WALAUPUN agak terlewat membuat pelantikan, akhirnya anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dilantik oleh kerajaan, dipengerusikan Profesor Dr Rahmat Mohamad, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN agak terlewat membuat pelantikan, akhirnya anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dilantik oleh kerajaan, dipengerusikan Profesor Dr Rahmat Mohamad, seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sangat dikenali dalam kalangan ahli akademik, malah pernah berkhidmat untuk negara di peringkat antarabangsa.

Beliau pernah menjawat jawatan Pengerusi Institut Sukan Negara, Setiausaha Agung Asian-African Legal Consultative Organisation dan banyak lagi.

Penerima Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Aberystwyth di Wales itu juga telah menulis pelbagai buku dan artikel dalam bidang perundangan.

Senarai lapan keanggotaan yang majoritinya anggota baharu juga menarik perhatian pelbagai pihak.

Pada pandangan saya, pelantikan baharu itu menggambarkan aspirasi negara. Ketika ini Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perjuangan hak asasi manusia acuan negara Barat memang sudah lama dibimbangi masyarakat Islam arus perdana. Ia tidak secocok dengan nilai ketimuran dan agama negara.

Malah, adakala bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Pejuang hak asasi tanpa batasan itu mendesak peruntukan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan batasan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walhal, Seksyen 4(4) Akta Suhakam sendiri menyatakan Suhakam tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan itu sering dilupai Suhakam dalam mereka menggarap aktiviti dan pandangan.

Memang dijangka ada segelintir yang tidak berpuas hati dengan barisan pesuruhjaya baharu itu. Pelbagai kecaman dilemparkan.

Apakah golongan majoriti arus perdana tidak mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka? Adakah pandangan selain daripada dibawa golongan tertentu tidak mempunyai nilai kemanusiaan?

Saya percaya barisan anggota Suhakam yang baharu mampu mencatat lembaran baharu hak asasi manusia, selain memelihara keluhuran perlembagaan yang kita junjung.

Kegelisahan umat Islam arus perdana dan bukan Islam yang tidak selesa dengan pengimportan nilai-nilai Barat tanpa ditapis oleh norma-norma watan memang sangat ketara.

ACUAN BAHARU

Pertembungan itu jika tidak diredakan, mungkin akan membawa kepada perpecahan dalam negara.

Kita memang sudah berpecah dalam isu-isu politik, kita tidak mampu menanggung perpecahan yang lebih besar dan marak membarah dalam kehidupan seharian kita pula.

Pesuruhjaya Suhakam yang baharu diberi mandat selama tiga tahun ini mempunyai peranan besar untuk mengembalikan hak asasi manusia mengikut acuan watan sebenar.

Malaysia tidak boleh dinilai semata-mata daripada nilai sejagat tetapi nilai sejagat itu perlu disesuaikan dengan norma tempatan berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan pula adalah manifestasi kehendak umum daripada norma watan itu sendiri. Ia menjadi dokumen perundangan tertinggi dalam negara untuk dilaksanakan, sedangkan konvensyen antarabangsa hanya boleh dilaksanakan jika tidak bercanggah de-ngan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Oleh itu, Suhakam perlu kembali kepada premis ini dalam menjulang hak asasi manusia. Kita perlu menyingkirkan fahaman yang seolah-olah menobatkan hak asasi manusia seperti agama baharu yang boleh mengubah ajaran agama sedang diamalkan termasuk agama Islam.

Bukan semua perkara hak asasi manusia boleh mencampuri urusannya. Bagaimanapun, ia tidaklah bermakna kita boleh berlaku zalim atau menindas mana-mana orang tanpa hak.

Saya percaya keanggotaan baharu itu mampu melakukan perubahan diinginkan masyarakat Islam arus perdana.

Isu-isu seperti hak LGBT, perkahwinan sejenis, pengiktirafan anak luar nikah dan lain-lain seharusnya tidak dijadikan perjuangan Suhakam kerana bercanggah dengan nilai ketimuran, agama negara serta nilai Perlembagaan Persekutuan.

Lembaran baharu Suhakam sedang dinukilkan agar ia selari dengan kehendak masyarakat.

Demi negara dan kepentingannya, Suhakam akan menjadi wadah bagi menegakkan keluhuran perlembagaan berdasarkan acuan hak asasi manusia yang sesuai dengan kehendak watan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca