KEDUA-DUA juara perseorangan Wimbledon bukan calon kegemaran saya. Saya tidak mempunyai masalah dengan pemain tenis asal Kazakhstan, Elena Rybakina tetapi pukulan junam oleh Ons Jabeur dari Tunisia amat menakjubkan untuk dilihat.
Nama pertamanya juga membuatkan sorakan akan menjadi lebih efisien – Come Ons! – tetapi ia tidak mencukupi untuk kali ini dan memerlukan kesempatan lain untuk melihat Grand Slam dimenangi oleh seorang wanita Muslim, Arab dan berasal dari benua Afrika.
Untuk acara perseorangan lelaki, kesetiaan saya terhadap Roger Federer memerlukan saya menentang sesiapa sahaja yang cuba mengatasi pencapaian jumlah kejuaraan perseorangan Grand Slam.
Malang sekali, Rafael Nadal kini mengumpul 22 kejuaraan manakala Novak Djokovic mempunyai 21 kejuaraan tetapi 20 kejuaraan Federer adalah termasuk lapan kejuaraan Wimbledon, satu rekod yang belum diatasi di kejohanan gelanggang rumput tersebut.
Kali ini, lawan Djokovic ialah Nick Kyrgios, seorang pemain tidak ortodoks, pengkritik akan menyatakannya terlalu dramatik - yang darah warisan Malaysia daripada sebelah ibunya menimbulkan sedikit semangat Jalur Gemilang di Centre Court.
Ada yang berhujah bahawa hubungan yang lemah dengan negara bukan alasan untuk memberikan sokongan terhadap seseorang, tetapi kesan inspirasi seorang juara sukan terhadap rakan cilik senegara tidak boleh diperkecilkan.
Sukan tenis di Malaysia sedang berkembang, lambat tetapi pasti dengan dua pingat gangsa di Hanoi merupakan kali pertama kita berjaya mengutip lebih daripada satu pingat untuk tenis di Sukan SEA, namun badminton dan skuasy telah mendapat manfaat daripada para ikon untuk memangkinkan generasi baharu pemain.
Dalam hal ini, Datuk Nicol David, pemain skuasy wanita nombor satu dunia selama 108 minggu berturut-turut - satu pencapaian menakjubkan dalam mana-mana sukan telah berbesar hati menghadiri dan menyokong perlawanan akhir Piala Tuanku Muhriz di Seri Menanti pada 2 Julai lalu.
Kedua-dua perlawanan akhir kejohanan PSA Challenger Tour (menyumbangkan wang kemenangan dan mata ranking dunia) menyaksikan pemain pilihan lebih rendah menewaskan pemain pilihan kedua, Aira Azman dari Kedah menewaskan pemain Mesir, Salma Eltayeb dalam acara wanita manakala Abhay Singh dari India menewaskan Ivan Yuen dari Pulau Pinang dalam acara lelaki.
KUMPUL DANA
Selain perlawanan akhir acara perseorangan, Datuk Nicol David bersama saya, para pemain muda Negeri Sembilan dan pihak penaja telah bermain perlawanan beregu pertunjukan bagi membantu mengumpulkan wang untuk kedua-dua Persatuan Squasy Negeri Sembilan dan Nicol David Organisation.
Para pemain muda telah membesar terinspirasi dengan Nicol, tetapi ternyata semangat berdaya saing mereka masih ada apabila mereka berjaya membuatkan Nicol bekerja keras untuk mendapatkan setiap mata!
Memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Squash Negeri Sembilan selama empat tahun, saya amat mengagumi keupayaan para jurulatih menanam semangat berdaya saing dan hormat-menghormati dalam diri kanak-kanak ini walaupun mereka sendiri tidak sedar akan keupayaan mereka memberikan inspirasi.
Mereka menjalani latihan bersama-sama di gelanggang, bersaing dengan rakan sepasukan secara bersungguh-sungguh, tetapi masih mengekalkan rasa hormat antara satu sama lain selepas itu.
Hal ini amat penting kerana skuasy merupakan sukan berbilang kaum berbanding beberapa sukan lain yang (sekurang-kurangnya dianggap) didominasi oleh satu bangsa.
Hal ini telah merangkumkan satu pengajaran dengan sempurna - sering dipetik oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman - bahawa cara terbaik untuk menanamkan kewarganegaraan dan kepercayaan bersama terhadap kedaulatan undang-undang adalah dengan memastikan anak muda Malaysia dari semua latar belakang bermain lebih banyak sukan.
Satu lagi kelebihan apabila terdapat gelanggang di kawasan luar bandar: Ia mencipta peluang kepada lebih ramai kanak-kanak daripada isi rumah B40 untuk bermain: dan sememangnya ramai daripada pemain terbaik kita berasal daripada latar belakang yang biasa-biasa sahaja.
Sudah tentu, satu lagi perkara yang penting adalah pengurusan prasarana dan pembangunan yang baik oleh kementerian serta persatuan sukan, tetapi amat menyedihkan apabila politik (kedua-dua parti dan individu) juga boleh menjejaskan hal ini.
MEMUPUK JUARA
Perkara yang paling membuatkan saya merasa cemburu terhadap para atlet muda kita adalah perjalanan mereka boleh dijejak dengan mudah melalui pencapaian yang jelas: memenangi pertandingan, mendapat hadiah wang kemenangan, mendaki tangga ranking, menerima pembiayaan penaja serta sentiasa memburu kejayaan seterusnya.
Ketika memperingati sambutan hari lahir baru-baru ini, saya telah memikirkan beberapa perkara penting: setelah mencapai umur tertentu, perjalanan hidup menjadi unik dan bersifat sangat peribadi sehingga amat sukar untuk melakukan perbandingan, seseorang itu akhirnya akan mempersoalkan penilaian kejayaan yang ada: terutamanya apabila golongan yang sinis dan penghasut maya berleluasa.
Aset paling berharga ketika itu ialah ahli keluarga dan rakan-rakan yang dipercayai: mereka yang mengingatkan kepada kelemahan dan cabaran peribadi, menunjukkan kita kejayaan yang perlu diingati dan bersyukur untuk peluang-peluang dalam dunia yang tidak menentu dan sinis.
Hal-hal ini serta kesan berganda daripada mencipta peluang untuk orang lain merupakan perkara yang tidak dapat diukur.
Dalam sukan dan sektor-sektor lain apabila alumni pulang ke masyarakat dan menyumbang kembali, kitaran positif yang terhasil menciptakan asas untuk pencapaian peribadi dan pencapaian masyarakat, sama ada yang boleh diukur mahupun tidak.
Tidak mengapa: perasaan bersyukur yang tulen dan kemungkinan untuk memupuk juara-juara pada masa hadapan merupakan alasan yang kukuh untuk melakukannya.
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Persatuan Squash Negeri Sembilan
Klik di sini untuk terus membaca