SHAH ALAM - Dianggarkan lebih 70,000 unit penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) di negara ini menyediakan perkhidmatan tempat tinggal kepada pelancong tanpa sebarang kawalan, kata Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dianggarkan lebih 70,000 unit penginapan kediaman jangka masa pendek (STRA) di negara ini menyediakan perkhidmatan tempat tinggal kepada pelancong tanpa sebarang kawalan, kata Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak mengenakan sebarang kawal selia terhadap Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) yang menyenaraikan perkhidmatan STRA menerusi platform masing-masing.

Katanya, STRA berkenaan yang terdiri daripada rumah dan unit apartmen itu banyak tertumpu di bandar utama di dalam negara seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Johor Bahru dan tempat pelancongan seperti Genting Highlands, Pahang.

Ganesh berkata, situasi tersebut jika dibiarkan akan menjejaskan proses pemulihan industri pelancongan dan perhotelan kerana terdapat sesetengah pemilik STRA menyediakan perkhidmatan di bawah standard sepatutnya.

"Pelancong luar ini bila dia tempah dekat OTA, dia akan fikir disebabkan ia dah disenaraikan, maka unit itu memang berlesen, ada insurans dan sebagainya.

"Tapi dia tidak tahu sebenarnya yang berlesen hanya hotel, yang itu (STRA) tidak berlesen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai berita yang tular baru-baru ini berkaitan pengalaman buruk dihadapi oleh pelancong daripada Singapura ketika mendapatkan perkhidmatan di sebuah tempat penginapan di Genting Highlands.

Ganesh berkata, isu yang berlaku itu sememangnya memberi gambaran yang tidak baik khususnya terhadap industri perhotelan negara yang ketika ini dalam proses untuk pulih selepas pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kewujudan STRA tanpa kawalan menimbulkan rasa tidak adil kepada pemain industri kerana ia seolah-olah menunjukkan kerajaan menyokong ‘perniagaan tidak berlesen’.

"Yang berlesen ini kita kena pastikan pekerja pergi belajar, ambil kursus untuk macam mana nak pastikan bilik bersih dan perkhidmatan diberikan kepada pengguna mengikut standard yang sepatutnya.

"Tapi akhirnya bila berlaku isu perkhidmatan teruk (melibatkan unit STRA) seperti yang berlaku baru-baru ini, nama kita juga teruk terpalit,” ujarnya.

Untuk menangani perkara berkenaan, beliau berkata, kerajaan perlu segera melaksanakan kawal selia terhadap semua OTA dan segera membentangkan Garis Panduan STRA yang telah dibuat pada 2019 di Parlimen bagi membolehkan penguatkuasaannya.

"Contohnya sekarang ini, unit (STRA) ini walaupun tidak ada lesen, dia boleh disenaraikan. Jadi kita perlu ada satu kawal selia ke atas semua OTA agar mereka tidak sewakan unit STRA yang ‘haram’ ini,” ujarnya.

Menurut Ganesh, beliau dimaklumkan bahawa penguatkuasaan Garis Panduan STRA itu sepatutnya berada di bawah kawalan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kata beliau, KPKT seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menguatkuasakan garis panduan tersebut memandangkan badan yang bakal melaksanakannya iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memantau kewujudan unit penginapan tersebut di dalam talian.

Klik di sini untuk terus membaca