PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan lawatan ke Timur Tengah bermula Rabu lalu di Israel sebelum berakhir di Arab Saudi pada Sabtu lepas.
Sebelum pesawat itu berlepas, Gabenor Mekah, Putera Khaled al-Faisal berada di sebuah lapangan terbang Jeddah bagi mengiringi kepulangannya setelah Biden tiba di negara beraja tersebut pada Jumaat lalu untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman.
Presiden AS itu juga menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk yang dianggotai oleh Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan turut dihadiri Mesir, Iraq serta Jordan.
Ketika berada di Israel, perbincangan mengenai program nuklear Iran dan sokongannya terhadap kumpulan Islam seperti Hamas yang memerintah Gaza menjadi tumpuan perbincangan dengan Perdana Menteri rejim Zionis, Yair Lapid pada Khamis lalu.
Mencari penyelesaian yang berkekalan kepada konflik selama beberapa dekad melibatkan Israel dengan Palestin bagaimanapun bukanlah keutamaan semasa pertemuan antara Biden dengan Lapid di Baitulmaqdis.
Dalam lawatan itu, Biden dan Lapid kemudian menandatangani satu pakatan keselamatan baharu yang mana Washington komited untuk menggunakan kuasanya untuk memastikan Tehran tidak memperoleh sebarang senjata nuklear.
Presiden AS itu juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas di Tebing Barat yang dijajah Israel pada Jumaat lalu dengan Biden menyatakan bahawa AS tidak akan berputus asa dalam penyelesaian adil terhadap konflik Palestin-Israel.
Ketika pertemuan antara Abbas dan Lapid, tidak ada sebarang kejayaan diplomatik besar yang dicapai dalam isu Palestin dengan Israel.
Namun, hasil daripada pertemuan Biden dengan Putera Mohammed, Arab Saudi telah bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah daripada 10 juta tong sehari kepada 13 juta tong sehari.
Justeru, Biden melakukan lawatan itu ketika rakyatnya dan negara-negara lain di dunia berdepan dengan kesusahan ekonomi yang teruk akibat kesan daripada tentera Rusia melakukan pencerobohan ke atas Ukraine sejak Februari lalu.
LAWATAN TERPAKSA?
Sehubungan itu, ia menimbulkan tanggapan dalam kalangan beberapa pemerhati bahawa Biden sebenarnya hanya datang ke Timur Tengah kerana beliau terpaksa menyelesaikan isu ekonomi AS dan bukannya untuk mempromosikan keamanan dan kemakmuran.
Berkenaan dengan konflik Israel-Palestin, Biden dan kepimpinan Arab Saudi mengesahkan komitmen mereka untuk penyelesaian dua buah negara dengan mengikut garis sempadan pada tahun 1967 namun beliau tidak menuntut pembekuan pembinaan penempatan haram daripada Lapid berhubung konflik tersebut.
Seorang profesor sains politik di Universiti Islam Gaza, Waleed al-Modallal berpendapat bahawa lawatan ke Timur Tengah itu bukan untuk menyegarkan rundingan antara Palestin dan Israel tetapi beliau melakukan lawatan untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat AS.
Profesor itu menegaskan bahawa pada hakikatnya tidak ada kemahuan politik di Israel untuk kembali kepada rundingan penyelesaian antara dua buah negara mengenai isu Palestin.
Lebih-lebih lagi, sambungnya, tiada peluang untuk penyelesaian sedemikian kerana majoriti tanah yang dianggap Palestin sebagai milik mereka dijajah oleh peneroka Israel, katanya seperti dilaporkan oleh Sputnik News.
AS telah bergelut dengan inflasi yang tinggi selama beberapa bulan pada tahun 2022 disebabkan oleh sebahagiannya oleh sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas minyak mentah keluaran Rusia dan akibat harga petrol yang tinggi.
Arab Saudi pula ialah pengeksport minyak mentah terbesar di dunia dan ia mempunyai rizab besar sumber semula jadi yang boleh digunakan untuk meningkatkan bekalan sekali gus mengurangkan tekanan harga bagi penduduk 'Uncle Sam'.
Biden melawat Arab Saudi setelah beliau melabelkannya sebagai negara pariah atas dakwaan pembunuhan tersebut menglibatkan Putera Mohammed dalam pembunuhan seorang wartawan dari negara beraja tersebut, Jamal Khashoggi yang terkenal dengan kritikannya terhadap Riyadh pada tahun 2018.
Bagaimanapun, Putera Mahkota itu menafikan beliau bertanggungjawab dalam pembunuhan itu yang berlaku di Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Adakah benar Biden melawat Arab Saudi kerana motif ekonomi?
Namun, Presiden AS itu pernah berkata pada Jumaat lalu bahawa beliau akan melakukan apa sahaja untuk meningkatkan bekalan minyak kepada rakyatnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca