HUBUNGAN moden antara Malaysia-Turkiye bermula pada 1964 apabila kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan diplomatik. Namun, hubungan antara Malaysia dan Turkiye boleh dikesan kira-kira 600 tahun lalu ketika Empayar Turki Uthmaniyyah... Klik di sini untuk terus membaca

HUBUNGAN moden antara Malaysia-Turkiye bermula pada 1964 apabila kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan diplomatik.

Namun, hubungan antara Malaysia dan Turkiye boleh dikesan kira-kira 600 tahun lalu ketika Empayar Turki Uthmaniyyah dengan Kesultanan Melaka, kemudian Kesultanan Johor.

Kerajaan Johor ketika pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (1886-1895) telah mengadakan hubungan erat dengan pemerintah Empayar Turki Uthmaniyyah, Sultan Abdulaziz dan Sultan Abdul Hamid II.

Menurut catatan sejarah ketika Sultan Sir Abu Bakar melawat Istanbul pada 1890, baginda telah menaiki kereta kuda bersama Sultan Abdul Hamid II untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Pada masa sama, Ungku Abdul Majid, adik Sultan Sir Abu Bakar mengahwini Ruggyyah Hanum yang berasal dari Turkiye. Perkahwinan itu mengeratkan lagi hubungan dua hala dan melahirkan keturunan campuran Melayu-Turkiye.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan kunjungan rasmi ke Turkiye pada 5 hingga 9 Julai lalu. Beliau telah bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk membincangkan hubungan bilateral dan isu-isu semasa.

Perbincangan diadakan dalam suasana penuh mesra dan semangat kekeluargaan. Erdogan memanggil Ismail Sabri dengan ‘Brother Ismail’ walaupun itu adalah lawatan sulungnya sebagai Perdana Menteri.

Malaysia berpotensi menjadi hab perdagangan dan pintu bagi Turkiye ke pasaran di Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, Malaysia dan Turkiye kini dalam peringkat akhir membincangkan untuk mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) merangkumi sektor pelaburan, perkhidmatan dan e-perdagangan.

Ramai mungkin tidak mengetahui pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokeen di Istanbul diurus oleh Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB). Kini perbincangan sedang diadakan untuk memperluaskan lagi kerjasama antara MAHB dengan lapangan terbang yang lain di Turkiye.

Malaysia dan Turkiye juga berpotensi membangunkan industri pelancongan Islamik kerana kedua-dua negara boleh menawarkan pakej percutian Islamik.

RAKAN DAGANGAN KETIGA TERBESAR

Pada 2019, seramai 107,000 rakyat Malaysia telah melawat Turkiye, manakala 15,000 rakyat Turkiye menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka.

Hubungan ekonomi Malaysia-Turkiye juga telah berkembang kukuh. Pada 2015, jumlah nilai perdagangan antara kedua-dua negara ialah AS$1.4 bilion tetapi angka itu telah meningkat kepada AS$4 bilion pada 2021.

Turkiye juga berpotensi menjadi hab bagi pengeluaran dan pemasaran produk minyak sawit ke Eropah serta Timur Tengah, selain bidang perbankan dan kewangan Islam.

Ismail Sabri dan Erdogan telah bersetuju menubuhkan perbankan digital Islam melalui kerjasama antara syarikat Boustead Holding Bhd dan Turkiye's Great East Capital (GEC).

Perlu ditegaskan, Turkiye ialah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM16.97 bilion pada 2021 dan projek yang dilaksanakan bernilai RM444.59 juta.

Turkiye turut berpotensi membantu Malaysia membangunkan industri pertahanan kerana mempunyai kepakaran tersendiri.

Perkara itu penting kerana selaras dengan pemodenan sistem pertahanan Malaysia secara berterusan mengambil kira perkembangan geopolitik semasa khasnya kawalan sempadan dan situasi di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak harus terhad kepada pembelian peralatan pertahanan tetapi merangkumi pemindahan teknologi dengan pembukaan kilang peralatan pertahanan di Malaysia. Maka, Malaysia akan menjadi pusat pemasangan dan pengedar peralatan pertahanan Turkiye dalam kalangan negara ASEAN.

Malaysia dan Turkiye juga menyokong perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada pendudukan Isreal dan berdaulat. Kedua-dua negara adalah anggota dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Organisasi Kerjasama Islamik (OIC) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Hubungan Malaysia dan Turkiye berkembang sejak dahulu lagi, malah boleh ibaratkan seperti adik-beradik. Lawatan Ismail Sabri ke Turkiye adalah kesinambungan dalam semangat kekeluargaan Malaysia-Turkiye.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca