PENGUMUMAN langkah penjimatan kerajaan oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat mungkin menerima reaksi positif dalam kalangan rakyat yang selama ini dibebankan dengan komunikasi saranan supaya mereka berjimat. Pekeliling Perbendaharaan... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN langkah penjimatan kerajaan oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat mungkin menerima reaksi positif dalam kalangan rakyat yang selama ini dibebankan dengan komunikasi saranan supaya mereka berjimat.

Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’ ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon, antara lain meminta semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Langkah penjimatan sektor awam itu bakal menyaksikan penurunan dalam perbelanjaan mengurus sekurang-kurangnya lima peratus daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022.

Ia mencakupi aspek perjawatan, penyusunan semula organisasi, penubuhan badan berkanun atau CLBG, elaun, pertukaran ke luar stesen, perjalanan bertugas rasmi di dalam negeri dan luar negara, penginapan di dalam dan luar negara, perbelanjaan utiliti serta barang pakai habis.

Turut disenaraikan ialah sewaan pejabat atau peralatan pejabat, perolehan aset baharu, penganjuran acara, keraian, mesyuarat, persidangan, seminar atau bengkel, kempen, promosi, penajaan atau pengiklanan dan penyumberluaran (outsourcing).

Pekeliling itu juga mengarahkan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan atau agensi hanya dibenarkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan tanpa tambahan bilangan jawatan serta implikasi kewangan.

Sememangnya langkah itu tidak dapat dielakkan susulan jumlah subsidi kepenggunaan yang meningkat tinggi melebihi anggaran Bajet 2022.

Bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan data keperluan unjuran subsidi kepenggunaan bagi tahun ini mencecah RM51 bilion.

Sektor petrol, diesel dan LPG adalah penerima subsidi terbesar sebanyak RM37.3 bilion. Ia jauh daripada jumlah peruntukan asal dalam Bajet 2022 –RM5.3 bilion.

Skim penstabilan minyak masak peket satu kilogram yang diperuntukkan RM400 juta kini dianggar mencecah RM4 bilion berikutan kenaikan harga minyak sawit tahun ini.

Subsidi kepenggunaan untuk tarif elektrik, ayam dan telur ayam dianggarkan akan mencapai RM9.7 bilion menjelang hujung tahun ini.

Secara keseluruhan, kerajaan hanya memperuntukkan RM31 bilion subsidi kepenggunaan dalam Bajet 2022.

Ia bermakna, kerajaan mengalami kekurangan lebih RM20 bilion daripada anggaran perbelanjaan 2022 untuk menampung keperluan subsidi rakyat.

KURANGKAN ELAUN

Jika dicampurkan dengan pemberian Bantuan Keluarga Malaysia, jumlah subsidi negara tahun ini dianggarkan sekitar RM77.3 bilion.

Justeru, mahu tidak mahu, langkah penjimatan atau mengurangkan perbelanjaan kerajaan tidak dapat dielakkan.

Ramai mungkin melihat langkah itu akan membuktikan kerajaan bersedia melakukan perubahan dalaman sebelum rakyat disaran mengubah cara hidup.

Walaupun langkah penjimatan itu baik, namun jika tidak ditangani secara baik dan berhati-hati, ia boleh memberi kesan berantai kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.

Mengurangkan penyertaan pegawai tempatan ke seminar dan persidangan antarabangsa, mengurangkan bilangan pegawai layak mengikuti rombongan menteri ke luar negara dan mengurangkan elaun-elaun dalam kerja ke luar negara adalah antara langkah proaktif sangat positif.

Keputusan memansuhkan terus jawatan kerajaan yang tidak diisi selama lebih dua tahun juga menunjukkan usaha kerajaan mengurangkan beban kewangan dalam jangka masa panjang.

Namun, kebimbangan terbesar adalah pengurangan program, seminar dan acara dalam negara. Ia boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang baru hendak pulih kerana sebahagian ekosistem pertumbuhan ekonomi kita masih dipacu oleh perbelanjaan kerajaan.

Satu hal lain yang boleh dilihat adalah kerajaan telah melepaskan peluang komunikasi yang terbaik bagi membawa rakyat bersama dalam agenda kerajaan mengurangkan beban subsidi.

Langkah penjimatan itu sepatutnya dibuat bersama perubahan dalam harga subsidi barang kepenggunaan tertentu bagi mengurangkan beban kerajaan.

Jika kedua-duanya diumumkan serentak, ia akan mewujudkan satu naratif lebih baik kepada kerajaan dalam menangani isu subsidi ‘membelon’ ini.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca