SHAH ALAM - Pelancong luar negara dan tempatan berkongsi pengalaman buruk setelah bermalam di rumah yang dijadikan unit penginapan kediaman jangka pendek. Tinjauan Sinar Harian dalam platform media sosial mendapati pelancong menyatakan rasa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelancong luar negara dan tempatan berkongsi pengalaman buruk setelah bermalam di rumah yang dijadikan unit penginapan kediaman jangka pendek.

Tinjauan Sinar Harian dalam platform media sosial mendapati pelancong menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan kebersihan serta pengurusan kediaman berkenaan.

Pelancong dari Singapura yang bernama Adlina Mazlan berkata, pengalaman percutian bersama keluarga menjadi buruk apabila keadaan bilik yang berselerak serta penuh dengan sampah sarap seolah-olah tidak pernah dibersihkan.

Ujar Adlina, pada ketika itu, mereka bercuti di negara ini dan membuat keputusan untuk menempah kediaman tersebut di Genting Highlands pada 22 Jun lalu.

"Pangsapuri itu mengerikan dan berbau busuk. Kami cuba menghubungi pengendali tetapi dia mengambil masa 15 minit untuk kembali kepada kami.

"Dia bertanya sama ada kami boleh meletakkan bagasi kami di sana dan menunggu di tingkat bawah sementara mereka membersihkan rumah itu.

"Jika bilik belum siap, mengapa mereka tidak boleh memberitahu kami dari awal dengan sopan untuk menunggu di tingkat bawah?” soalnya dalam perkongsian di Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, seorang pelancong tempatan, Abigail Sev melalui perkongsian di Facebooknya berkata, kediaman yang didudukinya juga berdepan dengan masalah kekotoran dan debu yang banyak.

Ujarnya, masalah tersebut membuatkan dia dan keluarganya berdepan dengan kesukaran untuk menginap di sana.

"Saya datang jauh untuk bercuti dengan keluarga, tetapi yang saya dapat rumah berdebu, katil berdebu dan berhama, tuala mandi lusuh dan koyak.

"Saya pulang dengan tangan gatal-gatal merah kiri kanan digigit hama sehingga terpaksa mengambil ubat di farmasi.

"Amaran untuk pengunjung lain juga jangan sampai terkena. Saya duduk dua hari, ini yang saya dapat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelancong tempatan, Rayyan Johor mendakwa, dia dan keluarga turut berdepan dengan masalah kebersihan serta pengurusan di sebuah inap desa pada tahun lalu.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan di inap desa tersebut turut mengalami kerosakan seperti paip air dan tab mandi.

"Peralatan memasak seperti periuk nasi, gelas dan peralatan memasak yang buruk dan tidak selamat untuk digunakan lagi.

"Dalam kabinet dapur busuk dan kotor. Seperti sudah lama tidak diselenggara.

"Paling teruk masa ‘check out’ (keluar) pemilik inap desa tolak deposit atas alasan kerosakan yang tidak logik,” menurutnya.

Selain itu, pelancong tempatan, Fatin Wahida Abdul Azis berkata, ada pemilik inap desa yang memberi pelbagai alasan sekiranya fasiliti kediaman tersebut tidak lengkap atau rosak.

"Saya pun baru balik dari Kuala Terengganu awal bulan dua hari itu. Homestay tak selesa sungguh.

"Dapur berminyak, katil bilik bawah nak patah dua. Tilam bukan main nipis seperti standard rumah transit. "Alasan (diberikan) sudah lama tidak tengok rumah,” jelasnya.

Seorang pelancong tempatan, Nurzalifah Mhd Shariff pula mendakwa ditipu oleh pengurusan sebuah penginapan kediaman di Melaka.

Katanya, sebelum daftar masuk untuk penginapan tersebut, dia telah diberitahu oleh penjaga kolam bahawa dia dibenarkan menggunakan kemudahan kolam renang yang disediakan.

"Tetapi apabila saya daftar masuk dan ambil kunci bilik, staf beritahu kolam tersebut tidak boleh digunakan kerana air kotor.

"Saya telefon minta diskaun tetapi staf tidak benarkan. Bilik yang dia bagi memang teruk, bantal tidak sempurna, cadar kotor dan lantai berhabuk,” menurutnya.

Klik di sini untuk terus membaca