HUBUNGAN diplomatik antara Arab Saudi dengan Israel merupakan topik yang menjadi perhatian utama ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke negara itu baru-baru ini.
Lawatan Biden sepatutnya dilakukan bulan lalu tetapi ditangguhkan pada Khamis sebelum mengadakan kunjungan ke Arab Saudi sehari selepas itu.
Sebelum ini, rejim Tel Aviv berjaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain pada 2020 sebelum diikuti Maghribi serta Sudan ketika Washington berada di bawah pentadbiran Presiden AS ke-45, Donald Trump.
Bagaimanapun, hubungan diplomatik melibatkan UAE dan Bahrain dengan Israel yang dibuat menerusi Perjanjian Abraham di bawah kendalian AS itu menimbulkan kemarahan penduduk Palestin yang mengutuknya sebagai perbuatan tikam dari belakang.
Nama Arab Saudi juga kerap disebut-sebut bakal menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, sedangkan negara berkenaan menyatakan ia hanya akan berlaku apabila rejim Zionis tidak lagi menduduki Palestin.
Bagaimanapun, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (MBS) menggelar Israel sebagai ‘bakal sekutu’ menerusi wawancara yang diterbitkan AFP pada awal bulan lalu.
Menurut transkrip yang dikeluarkan oleh Saudi Press Agency (SPA), beliau memaklumkan Arab Saudi berharap konflik antara Israel dan Palestin dapat diselesaikan.
"Kami tidak melihat Israel sebagai musuh, kami melihat mereka sebagai sekutu yang berpotensi dengan banyak kepentingan yang boleh kami kejar bersama. Tetapi kami perlu menyelesaikan beberapa isu sebelum kami mencapainya,” ujarnya lagi.
Sebelum Biden melawat Arab Saudi, banyak laporan akhbar di Israel yang memberikan penekanan terhadap hubungan antara Tel Aviv dengan Riyadh.
GUNA PENGARUH AS
Pada Khamis, Perdana Menteri sementara Israel, Yair Lapid memberitahu Tel Aviv bersedia untuk menormalkan hubungan diplomatik dengan lebih banyak negara Arab termasuk Riyadh.
Lapid dilaporkan meminta Biden menyampaikan mesej tersebut kepada pemimpin-pemimpin Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Iraq ketika sidang media di Baitulmaqdis, sehari sebelum pemimpin itu dijadualkan terbang ke Riyadh untuk menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Mesej jelas oleh bekas Menteri Luar itu adalah Israel mahu menghulurkan perdamaian dengan negara-negara Teluk tersebut.
Lapid turut menyatakan kesediaan Israel untuk bekerjasama dan berkongsi teknologi para saintis mereka.
Pada sidang media itu, Biden juga membayangkan bahawa beliau akan mendesak hubungan normal antara Israel dan Arab Saudi.
Sebelum lawatan bersejarah itu juga, Israel bersetuju menyerahkan dua buah pulau strategik iaitu Tiran dan Sanafir di Laut Merah kepada Arab Saudi.
Tiran dan Sanafir yang terletak di pintu masuk Teluk Aqaba sepatutnya diserahkan oleh Mesir kepada Arab Saudi pada 2018 sebagai pertukaran bagi mendapatkan bantuan kewangan.
Namun, penyerahan itu perlu dipersetujui rejim Tel Aviv berdasarkan kandungan perjanjian damai antara Israel dengan Mesir pada 1979.
Penyerahan itu berlaku ketika muncul spekulasi yang mendakwa Arab Saudi mungkin menjalin hubungan dengan Israel.
Sebagai merealisasikan rancangan itu, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam di Riyadh juga mengumumkan ia telah memutuskan untuk membenarkan kesemua syarikat penerbangan termasuk dari Israel memasuki ruang udaranya.
Keputusan itu akan membolehkan perkongsian antara Israel dengan UAE dan Bahrain berkembang dengan lebih cepat.
Langkah itu juga mendapat pujian Rumah Putih yang mengeluarkan kenyataan bahawa Biden menyambut baik keputusan bersejarah tersebut yang disebutnya sebagai hasil diplomasi berterusan dan berprinsip antara beliau dengan Riyadh selama beberapa bulan.
Justeru, adakah Riyadh benar-benar akan menjalin hubungan dengan Israel?
Bagaimanapun, setakat ini Israel hanya mampu berharap lawatan Biden ke rantau Asia Barat akan membantu menormalkan hubungan diplomatik antara Israel dan Arab Saudi.
Hal itu kerana Arab Saudi masih berpegang teguh kepada prinsipnya bahawa ia tidak akan menjalin hubungan secara rasmi dengan Israel sehingga Palestin diisytiharkan sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka berdasarkan garisan sempadan pada 1949-1967.
INFO:
Sebelum UAE dan Bahrain menjalin hubungan dengan Israel, Mesir serta Jordan sebenarnya telah terlebih dahulu menormalkan hubungan dengan rejim Tel Aviv pada 1979 dan 1994.
Klik di sini untuk terus membaca