SHAH ALAM - Terdapat tiga faktor yang boleh menyebabkan emosi seseorang pengguna jalan raya terganggu sehingga bertindak luar kawalan dan mencetuskan pergaduhan yang akhirnya membawa kepada insiden buli jalan raya.
Tiga faktor tersebut ialah apabila terlibat kemalangan, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk jangka masa panjang, serta berada dalam keadaan cuaca panas.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, kesemua situasi tersebut boleh meningkatkan tahap stres seseorang.
Bagaimanapun, katanya, ia mengikut situasi semasa kejadian.
"Misalnya kalau seseorang itu sedang stres dan berlaku sesuatu situasi seperti kena tunggu lama dalam kesesakan trafik atau panas dan sebagainya, boleh mencetuskan sikap agresif.
"Mungkin juga sebelum itu terlibat kemalangan kecil yang bukan berpunca daripadanya. Apabila berlaku salah faham, boleh menyebabkan individu itu bertindak kasar.
"Namun dalam konteks kemalangan, mungkin ada satu punca menjadikan mereka bertindak kasar. Mungkin juga orang yang menyebabkan kemalangan itu tidak mengaku salah,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Fauziah berkata, pemandu kenderaan yang terlibat kemalangan perlu bijak mengawal emosi dengan tidak terburu-buru membuat sebarang tindakan.
"Jika seseorang pemandu itu tidak boleh mengawal kemarahan dan mudah bertindak agresif, ambil masa beberapa minit buat teknik pernafasan dalam kereta.
"Tujuannya untuk membantu diri bertenang sebelum keluar berbincang dengan orang yang terlibat dengan nada baik. Ambil masa untuk bertenang.
"Apabila berlaku kemalangan, boleh tengok tahap diri seseorang. Ada yang jenis penyabar, ada yang baran. Jadi tak boleh kata mereka ada masalah kesihatan mental,” katanya.
Tambah Fauziah, insiden yang tular di laman sosial sehingga mencetuskan spekulasi boleh menambah tekanan kepada individu terlibat.
"Kebanyakan video yang ditularkan tidak berlaku seperti yang digembar-gemburkan oleh warganet, sebaliknya hanya mahu meraih jumlah likes yang banyak,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah menularkan sesuatu situasi tanpa mendapatkan maklumat tepat agar tidak timbul sebarang spekulasi.
Klik di sini untuk terus membaca