SELEPAS dua tahun ibadah haji tertangguh akibat pandemik Covid-19, kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima. Arab Saudi juga menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS dua tahun ibadah haji tertangguh akibat pandemik Covid-19, kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.

Arab Saudi juga menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi tahun 1443 Hijrah ini; 85 peratus daripadanya adalah untuk jemaah luar negara Saudi.

Kini, para hujjaj sebagai tetamu ALLAH pun mula kembali ke tanah air masing-masing dengan membawa pulang pelbagai kenangan dari Tanah Suci.

Dengan gelaran haji atau hajah yang melekat pada nama sehingga akhir hayat, menjaga dan mengekalkan kebaikan diri adalah satu cabaran yang amat besar.

Saya menunaikan rukun haji bersama-sama isteri serta kedua-dua Almarhumah ibu dan Almarhum ayah mertua saya pada bulan April-Mei 1996.

Pada masa itu, saya merupakan doktor pakar dan pensyarah psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dengan sukarela saya membantu tim perubatan Tabung Haji (TH) Malaysia rombongan kami dengan memberi pandang profesional saya.

Ketua pegawai perubatan serta pakar kesihatan awam rombongan kami ialah seorang sahabat lama yang lulus daripada Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah, Mesir. Saya dan isteri lulus daripada Universiti Kaherah, Mesir.

Sahabat kami ini sudah berpengalaman memimpin tim perubatan TH. Sebagai pengamal perubatan swasta, isteri saya telah juga cuba membantu jemaah haji dalam rombongan (satu kapal terbang) Muassasah Tabung Haji yang kami menjadi ahlinya.

Saya ingin menceritakan kisah dua orang lelaki ahli rombongan kami yang masih saya ingat.

Lelaki pertama berusia sekitar awal 50-an; seorang peniaga dari Semenanjung. Apabila kami para hujjaj, staf serta doktor TH bersiap untuk bergerak ke Arafah dan Mina, beliau hilang kewarasannya. Walaupun beliau hilang akal, ia terus dibawa bersama-sama ke semua tempat yang wajib dilalui untuk kesempurnaan haji.

Lelaki kedua ialah seorang tua yang berusia hujung 70-an atau awal 80-an. Saya masih ingat bagaimana beliau terpinga-pinga apabila diserahkan oleh ahli-ahli keluarga yang sedang sedih dan meratap kepada staf Kompleks TH di Kelana Jaya.

Sebagai seorang psikiatris muda, kelakuan orang tua yang sudah nyanyuk itu menghentak benak saya. Rasa empati mencengkam jiwa. Hingga ketika itu, bersama-sama rakan para psikiatris Jabatan Psikiatri UKM, saya sudah merawat ramai pesakit yang menghidap penyakit demensia.

Sepanjang perjalanan di Tanah Suci, kebajikan dan kebersihan orang tua yang menghidapi demensia ini terpaksa diselia oleh staf TH serta para hujjaj lain. Hingga akhir pemusafiran haji, beliau tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.

Sepulangnya kami semua ke tanah air, dengan sukarela saya menyiapkan sebuah kertas kerja untuk disampaikan oleh sahabat saya itu kepada TH. Terkandung di dalamnya dua cadangan.

Pertama, semua bakal hujjaj yang berusia 55 tahun dan ke atas wajib menjalani pemeriksaan mental untuk memastikan mereka tidak nyanyuk.

Penyakit presenile dementia boleh berlaku sebelum usia 65 tahun. Kedua, semua pesakit mental yang berhajat untuk menunaikan haji wajib mendapatkan kelulusan doktor perubatan atau psikiatris yang merawat mereka.

Walaupun pada mulanya kertas saya telah ditolak dengan alasan bahawa hajat orang yang mahu menunaikan haji tidak boleh dihampakan, pada awal tahun 1997 pihak TH mula menunjukkan minat yang positif.

Hanya ALLAH SWT yang mengetahui sejauh mana kita yang bergelar haji dan hajah berjaya memperoleh haji mabrur.

Tidak sah haji mereka yang nyanyuk dan hilang kewarasan fikiran sewaktu mengerjakan haji. Begitu juga bagi mereka yang tidak dapat memenuhi syarat wajib dan rukun haji, walaupun saudara-mara menggelar mereka haji dan hajah.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah seorang psikiatris dan penulis

Klik di sini untuk terus membaca