PENGURUS dana dan pakar ekonomi tempatan perlu mencari kaedah atau formula bagi meminimumkan kesan kenaikan kadar dasar semalam (OPR) kepada golongan pendapatan rendah yang terdiri daripada M40 dan B40. Ia penting kerana kenaikan OPR akan... Klik di sini untuk terus membaca

PENGURUS dana dan pakar ekonomi tempatan perlu mencari kaedah atau formula bagi meminimumkan kesan kenaikan kadar dasar semalam (OPR) kepada golongan pendapatan rendah yang terdiri daripada M40 dan B40.

Ia penting kerana kenaikan OPR akan meningkatkan kos perniagaan, sekali gus melonjakkan harga barangan dan perkhidmatan dalam kitaran kadar inflasi yang semakin meningkat.

Antara tujuan OPR dinaikkan adalah ia mampu memperlahankan kenaikan inflasi tempatan. Namun, ramai penganalisis melihat inflasi yang melanda ketika ini banyak dipengaruhi gangguan rantaian bekalan global dan kesan daripada konflik di Ukraine.

Mengambil kira faktor luaran itu, maka penggubal ekonomi negara perlu mencari jalan meredakan cabaran pengaruh inflasi global terhadap isu tempatan yang mengheret kepada naik atau turunnya OPR tempatan.

Walaupun agak pelik dan sukar kerana ia melibatkan ekosistem ekonomi global, namun pencarian ke arah sistem kewangan yang lebih praktikal dengan isu tempatan, adil, saksama perlu dirangka dan difikirkan bersama.

Kenaikan dua kali kadar dasar semalaman yang agresif iaitu 50 mata asas dalam tempoh kurang dua bulan telah menyebabkan ramai mengalami tekanan hidup terutama dari segi kewangan.

Keperitan hidup, ditambah dengan bebanan sedia ada dari segi kos sara hidup yang tinggi susulan kenaikan harga barang makanan dan perkhidmatan sejak pandemik, sehingga kini berlarutan ke fasa peralihan endemik.

Bagi peminjam, kenaikan OPR bolehlah disifatkan sebagai tambahan hutang baharu yang dikenakan di atas pinjaman asas yang menuntut mereka menokok atau menambah bayaran ansuran bulanan.

Ada peminjam yang ditemui berkata mereka terpaksa menokok sekitar antara RM50 hingga RM100 sebulan atas pinjaman mudah yang dipohon bagi pusingan modal perniagaan diperoleh semasa pembukaan ekonomi Oktober lalu.

Melihatkan keadaan yang semakin tertekan, ada penganalisis mencadangkan bank-bank mengecualikan atau melupuskan kenaikan kadar faedah terbaharu bagi golongan pendapatan rendah.

Walaupun ia agak sukar untuk disegmentasikan golongan atau kumpulan tertentu untuk dikecualikan daripada sistem OPR yang beroperasi secara kolektif.

Namun, perlu ada kaedah yang sesuai agar kenaikan OPR tidak membebankan peminjam khususnya kepada individu yang makan gaji, bekerja sendiri ataupun mereka yang berniaga.

Kumpulan itu mewakili lebih 60 peratus daripada pengguna Malaysia, yang pastinya mempengaruhi kitaran ekonomi penggunaan negara ini.

Tiada gunanya kenaikan OPR yang dilihat menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyokong dasar monetari, namun di sebalik itu OPR secara mikro terus membebankan rakyat dengan hutang pinjaman bank yang tidak habis-habis.

Apabila institusi kewangan meningkatkan kadar pinjaman, mereka secara tidak langsung telah meningkatkan komitmen peminjam dan mengurangkan keupayaan mereka membuat pembayaran balik pinjaman.

Jika pinjaman tidak mampu dibayar, ia boleh dikategorikan pinjaman tidak berbayar ‘non-performing loan’ (NPL).

Akhirnya, bank akan mengalami masalah NPL yang tinggi, seterusnya menjejaskan ekosistem ekonomi negara.

* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Bisnes.

Klik di sini untuk terus membaca