SHAH ALAM - Pakar perubatan mengingatkan kepada bekas pesakit Covid-19 bahawa mereka tidak kebal dan masih boleh mendapat jangkitan daripada virus lain seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan Influenza-Like-Illness (ILI).
Kajian pakar-pakar dari Translational Immunology Group for Education, Research and Society (TIGERS) menunjukkan bahawa apa sebenarnya yang terjadi pada sistem imun badan selepas menghidap Covid-19 adalah ia akan bertindak balas setiap kali bahan asing seperti virus Covid-19 atau bakteria memasuki tubuh seseorang yang dipanggil perumah atau hos.
Pakar Pediatrik dan Pediatrik Imunologi, Dr Lokman Mohd Noh menjelaskan, walaupun seseorang itu mempunyai pengalaman menghidap Covid-19, ia tidak memberi perlindungan imuniti pada serangan virus influenza atau flu biasa.
"Secara saintifik, kedua-kedua virus tersebut adalah dari keluarga virus yang berbeza. Maka, jangkitan dari Covid-19 tidak akan memberi perlindungan imuniti terhadap serangan virus influenza walaupun gejala yang dialami hampir serupa.
"Ini membuktikan sistem imun manusia amat spesifik terhadap sesuatu virus atau bakteria yang telah didedahkan untuk tindak balas.
"Jika seseorang telah dijangkiti virus dalam kalangan keluarga koronavirus yang serupa dengan virus Covid-19, kemungkinan kekebalan terhadap virus Covid-19 boleh terbentuk tanpa menunjukkan gejala,” katanya kepada Sinar Premium.
Negara ketika ini dilanda penularan HFMD di mana data pada akhir bulan Mei lalu merekodkan 47,209 kes dan kluster ILI yang semakin merebak hari ini.
Dr Lokman menambah, selepas dijangkiti Covid-19, paras antibodi akan meningkat dalam tubuh, namun ia tidak akan berkekalan malahan akan menurun beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian apabila benda asing dalam sistem pendarahan berkurangan hingga lupus keseluruhannya.
"Jika terdedah kembali pada virus yang serupa atau benda asing yang seiras dengannya, paras antibodi akan meningkat semula dalam sistem peredaran darah akibat rangsangan sel memori T dan B.
"Yang merangsang kekebalan atau imuniti ialah molekul spesifik pada virus Covid-19. Apabila bahan spesifik epitope boleh dimurnikan dalam bentuk vaksin, tindakan balas untuk membina imuniti juga akan serupa seperti jangkitan virus secara semula jadi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli TIGERS, Profesor Rahim Md Noah berkata, seseorang yang mempunyai sistem imun sihat seharusnya mampu menghindar dari kesan jangkitan Covid-19.
"Hanya warga tua berumur 60 tahun ke atas, individu yang kekurangan daya imun dan mereka yang menghidap dalam keadaan komorbid atau keadaan badan yang tidak normal seperti pesakit dialisis yang berisiko tinggi untuk dijangkiti virus covid-19 dengan kesan serius.
"Ini kerana sistem pertahanan tubuh keseluruhan tidak mampu melawan penyakit berjangkit sehebat dulu untuk mereka yang mengalami keadaan seperti yang disebut,” katanya.
Selain itu katanya, vaksin dan dos penggalak yang telah diambil oleh rakyat Malaysia menunjukkan keupayaan untuk mengurangkan kesan jangkitan Covid-19 ke tahap yang tidak membimbangkan.
"Data saintifik menunjukkan walaupun imuniti kelompok Malaysia di tahap yang tinggi hampir 80 peratus namun, keberkesanan menurun dengan kemunculan varian yang baharu iaitu Omicron.
"Sebanyak 60 hingga 70 peratus masih terpelihara dari jangkitan Covid-19 dengan vaksin namun risiko masih ada kerana terdapat mutasi iaitu penukaran sifat bahan spesifik pada virus Covid-19 menyebabkan antibodi yang terbina dahulu tidak dapat menaturalisasikan varian virus yang baharu. Justeru itu, ada kemungkinan gelombang baharu Covid-19 akan berlaku,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca