dan hukuman terhadap pesalah, orang ramai akan rasa tidak mengapa. Akhirnya kes seperti ini tidak akan berhenti.

"Rakyat Malaysia tidak terlalu takut dengan penguatkuasaan dan rasakan ia boleh diselesaikan. Apatah lagi apabila selalu ada diskaun saman, kita rasa ia boleh diselesaikan dengan bayar pada masa diskaun.

"Sebab itu ia menjadi budaya kepada masyarakat kita yang tidak berapa ambil kisah dengan penguatkuasaan undang-undang,” ujarnya.

Tambah Teik Hua, kes buli jalanan biasanya berlaku apabila keadaan trafik amat genting seperti kesesakan teruk.

Klik di sini untuk terus membaca