SHAH ALAM - Kemenangan ‘pasukan’ Rafizi Ramli pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR kali ini merupakan isyarat jelas yang ditunjukkan akar umbi parti itu berkenaan kecenderungan mereka dalam pendekatan untuk menghadapi Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kemenangan ‘pasukan’ Rafizi Ramli pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR kali ini merupakan isyarat jelas yang ditunjukkan akar umbi parti itu berkenaan kecenderungan mereka dalam pendekatan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Abu Bakar.

Beliau berkata, keputusan pemilihan yang menyebelahi Timbalan Presiden PKR baharu itu menunjukkan bahawa ahli PKR mahu parti itu menumpukan kepada usaha membina kekuatan parti berbanding berunding dengan parti pembangkang lain di bawah pendekatan ‘khemah besar’.

"Jadi saya rasa itu isyarat jelas yang diberikan oleh anggota Keadilan di peringkat akar umbi mahupun di peringkat perwakilan yang datang ke Kongres Nasional ke-16 PKR kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam keputusan pemilihan MPP PKR yang diumumkan pada Ahad, pasukan Rafizi berjaya memenangi 13 daripada 20 kerusi yang dipertandingkan.

Dengan keputusan tersebut, Mohamad Hisomuddin berkata, ia sememangnya dijangka memberikan tekanan kepada Presiden PKR untuk memuktamadkan secara jelas berhubung pendirian parti itu berkenaan isu kerjasama bersama parti pembangkang yang lain.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun berkata, kekuatan pasukan Rafizi untuk menarik sokongan pengundi masih belum teruji meskipun mengakui ia menampilkan kepimpinan lebih segar melalui idea dan wajah baharu.

Katanya, Rafizi bersama pasukannya juga dijangka mendapat peranan lebih besar dengan bekas Ahli Parlimen Pandan itu diramal turut dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti berkenaan.

"Jadi saya rasa itu beban yang akan dipikul oleh Rafizi dan pasukannya untuk menyusun formula kemenangan PKR dan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berkata, keputusan itu dilihat tidak memberi jaminan kepimpinan PKR akan terus menggunakan pendekatan dimahukan pasukan Rafizi.

"Ini kerana Anwar dijangka membuat lantikan beberapa posisi penting dalam kepimpinan tertinggi PKR termasuk ahli MPP yang lebih mesra dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu bagi menyeimbangkan pengaruh Rafizi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya Anwar tetap akan membuat keputusan berdasarkan kepada persetujuan dan pandangan bersama kesemua pimpinan parti itu.

Pada masa sama, Awang Azman turut berpendapat kehadiran pengaruh Rafizi dalam PKR akan menjadikan parti itu lebih meriah dengan pelbagai idea dan wacana untuk dijadikan sebagai jalan penyelesaian kepada bukan sahaja PKR tetapi negara secara umum.

Klik di sini untuk terus membaca