SEBUT sahaja nama 'mat motor', seakan tiada apa yang indah melainkan gambaran sifat-sifat negatif atau sisi buruk buat si pencinta jentera dua roda tersebut.
Apa yang dilihat pada mat motor adalah bawa motosikal laju-laju, memekak dengan ekzos diubah suai, beraksi nakal di atas motosikal seumpama pelakon lagak ngeri dan berkumpul ramai-ramai di 'port' panas sambil membuat bising.
Dan gambaran buruk itu dihangatkan lagi dengan kejadian kemalangan membabitkan tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi dipercayai parah setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal dengan kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown pada awal pagi Ahad, pada jam kira-kira 4.30 pagi.
Lebih sadis, ada pula sesetengah pihak yang terus sahaja melabelkan penunggang motosikal sebagai pengguna jalan raya yang biadab.
Asal berlaku kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal dengan kenderaan lain, sah-sah yang pertama dipersalahkan adalah si pemilik jentera kecil tersebut.
"Mesti mat motor yang bawa laju dan langgar kereta". Itulah ayat yang Mat Taici selalu dengar apabila berlaku kecelakaan melibatkan motosikal meskipun yang berkata itu tidak langsung pun melihat kejadian kemalangan, apatah lagi menjadi saksi kejadian.
Pernahkah kita terfikir bagaimana perasaan seorang penunggang motosikal yang cedera parah atau patah riuk, tetapi sebenarnya dia adalah mangsa dan bukannya pelaku penyebab kejadian kemalangan.
Dalam setandan pisang, bukan semuanya busuk. Begitu jugalah dengan spesis pencinta jentera dua roda ini.
Pastinya ramai penunggang motosikal mempunyai empati dan nilai-nilai murni tinggi meskipun sering 'berdesup' macam 'lipas kudung' di atas jalan raya.
Pasti kita pernah melihat bagaimana mat motor sanggup memberhentikan jenteranya di tepi jalan dan dengan segera menabur bakti membantu pihak yang terlibat dengan kecelakaan jalan raya.
Malah dalam hujan lebat, mat motor jugalah yang sedia menghulurkan bantuan tanpa meminta jasa baiknya dibalas.
Bukan macam sesetengah pihak yang hanya sekadar melihat dan kemudiannya merakam situasi di tempat kejadian bagi dimuat naik dalam laman media sosial masing-masing.
Bagi Mat Taici, setiap penunggang motosikal mempunyai sifat terpuji tersendiri. Satu daripadanya adalah semangat setia kawan atau 'blood brothers' tinggi meskipun tidak mengenali antara satu sama lain.
Kenapa Mat Taici berkata demikian? Ini kerana Mat Taici melaluinya sendiri apabila tayar motosikal pancit.
Meskipun terpaksa menolak bersendirian motosikal cabuk ke bengkel yang terletak tidak jauh dari pejabat, namun tiga orang mat motor berhenti dan menyapa bagi menghulurkan bantuan.
"Tak boleh buat apa-apa bang, tayar motor pancit. Kalau rosak lain, mungkin awak boleh bantu saya. Apa-apa pun terima kasih kerana bertanya," kata Mat Taici penuh terharu.
Begitulah sifat setia kawan yang ditunjukkan oleh kumpulan mat motor. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, namun tetap menunjukkan rasa keprihatinan tinggi.
Contoh baik juga berjaya ditunjukkan oleh kumpulan-kumpulan rider atau penghantar pesanan barangan yang telah dijadikan contoh tauladan baik di media sosial.
Mereka antara insan yang cepat bertindak sekiranya berlaku kemalangan dan bersedia menghulurkan bantuan.
Banyak video tular menyaksikan kehebatan mereka sebagai wira jalanan. Mengalih mangsa kemalangan ke tempat selamat, mengangkat motosikal yang terbarai, membantu melancarkan aliran lalu lintas serta sekecil-kecil bantuan yang diberikan untuk mengalih ranting pokok selepas hujan lebat.
Besar jasa diberikan. Namun kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Akibat aksi segelintir mat rempit yang sering berlumba haram di waktu malam, maka terkubur semua nilai-nilai murni si mat motor.
Tetapi harus diingat bahawa ada bezanya antara mat motor dan mat rempit. Mat motor adalah mereka yang cintakan motosikal manakala mat rempit adalah mereka yang ligat beraksi tanpa otak di atas jalan raya.
Teringat kisah penulis membantu seorang sahabat sewaktu zaman belajar. Kami sekumpulan mat motor secara bergilir-gilir menunda motosikalnya dari Melaka ke Gombak, Selangor kerana mengalami kerosakan enjin.
Memang penat tetapi satu kepuasan kerana berjaya membantu blood brothers yang mengalami kesulitan sampai ke destinasi dituju.
Pss: Ada 'Mat' yang tengah popular sekarang... Mat Kilau
Klik di sini untuk terus membaca