BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, Malaysia perlu kembali kepada landasan pembangunan bagi mengelak ketinggalan berbanding negara-negara jiran. Menurut Najib, salah satu komponen penting dalam pembangunan... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, Malaysia perlu kembali kepada landasan pembangunan bagi mengelak ketinggalan berbanding negara-negara jiran.

Menurut Najib, salah satu komponen penting dalam pembangunan negara adalah infrastruktur.

Bercakap selepas tiada jawatan memanglah mudah. Selama sembilan tahun menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, adakah beliau melakukan apa yang disarankannya sekarang? Yang menjadi cerita besar sehingga satu dunia tahu adalah keterlibatannya dalam skandal 1MDB.

Cuba kita memperincikan apakah landasan pembangunan dan prasarana ekonomi yang diasaskan serta dilaksanakan pada zaman pemerintahan beliau.

Yang kita nampak dan selalu beliau uar-uarkan adalah sistem pengangkutan bandar, khususnya Transit Aliran Massa (Mass Rapid Transit - MRT).

Betul, pembinaan MRT dilancarkan pada zaman pemerintahannya tetapi ia hanyalah penerusan dan perluasan projek pengangkutan bersepadu bandar yang bermula pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Boleh jadi ramai lupa fasa satu LRT antara Pasar Seni dan Kelana Jaya dibuka pada 1998 dan laluan Pasar Seni - Gombak pada tahun berikutnya.

Betullah, pembinaan MRT dan LRT 3 bermula pada zaman pemerintahan Najib tetapi asal-usulnya pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu apabila pada 2006, kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Ia menyebabkan harga petrol melonjak naik 30 sen seliter di stesen minyak.

Ketika mempertahankan keputusan itu, Najib memberitahu dalam temu bual khas televisyen bahawa penjimatan subsidi itu akan digunakan bagi pembangunan terutama menaikkan taraf sistem pengangkutan awam.

Sejak itu, kita tidak tahu berapa banyak telah dijimatkan dan bagaimana penjimatan itu digunakan. Hatta, kos sebenar MRT dan projek pengangkutan awam yang lain pun tidak diketahui. Yang jelas adalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang semakin buruk.

Kita langsung tidak tahu apakah kemudahan pengangkutan awam yang diwujudkan hasil penjimatan subsidi itu bagi kawasan luar bandar dan pedalaman. Yang kita tahu, jalan-jalan luar bandar sering terabai.

PENCAPAIAN TIDAKLAH HEBAT MANA

Saya pernah membangkitkan terus kepada Najib tentang keperluan membelanjakan sebahagian penjimatan itu bagi menaikkan taraf prasarana kawasan pengeluaran beras utama negara.

Namun, sehingga hari ini hanya kawasan padi Sekinchan sahaja mempunyai sistem pengaliran lengkap dan sempurna.

Sebenarnya, kalau kita lihat perangkaan dan petunjuk ekonomi zaman Najib antara 2009 hingga 2017, pencapaiannya tidaklah sehebat yang beliau ungkit.

Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi zaman beliau mendatar dan lebih rendah daripada sembilan tahun sebelumnya iaitu ketika negara di bawah pentadbiran Dr Mahathir dan Abdullah.

Menurut perangkaan Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat purata 4.7 peratus setahun ketika pemerintahan Najib berbanding 5.5 peratus untuk sembilan tahun sebelum itu.

Jika kita buat perbandingan antara zaman Najib dan Dr Mahathir, kita akan dapati dari 1981 hingga 2003, ekonomi negara berkembang pada kadar purata tahunan 6.26 peratus walaupun berlaku krisis ekonomi pada 1985 dan 1998.

Satu kajian yang dibuat oleh Emir Research berasaskan perangkaan Bank Dunia mendapati kebanyakan petunjuk utama ekonomi mendatar atau jatuh ketika pentadbiran beliau. Yang membimbangkan adalah aliran itu berterusan hingga sekarang.

Malah, dasar, projek dan segala macam pendekatan yang beliau ambil selama sembilan tahun menjadi Perdana Menteri ibarat langit dan bumi jika dibandingkan dengan Almarhum bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Walaupun Abdul Razak mengutamakan pembangunan luar bandar, namun sepanjang pemerintahannya yang singkat, beliau berjaya menjana pertumbuhan purata ekonomi 7.7 peratus setahun.

Kesimpulannya, Najib bukanlah pengurus, penasihat dan penganalisis ekonomi terbaik bagi Malaysia atau mana-mana negara sekalipun. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca