SHAH ALAM - Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MHKA) memandang serius mengenai kewujudan penginapan kepada pelancong yang tidak berdaftar di negara ini kerana ia mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat termasuk perlakuan jenayah.
Presidennya, Zohaime Muhamad Sori berkata, disebabkan beroperasi tanpa kawalan, segala aktiviti yang dilakukan di dalam rumah penginapan yang tidak berdaftar itu sukar dikawal oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Contohnya, pengunjung boleh buat pesta dan sebagainya dalam ‘homestay’. Jadi kerajaan dan penguat kuasa sukar untuk kawal.
"Macam (inap desa yang berdaftar) kami ini lain, kami inap desa dalam kampung, jadi orang-orang pun fikir dua tiga kali jika nak buat jenayah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Selain daripada itu, Zohaime berkata, sekiranya terdapat aduan yang dibuat berhubung penyediaan fasiliti inap desa yang tidak berdaftar itu, ia juga akan terpalit kepada inap desa berdaftar yang lain.
"Disebabkan mereka tidak berlesen, mereka boleh buat sesuka hati mereka, sebab itu ia akan burukkan nama industri pelancongan negara.
"Kadang-kadang apa yang mereka sediakan itu tidak sama apa yang mereka janjikan. Contohnya dalam iklan di platform Facebook, mereka menjanjikan keselesaan bilik. Bila pelanggan datang, tiba-tiba ada bilik yang tidak siap, kotor dan sebagainya. Jadi pelanggan tidak puas hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Zohaime, kerajaan serta PBT perlu memainkan peranan bagi membendung permasalahan tersebut yang semakin berleluasa di negara ini.
Menurutnya, PBT perlu memastikan agar semua perkhidmatan inap desa memohon perniagaan secara sah sekali gus menggalakkan keseimbangan pasaran.
"Kita meraikan kepelbagaian dan semua orang ada rezeki masing-masing, cuma diharap ikutlah saluran yang betul iaitu berdaftar dengan pihak berkuasa,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca