LONDON - Nama Rishi Sunak kembali menjadi sebutan ramai selepas muncul pendahulu dalam perebutan jawatan pemimpin nombor satu Parti Konservatif merangkap Perdana Menteri Britain. Sunak, bekas Menteri Kewangan sebelum ini ‘membantu... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Nama Rishi Sunak kembali menjadi sebutan ramai selepas muncul pendahulu dalam perebutan jawatan pemimpin nombor satu Parti Konservatif merangkap Perdana Menteri Britain.

Sunak, bekas Menteri Kewangan sebelum ini ‘membantu memulakan pemberontakan’ yang menyaksikan kejatuhan Boris Johnson.

Berdasarkan undian pendapat Opinium, Sunak menjadi pilihan utama bagi suku responden dan beliau turut meraih sokongan majoriti ahli parlimen kanan Konservatif.

Politikus berusia 42 tahun ini dianggap ‘penyelamat’ negara kerana berupaya memulihkan ekonomi Britain selepas lebih dua tahun dihentam ‘tsunami’ Covid-19.

Namun, sebelum kebangkitannnya, imej Sunak tercalar gara-gara Britain memikul beban hutang tertinggi sejak tahun 1962 pada Oktober 2020 selain didenda kerana menyertai acara sosial ketika seluruh negara dikenakan perintah berkurung.

SIAPA SUNAK

Sunak dilahirkan di Southampton pada 12 Mei 1980. Anak kepada pasangan berketurunan India yang berhijrah dari Afrika Timur ini mendapat pendidikan di Kolej Winchester.

Beliau kemudiannya mengikuti Pengajian Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) di Kolej Lincoln, Oxford sebelum memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Stanford sebagai Sarjana Fulbright.

Semasa belajar di Stanford, beliau bertemu dengan isterinya, Akshata Murthy.

Akshata adalah anak perempuan kepada NR Narayana Murthy, ahli perniagaan jutawan India yang mengasaskan Infosys.

Sunak dan Akshata merupakan individu terkaya ke-222 di Britain dengan gabungan kekayaan berjumlah 730 juta pound (RM3.8 bilion) pada tahun 2022.

Selepas menamatkan pengajian, Sunak berkecimpung dalam perniagaan sebelum terjun ke dunia politik.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Canselor Perbendaharaan dari tahun 2020 hingga 2022.

Sebelumnya, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari tahun 2019 hingga 2020.

Peminat kelab bola sepak Newcastle United ini merupakan ahli parlimen bagi kawasan Richmond (Yorks) sejak 2015.

Sunak (kanan) berpotensi menjadi individu berketurunan India pertama dilantik sebagai pengganti Boris Johnson.

REPUTASI DAN KONTROVERSI

Sebagai Canselor, Sunak seorang yang menonjol dalam tindak balas kerajaan terhadap kesan ekonomi susulan sekatan dan penutupan bagi menangani gelombang pandemik Covid-19 di United Kingdom (UK).

Pun begitu, pada April 2022, beliau menjadi Canselor pertama dalam sejarah Britain yang telah dikenakan sekatan kerana melanggar peraturan Covid-19 apabila menghadiri acara sosial semasa tempoh sekatan pergerakan.

Beliau meletak jawatan sebagai Canselor pada 5 Julai 2022 kerana tidak lagi sanggup ‘bersubahat’ dengan skandal yang membelenggu Johnson sejak berbulan-bulan.

IKRAR PULIHKAN KEROSAKAN

Sejurus mencalonkan diri sebagai perdana menteri, Sunak berikrar membina semula kepercayaan rakyat dan kerajaan Britain.

"Mari kita pulihkan semula kepercayaan, membangunkan semula ekonomi dan menyatukan negara kita,” katanya.

Dalam kempennya menuju ke pejabat No.10 Downing Street, Sunak turut berjanji menangani inflasi, kelembapan pertumbuhan ekonomi serta isu keyakinan rakyat yang merosot susulan pentadbiran Johnson yang dibayangi skandal.

Jika terpilih, Sunak akan menjadi individu berketurunan India pertama yang memimpin Britain dan Parti Konservatif. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca